Berita

Lynas: Bolehkah kita percaya jaminan BN, Liow?

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Jika stadium yang dibina pun boleh runtuh, apakah rakyat boleh yakin dengan jaminan kerajaan Malaysia untuk mengendalikan loji tenaga nuklear dengan selamat?

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, mengharapkan Datuk Seri Liow Tiong Lai memantau keselamatan Loji Bahan-Bahan Maju Lynas (LAMP) di Kuantan hampir sama dengan mempercayai pihak berkuasa Malaysia boleh mengendalikan loji nuklear dengan selamat.

“Bolehkah kita mempercayai Pengerusi MCA Pahang dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk memantau keselamatan dan sekuriti pengendalian Loji Bahan-Bahan Maju Lynas (LAMP) di Kuantan?

“Sedangkan beliau telah menunjukkan sikap tidak endah, tidak profesional dan tidak bertanggungjawab dengan menipu dan menafikan bahawa polis tidak menembak gas pemedih mata dan meriam air ke dalam perkarangan Hospital Bersalin Tung Shin semasa perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011?

“Apabila dibuktikan bahawa polis memang telah menembak gas pemedih mata dan meriam air ke dalam kawasan hospital, barulah Liow terpaksa memohon maaf secara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun demikian, Guan Eng berkata, tidak ada tindakan yang telah diambil ke atas mereka yang cuba menutup isu itu dan memberi laporan palsu.

“Kini, MCA Pahang telah mengumumkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Liow untuk memantau operasi LAMP yang baru sahaja diberi Lesen Kendali Sementara (TOL) selama 2 tahun oleh Kerajaan Persekutuan BN.

“Daripada menangani isu-isu yang serius, Liow telah mengambil keputusan untuk menubuhkan jawatankuasa yang dipengerusikannya untuk memastikan pematuhan LAMP dalam syarat-syarat yang ditetapkan dalam TOL,” katanya.

Menurutnya, salah satu daripada lima syarat adalah supaya Lynas menyediakan pelan terperinci dan juga lokasi Fasiliti Pembuangan Sisa (PDF) kepada AELB dalam tempoh 10 bulan dari tarikh pemberian lesen.

Dalam kata lain, AELB dan pihak pengawal selia sendiri tidak mempunyai cadangan pembuangan sisa radioaktif yang jelas daripada Lynas.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, di bawah TOL, Lynas akan bertanggungjawab penuh atas pengurusan sisa termasuk mengembalikannya kepada sumber asal jika perlu.

“Tetapi Australia sudah menyatakan bahawa ia tidak akan mengambil balik apa-apa bahan sisa. Jika begitu, ke manakah sisa-sisa itu akan dikembalikan?”

“Siapakah pakar dalam MCA Pahang yang akan memantau operasi Lynas dan mengenalpasti sama ada ianya selamat atau tidak?” tambah beliau.

Katanya, adalah jelas bahawa MCA dan BN rela mengorbankan keselamatan rakyat demi keuntungan besar untuk syarikat tersebut dan juga pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dengan membenarkan pengendalian loji nadir bumi Lynas di Kuantan. – Roketkini.com