Rencana

Kuala Lumpur sebagai Negeri Kota – Oleh Mazir Ibrahim

15 FEBRUARI – Antara kita mungkin biasa mendengar dengan istilah ‘negara kota’. Zaman moden ini pastinya kita kenal dengan beberapa nama seperti Singapura, Monaco, Kota Vatican dan Luxembourg.

Semua ini adalah negara kota, dan pada umumnya, negara-negara kota ini mempunyai reputasi yang sangat baik dalam mengurus dan mentadbir keperluan rakyat dan kotanya. Tentunya di zaman moden ini, amalannya mempunyai sifat-sifat demokrasi walau berbeza bentuknya.

Ada juga kota besar yang tidak dijadikan negeri atau negara kota seperti New York, London, Tokyo dan sebagainya yang memilih sistem demokrasi di mana Datuk Bandar dipilih oleh penduduk kota dalam pilihan raya.

Ini bermakna, amalan demokrasi itu boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk dan peringkat. Hanya soal mahu atau tidak sahaja.

Apa itu negeri/negara kota?

Konsep negara atau negeri kota ini tidak salah untuk dipelajari dan diadaptasi dalam konteks sebuah kota atau bandaraya besar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Secara harfiahnya, negeri/negara kota tidak banyak beza dengan konsep negeri atau negara. Ia punya penduduk, sempadan wilayah, undang-undang dan perlembagaan, sistem cukai, lembaga legislatif, eksekutif dan kehakiman.

Namun, perbezaan dan keunikan ciri-ciri negeri/negara kota ini sangat ketara dari segi saiznya yang lebih kecil dan tahap pembangunan ekonomi yang padat dan tertumpu pada seluruh kota (negeri) itu.

Kota merupakan konsep asal sebelum negeri atau negara ditubuhkan. Oleh kerana adanya penduduk, aktiviti ekonomi dan kebudayaan, bermakna wujudnya keluarga, seterusnya membentuk sebuah komuniti kampung (zon) dan gabungan di antara kampung-kampung ini maka ia terus berkembang menjadi sebuah wilayah yang berdaulat iaitu negeri dan seterusnya negara.

Apabila ciri-ciri ini wujud seperti pada kota Kuala Lumpur, maka konsep ini seharusnya bergerak seiring dengan keperluan zaman dengan menjadikannya sebagai sebuah negeri berdaulat seperti mana negeri-negeri lain yang ada di Malaysia.

Mengapa perlu Kuala Lumpur menjadi negeri kota?

Perkataan daulat ini jelas sekali merujuk kepada kuasa rakyat yang membentuk lembaga-lembaga sebagai kerajaan. Kuasa rakyat ini wajib didaulatkan dalam dunia demokrasi bagi meneruskan kesinambungan tamadun bangsa manusia.

Dengan daulatlah maka lembaga seperti eksekutif, legislatif dan kehakiman dapat dibentuk dan berjalan. Tanpa ketiga-tiga aspek ini, bagaimana mungkin wilayah Kuala Lumpur ini dapat ditadbir dengan cekap, betul dan berkesan.

Tetapi itu tidak berlaku. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditadbir oleh suatu kuasa yang dilantik secara eksklusif oleh kerajaan pusat yang tidak ada kena-mengena secara langsung dengan kehendak dan kepentingan rakyat Kuala Lumpur. Ia dilantik semata-mata untuk kepentingan ego kepimpinan kerajaan pusat – pada masa ini UMNO-BN.

“Kerajaan” Kuala Lumpur adalah sebuah kerajaan yang tidak lengkap, hanya ada seorang menteri tanpa exco kerana ia dikuasai sepenuhnya oleh seorang Datuk Bandar yang tidak dipilih oleh rakyat.

Ini adalah kecacatan demokrasi yang serius. Konsep ini tidak ada beza dengan konsep francais atau syarikat subsidari dari syarikat induk. Dalam kes ini, Kuala Lumpur adalah syarikat francais atau subsidari kepada kerajaan pusat.

Dengan bahasa yang lebih kasar, Kuala Lumpur adalah kerajaan boneka pusat. Tidak ada autonomi dan pemisahan antara kuasa pusat dan wilayah. Menteri Wilayah adalah wizurai sebagai wakil pusat dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur adalah pelaksana kehendak dan arahan pusat.

Mengapa terjadi demikian?

Satu lagi soalan yang perlu ditanya ialah mengapa pula Kuala Lumpur diberi keistimewaan atau layanan berbeza oleh kerajaan pusat berbanding dengan layanan kepada wilayah (negeri) lain yang berdaulat?

Jika justifikasinya kerana soal penumpuan untuk pembangunan, ia tidak relevan kerana jika Kuala Lumpur itu sebuah negeri berdaulat sekali pun, ia harus tetap dibangunkan. Dan pembangunannya tidak dapat dielakkan kerana ia keperluan sebuah metropolis.

Jika rasionalnya kerana untuk memudahkan kerajaan pusat memantau dan menguruskan Kuala Lumpur secara lebih cepat dan berkesan, ia juga tidak relevan kerana ia membebankan lagi kerja kerajaan pusat yang seharusnya menumpukan soal pembangunan secara menyeluruh dan adil buat seluruh negara.

Dua asas alasan ini tidak kukuh, maka adakah kemungkinan sebab yang lain?

