Budaya

Dialog satu suara – Oleh Asi Dani

Cerpen

Manusia itu sedang berpusing-pusing, lagaknya seperti orang yang sedang kebingungan. Dari gayanya, mungkin dia sedang berfikir, langkahnya mundar-mandir, sekejap ke dinding sekejap dia berbaring di atas lantai aspal yang hitam keras itu.

Sesekali dia mengeluh, sebentar kemudian dia senyap kembali, hanya nafasnya kedengaran. Kemudian kepalanya mendongak ke langit gelap, diperhatikannya awan yang seakan tidak mahu membuka hijab langit untuk bintang memperaga sinarnya. Hati manusia terasa akan kiamat.

“Apa patut aku buat sekarang?” keluhnya dalam berbisik.

Dia terus mundar-mandir tak tentu hala. Rokok yang dihisap telah habis, dijentiknya puntung itu ke tepi jalan. Dan, langkahnya terhenti.

“Ada baiknya aku lakarkan saja lembaga ini, sekurang-kurangnya, jika ada yang bertanya kelak, mudah sahaja dirujuk sebagai panduan oleh spesis aku.” Tiba-tiba manusia mendapat ilham. Lalu ditulisnya prinsip-prinsip itu dengan tergopoh-gapah.

Tulisan pada dinding

Ilham yang muncul mesti segera dicatat sebelum terlupa. Manusia sedar bahawa dia sering terlupa, dan itulah kelemahannya walau pun dia selalu saja mengingatkan orang untuk tidak lupa.

Diconteng-contengnya tanah dengan pantas, setiap prinsip yang tertera itu siap, dibacanya kembali dan berulang kali. Setelah yakin betul dan sesuai, manusia terus menyambung prinsip-prinsip yang baru, tertonggeng-tonggeng punggungnya ketika menulis di lantai.

Tak cukup lantai, ditulisnya prinsip itu di dinding, tulisanya besar-besar agar siapa juga di kalangan spesisnya yang lalu-lalang dijalan itu, akan nampak dan  membaca semua catatan pentingnya itu.

Setelah siap, dia membaca kembali tinta yang ditulisnya itu. Kemudian dia tersenyum puas. Manusia melompat kegembiraan, suasana yang tadinya terasa suram dan malap, kini bertukar menjadi ceria.

Tiba-tiba mengaum satu suara.

Siapa itu?

Suara: Manusia! Apa yang engkau terkinja-kinja itu?

Berdengung sekali suara itu bagai langit runtuh, terpakulah kaki manusia seraya mendengar tempikkan itu. Manusia menjadi tidak karuan. Melingas-lingas matanya mencari jasad empunya suara itu, ditolehnya ke kiri dan ke kanan, tiada apa-apa.

Manusia: Siapa itu?

Jerit manusia kebimbangan, rasa takut menerpa ke kepalanya. Perutnya terasa senak, pundi kencingnya membengkak. Tangannya sejuk seperti direndam ke dalam air batu campur. Peluhnya mula merenik di dahi. Adrenalin dan garam dalam badan manusia membuak-buak naik ke dada.

Suara: Aku.

Manusia: Kau siapa? Di mana?

Lembaga: Aku di lantai dan di dinding.

Manusia: Siapa kau? Aku tak nampak kau di mana

Suara: Akulah yang kau tulis itu wahai manusia. Tidakkah kau nampak apa yang kau tulis itu tadi?

Manusia itu terperanjat, dadanya menjadi gugup, tekaknya terasa kering. Matanya memerhatikan tinta-tinta tulisannya dilantai dan di dinding dengan penuh kehairanan.

Manusia: Aku tak faham, kau ini siapa?

Suara: Akulah roh dari tulisan yang engkau catatkan itu. Butakah mata dan hati kau?

Manusia kehairanan, dia merasa begitu takjub kerana suara itu datang dari tulisan yang dicatatkannya itu. Manusia cuba mententeramkan hatinya. Setelah berasa yakin dia menghela nafas dalam-dalam.

Manusia: Roh dari tulisan aku? Aku tak faham, cuba kau terangkan.

Suara: Ya, akulah semangat yang lahir dari prinsip-prinsip yang engkau tulis di dinding dan di lantai itu.

Manusia: Aku hanya menulis prinsip-prinsip itu agar spesis aku dapat belajar dan memahami apa yang sepatutnya mereka perlu tahu dan faham. Aku tidak cipta kau wahai suara tak berupa.

Dari situlah aku lahir

Suara: Tahukah engkau, prinsip-prinsip yang engkau tulis itu punya semangat, semangat itulah aku, yang sedang berkata-kata ini. Bukankah sebentar tadi engkau memerah jiwa, akal dan mencari-cari ilham untuk menulisnya, dan ketika engkau menulis, engkau catat dengan penuh harapan dan semangat yang berkobar-kobar. Dari situlah aku lahir.

Terkejut besar manusia itu mendengar penjelasan suara tak berupa itu. Hati manusia kembali berdebar-debar. Bimbang jika dia tanpa sedar telah memuja-muja prinsip-prinsip yang diilhamkannya itu hingga seakan menjadi berhala hantu yang boleh berkata-kata. Boleh jadi syaitan telah meresap ke dalam tulisannya.

