Berita

Mengapa kerajaan UMNO-BN paksa KWSP ?

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Kenapa kerajaan sanggup menerima syarat ketat dengan jaminan pinjaman sebanyak 2.67 kali ganda daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pinjaman perumahan?

Dan kenapa kerajaan tidak menggunakan skim pinjaman melalui bank-bank komersil seperti yang biasa dilakukan? Apa muslihat kerajaan UMNO-BN?

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata, Pakatan Rakyat akan mendesak Menteri yang bertanggungjawab supaya menjelaskan kenapa kerajaan persekutuan tidak menggunakan skim pembelian perumahan biasa, tetapi melalui syarat-syarat ketat KWSP.

“Mengapa syarat-syarat ketat (oleh KWSP) boleh, tetapi pihak bank komersil pula tidak menyambut langkah tersebut?” katanya kepada pemberita di hadapan bangunan KWSP di sini hari ini.

Tambah Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, pihak KWSP telah berjanji kepada Pakatan bahawa syarat-syarat ketat akan ditetapkan supaya KWSP dapat melindungi dan mempertahankan wang pekerja.

“Pada masa sama, syarat penting yang akan ditetapkan ialah supaya seluruh pengurusan pinjaman ini akan dioperasikan oleh sebuah bank atau pun syarikat kewangan, bukannya oleh pihak pemilik iaitu Yayasan Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perjumpaan bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Bahagian Pelaburan) KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan bersama-sama dengan Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw dan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng.

Melalui perjumpaan tersebut difahamkan bahawa setakat ini pinjaman yang telah diluluskan ialah sebanyak RM300 juta, bukannya RM1.5 bilion seperti yang diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Dalam masa sama, Izzah menegaskan bahawa kenyataan Menteri pada 19 Julai 2010 yang sembilan bank telah dikenal pasti untuk meluluskan pinjaman kepada pembeli dan penyewa sangat mengelirukan.

Tambahnya, dalam kenyataan terbaru mengumumkan pula akan meminjam dari KWSP sebanyak RM1.5 bilion.

“Kita sentiasa memantau, meneliti… Kebimbangan kami ialah akan berlaku proses penjualan PPR ini tetapi tidak akan diperincikan wang bagaimana akan digunakan,” katanya.

Dr Zulkefly pula menambah, apa yang Pakatan lakukan bukanlah bertentangan dengan kehendak rakyat tetapi sebenarnya ingin memastikan bahawa bantuan dapat disalurkan dengan telus tanpa mengetepikan wang pekerja.

Jelasnya, KWSP sepatutnya tidak didedahkan dalam risiko seperti ini kerana status mereka sebagai pemegang amanah pekerja-pekerja. – Roketkini.com