Berita

Dedahkan butir-butir 1Care sekarang

GEORGE TOWN, 10 FEB: Kerajaan mesti tampil dengan telus terhadap skim penjagaan kesihatan wajib carum yang penuh kontroversi 1Care tanpa menyembunyikan apa-apa maklumat daripada pengetahuan rakyat.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera Liew Chin Tong berkata, skim kesihatan 1Care yang penuh kontroversi itu ditentang habis-habisan daripada pengamal perubatan dan orang awam yang mendakwa bahawa para pekerja dan syarikat-syarikat akan dipaksa membayar 10% pendapatan mereka setiap bulan untuk dana insurans kesihatan yang belum jelas ketelusannnya itu.

Beliau yang memetik lapiran portal berita The Malaysian Insider menyatakan ada sumber yang mendakwa  perancangan skim kesihatan 1Care sudah hampir siap dan bukan berada di peringkat awal seperti mana yang dikatakan oleh Kementerian Kesihatan.

Justeru, Liew mencadangkan supaya sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen dibentuk untuk menanangi pelbagai cadangan dan juga isu-isu asas dalam sistem kesihatan Malaysia untuk memastikan rakyat Malaysia tidak dipaksa membayar bagi menjamin keuntungan pihak swasta.

“Skim tersebut merupakan percubaan pertama selepas beberapa dekad untuk satu pemotongan pendapatan perkerja sejak pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 1951 dan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso atau Socso) pada 1969.

“Parlimen, ‘pemegang saham’ dan 12 juta pekerja di Malaysia harus dirunding sepenuhnya dalam keadaan yang teramat telus sebelum sebarang keputusan dibuat. Kementerian Kesihatan dan kerajaan bertanggungjawab secara moral untuk memberitahu butir-butir  terhadap cadangan-cadangan yang amat serius ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebelum skim itu diteruskan, dua isu struktur harus ditangani terlebih dahulu.

Pertama, meski pun sejak penswastaan dan penyumberan luar pada 1990, banyak komponen sistem kesihatan awam seperti pembersihan hospital, pengurusan bahan buangan klinikal dan farmasi telah disalurkan ke luar kepada pencari keuntungan swasta yang menyebabkan pembesaran kos kesihatan awam. Mana-mana skim baru harus memastikan bahawa pekerja Malaysia tidak harus membayar untuk penyalahgunaan dan pembaziran.

Kedua, kebanyakan hospital swasta di Malaysia ini dimiliki oleh GLC seperti Petronas yang memiliki hospital paling mahal dalam negara Prince Court dan Sime Darby dengan Pusat Perubatan Sime Darby.

Katanya, sementara kemudahan kerajaan menjadi mangsa kekurangan sumber dan bakat, hospital yang dimiliki oleh GLC yang sepatutnya menjadi penjaga kekayaan dan aset awam menjadi pesaing mereka. – Roketkini.com