Manusia: Aku tak percaya, kau tipu. Jangan kau sengaja nak memesong dan menakutkan aku. Apa yang aku tulis itu adalah keyakinan aku dari pengetahuan aku, itu saja. Aku tak cipta semangat hantu macam kau ni.

Suara: Kau tak percaya aku? Bermakna kau tidak percaya dengan prinsip-prinsip yang telah engkau catatkan itu wahai manusia.

Manusia: Jangan kau berselindung di balik prinsip-prinsip ku itu, beritahu aku siapa kau sebenarnya dan apa tujuan kau muncul.

Keras sekali suara manusia menjawabnya, dia seolah-olah mendapat semangat baru untuk berdepan dengan situasi yang tidak dijangkakannya ini.

Suara: Aku tidak menipu kau wahai manusia, akulah semangat yang lahir dari cita-cita mu, yang engkau catatkan itu.

Manusia: Maksud kau?

Suara: Bukankah semua prinsip-prinsip yang engkau catatkan itu ditulis oleh tangan mu dengan iringan semangat yang tinggi, kau mahu prinsip-prinsip itu disampaikan dan difahami oleh kaum spesis mu, bukankah begitu?

Manusia: Ya, benar. Jadi?

Suara: Maka, akulah semangat yang akan meresapi hati dan akal spesis mu. Ayat-ayat yang kau tulis itu akan kosong tak bermakna tanpa aku sebagai semangat atau rohnya. Dengan mengenal semangat inilah engkau akan yakin dan melaksanakan segala prinsip yang engkau tulis itu. Malah, tanpa aku (semangat), kamu semua tidak akan menghormati dengan apa yang kamu semua catatkan itu. Akulah yang engkau cipta sebagai perlembagaan.

Manusia: Apa maksud kau wahai suara yang tak berupa dan berwarna?

Cita-cita dan prinsip

Suara: Ketahuilah wahai manusia, prinsip yang engkau tulis itu adalah cita-cita murni kamu, cita-cita itu harus engkau hormati jika engkau mahu melihat semua prinsip itu terlaksana menjadi kenyataan. Jadi, aku ini adalah roh semangat yang besuara dari cita-cita mu itu, tujuanku agar engkau sedar bahawa aku ini wujud dan engkau benar-benar yakin, memahami dan menghormati apa yang engkau tuliskan itu.

Manusia: Maksud engkau apa-apa prinsip yang telah aku catatkan itu punya semangat yang harus dihormati oleh spesis aku, begitu?

Suara: Tepat sekali wahai manusia, walau pun engkau hanya mengulangi jawapan aku. Engkau memang selayaknya dipilih sebagai spesis yang paling bijak didunia.

Manusia: Nanti-nanti, aku belum cukup faham dan yakin lagi. Bagaimana pula jika aku dan sepsis aku tidak menghormati kau wahai semangat perlembagaan?

Kau harus memilih

Suara: Jika itu yang engkau pilih, maka sia-sialah prinsip-prinsip perlembagaan yang engkau catatkan itu. Bukan sahaja isinya tidak akan terlaksana, malah engkau akan menjadi spesis yang paling korup dan hipokrit di dunia ini. Kini engkau harus memilih, sama ada mahu yakin dengan kewujudan aku atau engkau mahu sia-siakan semua prinsip-prinsip perlembagaan yang telah engkau tuliskan itu. Pilihan di atas kamu wahai manusia berakal.

Manusia itu terduduk dan termenung mendengar penjelasan suara tak berupa itu. Lama dia mundar-mandir berfikir, hati manusia bercampur-baur.

Manusia: Jika begitu, bagaimana semua prinsip-prinsip perlembagaan yang telah aku catatkan itu boleh difahami, dihormati dan dilaksanakan oleh kaum spesis ku?

Suara: Bukankah semua prinsip itu telah engkau catatkan dilantai tempat engkau berdiri dan di dinding tempat engkau memandang?

Manusia: Ya benar, jadi?

Suara: Nah, itulah tempat paling sesuai dan mudah untuk spesis manusia membaca dan mempelajarinya. Tetapi aku, engkau perlu beritahu kepada semua spesis mu agar menyedari kewujudan aku. Katakan aku ini wujud dan terhijab di sebalik semua prinsip-prinsip yang ada dilantai tempat mereka berdiri dan di depan tempat mata dan muka mereka memandang. Itu akan menghadirkan rasa kesedaran buat semua spesis kamu.

Manusia: Kemudian barulah mereka akan menghormati semua prinsip ini, begitu?

Suara: Ya, benar sekali wahai manusia. Tidak sia-sia aku muncul di hadapan mu, engkau memang pandai.

Manusia: Lantaran itu, bagaimana semua ini dapat dilaksanakan?

Suara itu lenyap. Tiada jawapan. Dinding kembali kosong. Tiada tulisan. Lantai aspal hitam itu masih keras. Manusia menitiskan air mata. Di mana jawapannya? Di mana jalan keluarnya? – Roketkini.com