Barangkali, kota Kuala Lumpur yang pesat membangun dan maju dengan pantas, maka pemerintah pusat bimbang jika penduduk kota Kuala Lumpur diberi kuasa untuk memilih, maka kerajaan bonekanya itu akan mudah ditumbangkan dalam pilihan raya.

Penduduk Kuala Lumpur mempunyai akses maklumat alternatif yang lebih baik (kerana media massa dikawal oleh pemerintah UMNO-BN) yang pastinya mudah mendedahkan segala macam kepincangan pentadbiran kerajaan bonekanya itu.

Maka itu, Kuala Lumpur telah diistimewakan dengan menjadikannya sebagai wilayah eksklusif kepada pimpinan kerajaan pusat yang membolehkannya mendapat “pendapatan tetap” menerusi cukai.

Kuasa dan sistem pusat ini juga telah dapat menghalang rakyat Kuala Lumpur, walau pun mendapat akses maklumat yang jaub lebih baik daripada negeri.-negeri lain yang berdaulat, daripada mengubah “kerajaan” dalam pilihan raya.

Bukti paling jelas ialah apabila 10 daripada kesemua 11 kerusi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dimenangi oleh Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008, kota raya ini tetap dikuasai oleh pusat melalui proksinya yang bernama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Apa peranan pengundi dan Ahli Parlimen di Kuala Lumpur?

Tidak salah untuk mengatakan bahawa penduduk Kuala Lumpur adalah yang paling terdedah dengan segala maklumat, mungkin juga berpendidikan lebih tinggi berbanding di negeri-negeri lain serta menikmati taraf hidup yang agak selesa.

Namun, warga kota ini juga adalah kalangan yang paling malang kerana tidak dibenarkan mengamalkan hak dan kebebasan demokrasi.

Persoalan-persoalan yang timbul adalah:

  1. Adakah rakyat Kuala Lumpur pernah terlibat secara aktif dengan pembentangan bajet Kuala Lumpur pada setiap tahun ? Jawabnya tidak. Hanya segelintir sahaja, itu pun dengan membaca laporan media masa sahaja.
  2. Di mana bajet Kuala Lumpur pada 2011 yang berjumlah RM2 bilion dibentangkan?  Jawabnya pada satu sidang media, 17 Disember 2010, jam 8 malam.
  3. Dibentang kepada siapa? Majoritinya kepada wartawan yang hadir di sidang media tersebut.
  4. Siapa pula wakil yang membentangkannya? Orang lantikan kerajaan pusat, Datuk Bandar Kuala Lumpur.
  5. Adakah bajet ini dicadangkan dan dikemukakan untuk warga kota bagi diadakan perbahasan? Jawabnya tidak.
  6. Kenapa? Kerana Kuala Lumpur tiada dewan undangan negeri atau dewan senat negeri, bererti tiada parti pemerintah dan parti pembangkang serta wakil rakyat bebas untuk mencadang, membahas dan mengundi bagi diluluskan bajet atau apa-apa rang undang-undang.
  7. Adakah terdapat perbahasan mengenai bajet itu? Hanya soalan-soalan dari wartawan sewaktu sidang media.
  8. Siapa yang membuat bajet Kuala Lumpur? Kerajaan pusat.
  9. Apakah peranan 10 daripada 11 Ahli Parlimen dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur? Hanya membawa suara rakyat ke Parlimen. Mereka tidak ada apa-apa kuasa dalam Dewan Bandaraya.

Jadi, di manakah akauntabiliti dan ketelusan “kerajaan” Kuala Lumpur?

Yang sering didengar melalui media massa adalah hujah lemah kerajaan pusat dan Dewan Bandaraya: “Kakitangan awam termasuk Menteri, Datuk Bandar dan kakitangan professional yang dilantik oleh kerajaan pusat tetap terikat dengan etika, tanggungjawab dan amanah kepada rakyat Kuala Lumpur. Mereka tetap telus dan amanah dalam menjalankan tugasnya.”

Begitu mudah sekali hujah retorik ini diberikan, faktanya hanya bergantung kepada kod-kod etika kerja yang tertera didalam buku manual kerja perkhidmatan awam. Ia hanyalah janji manis tanpa jaminan undang-undang untuk hasil kerja yang jujur dan bermutu.

Realiti demokrasi

Demografi penduduk Kuala Lumpur ini sangat pelbagai, daripada tokoh korporat kepada penjaja kecil. Namun majoritinya adalah dari kelas pertengahan dan pertengahan rendah, mereka yang bekerja di sektor swasta dan awam, dan para peniaga.

Warga kota ini perlu diberi peranan dan ruang yang lebih luas dan adil. Mereka semua inilah yang membangun dan memakmurkan Kuala Lumpur.

Mereka bukan sekadar mahu kadar cukai yang munasabah, rumah dan pengangkutan awam yang bermutu sahaja, mereka mahu lebih banyak peranan dan pilihan dalam membuat dasar dan keputusan penting.

Inilah rasional bagaimana idea negeri/negara kota Kuala Lumpur itu perlu wujud. Soal suka atau tidak, kerajaan harus menawarkannya terlebih dahulu, itu adalah peranan dan tanggungjawab kerajaan yang demokratik kepada rakyatnya.

Referendum boleh dilakukan demi cita-cita demokrasi yang lebih baik dan adil.

Jika kerajaan pusat yang ada sekarang tidak berminat untuk memberi hak demokrasi kepada warga kota, maka Pakatan Rakyat perlu lebih jujur dan ikhlas dalam menawarkan jalan demokrasi kepada para penduduk Kuala Lumpur. – Roketkini.com