Berita

Kashgari: Hari hitam buat imej antarabangsa Malaysia

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Memaksa seorang penulis muda Arab Saudi pulang ke negaranya untuk dikenakan tuduhan yang mungkin membawa hukuman mati mencerminkan dasar luar Malaysia yang tidak menghormati hak asasi manusia.

Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa DAP Liew Chin Tong berkata, kerajaan UMNO-Barisan Nasional telah membuktikan pada dunia bahawa ia langsung tidak menghormati hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang dan keadilan.

“Kerajaan Malaysia telah menghantar pulang Hamza Kashgari, seorang kolumnis media yang berusia 23 tahun ke Arab Saudi meski pun masyarakat antarabangsa bimbang beliau akan dikenakan hukuman mati di negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kashgari ditahan di sini sewaktu dikatakan dalam perjalanan ke New Zealand untuk mencari perlindungan politik kerana telah dituduh oleh kerajaan Arab Saudi sebagai “menghina” Nabi Muhammad SAW.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan amat pantas akur dengan permintaan pihak berkuasa Arab Saudi dan menghantar pulang wartawan muda itu kembali ke negaranya.

Hishammuddin dipetik oleh media sebagai berakata bahawa penghantaran pulang Kahsgari adalah berasaskan kepada perjanjanjian di antara Malaysia dan Arab Saudi yang membolehkan mana-mana individu yang dikehendaki oleh salah satu negara itu dipaksa pulang.

Menurut Liew yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, pemaksaan pulang Kashgari merupakan hari hitam Malaysia di mata dunia.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago berkata, kerajaan Malaysia tidak perlu tergesa-gesa memaksa Kashgari pulang ke negaranya kerana tidak ada perjanjian ekstradisi khusus di antara Malaysia dan Arab Saudi.

Katanya, kerajaan perlu menjelaskan mengapa agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) tidak dibenarkan menemui Kashgari sedangkan diketahui bahawa penulis muda itu sedang dalam perjalanan mencari suaka politik.

“Tindakan kerajaan Malaysia, dengan tidak mempedulikan hak asasi manusia sama sekali, mungkin akan membawa kepada hukuman mati terhadap anak muda itu di negaranya sendiri,” ujarnya. – Roketkini.com