Berita

Kerajaan UMNO-BN takut dilihat tambah hutang, paksa simpanan pekerja dalam KWSP dijadikan pinjaman

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Kerajaan UMNO-Barisan Nasional yang tidak berani membuat pinjaman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk projek perumahan kos rendah, telah memaksa KWSP untuk memberi pinjaman kepada para pembeli rumah tersebut.

Ini adalah kerana kerajaan pusat tidak mahu hutangnya sudah mencapai tahap bahaya, iaitu RM456 bilion pada akhir tahun lalu, yakni meningkat 88.4 peratus daripada RM242 bilion pada 2006.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, menyatakan bahawa Kementerian Kewangan cuba menyembunyikan pendedahan hutangnya dengan hanya mengeluarkan jaminan kerajaan sahaja.

“Dengan itu, KWSP telah diminta untuk memberi pinjaman RM1.5 bilion kepada mereka yang telah gagal mendapatkan pinjaman bank. Pinjaman dari KWSP ini pula akan berbentuk ‘jaminan’ daripada kerajaan pusat.

“Melalui cara ini, RM1.5 bilion itu tidak akan dicerminkan sebagai penambahan hutang kerajaan pusat,” kata mereka.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin telah dilaporkan berkata bahawa KWSP akan memberi pinjaman secara langsung kepada bakal pembeli rumah yang gagal mendapatkan pinjaman bank.

Kedua-dua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat itu mendakwa Kementerian Kewangan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak cuba mengabui keadaaan dengan “mengurangkan” hutang kerana jangkaan peningkatan hutang semakin jelas dengan adanya projek-projek besar seperti MRT Lembah Klang bernilai RM53 bilion dan Lebuh Raya Timur-Barat bernilai RM7.1 bilion.

“Apa yang cuba dilakukan oleh kerajaan pusat adalah ‘off balance sheet financing’ iaitu menyembunyikan pendedahan penuh hutangnya kepada umum.

“Malah, pada akhir 2010, tanggungan luar jangkaan (contingent liability) kerajaan pusat, iaitu pinjaman-pinjaman yang ‘dijamin’ oleh kerajaan tetapi bukan secara langsung dianggap sebahagian daripada hutang kerajaan, telah mencapai RM96.9 bilion, iaitu meningkat 14/9 peratus daripada RM84.3 pada 20009,” kata mereka.

Pua dan Izzah mengingatkan pucuk pimpinan kerajaan bahawa jika pinjaman yang “dijamin” itu gagal dibayar balik, kerajaan pusat akan terdedah kepada hutang dan ia bakal meletuskan krisis kewangan negara yang berpunca dari hutang kerajaan.

Sebagai contoh, jaminan kerajaan untuk projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang bernilai RM3.6 bilion telah mengakibatkan kerajaan pusat terpaksa menambah sekurang-kurangnya RM4.6 bilion dalam bentuk pinjaman untuk menyelamatkan secara bail out projek tersebut. Kosnya dijangka akan meningkat sehingga RM12.5 bilion.

Pua selaku Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan Izzah Ahli Parlimen Lembah Pantai mengesyorkan supaya kerajaan mengambil pilihan lain untuk membantu golongan miskin membeli rumah termasuk usaha kerajaan sendiri pada 2008 di mana ia menubuhkan dana untuk petani dan peniaga kecil, iaitu mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap, untuk membeli rumah kos rendah dan sederhana rendah.

“Kementerian Kewangan dan Kementerian Wilayah Persekutuan mesti menjelaskan secara jujur mengapa mereka mahu mengambil risiko dengan menggunakan wang simpanan pekerja, dan memberitahu umum mengapa kerajaan pusat tidak mampu memberi peruntukan langsung kepada rakyat miskin untuk membeli rumah.

“Kementerian Kewangan mesti menyelesaikan masalah kewangannya sendiri dan bukan memaksa pekerja Malaysia menanggung kecuaian dan kelemahan pentadbiran kerajaan,” kata mereka. – Roketkini.com