Berita

5 Soalan Twitter Kit Siang kepada NFC

KUALA LUMPUR, 10 FEB:  DAP kesal dengan “jawapan” Ketua Pegawai Eksekutif NFCorp Wan Shahinur Izmir Salleh yang hanya bersifat mengelak daripada mendedahkan isu sebenar tentang skandal “kondo lembu” RM330juta NFC kepada rakyat.

Sehubungan dengan itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengemukakan lima soalan melalui Twitter kepada Wan Shahinur serta pihak-pihak yang terlibat dengan skandal tersebut:

1. Adakah anda mengakui tanggungjawab awam? Sila isytiharkan kepada orang ramai perjanjian pinjaman tersebut untuk membuktikan anda boleh berbuat apa sahaja dengan pinjaman tersebut.

2. Adakah anda menolak dakwaan bahawa ahli keluarga Shahrizat dibayar RM215,000 sebulan? Sila beri butiran gaji dan keistimewaan yang setiap ahli keluarga dapat setiap bulan.

3. Apakah respon anda terhadap setiap satu dakwaan kondo mewah, tanah, percutian keluarga dan pembayaran kad kredit? Mengapa mengelak?

4. Adakah anda bersetuju bahawa anda telah menjatuhkan kredibiliti kerajaan Najib? Adakah anda akan bersetuju untuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat skandal NFC?

5. Adakah keistimewaan atau hak untuk melabur untuk kepentingan syarikat juga termasuk hak untuk memijak kepentingan awam dan nasional?

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mengulas kenyataan Wan Shahinur yang dipetik sebagai berkata bahawa isu NFC dalam menguruskan dana pinjaman RM250juta adalah tangunggjawab syarikat untuk menggunakannya dan mentadbirnya.

Wan Shahinur juga dilaporkan mengakui bahawa ia adalah hak (prerogative) syarikatnya untuk melabur di mana-mana untuk kepentingan syarikat.

Kit Siang menempelak Wan Shahinur dengan mempersoalkan: “Adakah dakwaan yang mengejutkan ini benar? Iaitu NFC telah diberikan cek kosong untuk membuat apa sahaja yang disukai dengan pinjaman RM250juta daripada Kementerian Kewangan meskipun ia tiada kaitan dengan projek “impak tinggi” NFC untuk mempromosi kebergantungan mandiri untuk sumber daging di negara ini?”

Menurutnya, jika benar dakwaan itu, “tuan politik” yang lampau bertanggungjawab terhadap keputusan ini.

Tambah beliau, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri semasa projek diluluskan atau Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi  Jawatankuasa Kabinet untuk Projek-projek Impak Tinggi atau pun Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Menteri Pertanian seharusnya dipanggil oleh Jawatanakuasa Kira-Kira Wang Awam Parlimen (PAC) untuk mencari kebenaran.

“Jika tidak benar, maka ia merupakan tanggungjawab PAC untuk menyiasat hal ini dan melaporkan pada Parlimen apabila bermulanya persidangan pada 12 Mac,” ujarnya.

Kit Siang juga mendesak Datuk Seri Azmi Khalid supaya meletak jawatan sebagai Pengerusi PAC sekiranya beliau tidak sanggup untuk mengadakan mesyuarat khas bagi menyiasat skandal “kondo lembu” RM330juta NFC. – Roketkini.com