Berita

Kerajaan mesti siasat dakwaan Mahathir tentang salah urus dan kerugian Proton sebanyak RM3.4 bilion

KUALA LUMPUR, 8 FEB: DAP mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentuk untuk menyiasat salah urus Proton dan kerugiannya, terutama kerugian RM3.4 bilion dalam bentuk simpanan tunai.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, ia adalah satu perkara serius memandangkan Proton adalah pembuat kereta nasional.

Katanya, siasatan haruslah menentukan sama ada kerajaan boleh mengurangkan kerugian dengan menggulung syarikat Proton secepat mungkin, atau mengambil risiko kerugian yang lebih besar seperti yang terjadi dalam perjanjian MV Augusta.

“Ini adalah satu keputusan yang sangat penting yang mesti dikaji dalam siasatan tersebut kerana rakyat Malaysia pastinya tidak mahu Proton terus kerugian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akhbar kawalan kerajaan New Straits Times telah melaporkan semalam bahwa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Proton Holdings telah kehilangan sejumlah besar simpanan tunainya.

Dalam dakwaannya, Mahathir mengatakan Proton telah mengumpul RM4 bilion sepanjang tempoh khidmat Tengku Tan Sri Mahaleel Ariff sebagai CEO, tetapi jumlah tersebut telah menyusut ke paras RM600 juta sewaktu perkhidmatan penggantinya Datuk Mohammed Azlan Hashim.

Mahathir juga menuduh kerugian yang dialami disebabkan oleh penjualan MV Augusta kepada sebuah syarikat yang tidak dikenali bernama Gevi SpA pada tahun 2006 dengan harga 1 Euro, sungguh pun Proton telah membelanjakan lebih RM300 juta untuk pegangan sebanyak 57 peratus.

Berikutan penjualan MV Augusta oleh Proton, BMW telah membayar 93 juta Euro atau RM446 juta pada waktu yang sama untuk pegangan satu pertiga dari MV Augusta.

Harley Davidson pula membeli baki pegangan MV Augusta untuk USD109 juta atau RM 360 juta pada waktu itu.

Dalam kata lain, syarikat yang dijual oleh Proton pada harga 1 Euro atau RM4.80 telah dijual semula kepada BMW dan Harley Davidson pada harga berjumlah RM800 juta.

Menurut Guan Eng, penubuhan RCI bukan sahaja boleh menyiasat tuduhan Mahathir, malah perlu mencadangkan langkah-langkah yang perlu diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab untuk kerugian yang begitu besar.

Katanya, ia juga mesti mencadangkan langkah-langkah untuk membendung kerugian pada masa akan datang, terutamanya apabila membabitkan dana awam. – Roketkini.com