Rencana

Kisah dua mak cik – Oleh Iskandar Fareez

17 FEBRUARI – Ada dua orang mak cik yang berusia dalam lingkungan 60-an. Mereka pernah berkahwin, pernah menyayangi dan pernah merasakan kehilangan. Mak Cik A beranak satu manakala Mak Cik B. Kelibat suami entah ke mana. Kelibat anak-anak mereka juga tak diketahui.

Pada ingatan Mak Cik A, suatu masa dulu, anak tunggalnya berpesan supaya tunggu di bangku panjang di sebelah kedai mewah. Bila kerja sudah habis, akan dijemput pulang, katanya. Sampai kesudah tidak pun dijemputnya.

Mak Cik B pula tak ingat apa-apa. Pada usia yang lanjut sebegini, penyakit Alzheimernya sudah sampai tahap kronik. Mungkin dia terlepas daripada jagaan awam dan sekarang sedang meronda kota.

Mereka bukan kawan atau sahabat. Malah mereka tinggal berjauhan. Kedua-dua tinggal di hotel tanpa bumbung di bawah sinaran bintang. Mereka juga akan menjadi antara orang pertama yang sedar jika ibu kota dilanda hujan. Nama-nama hotel mereka tidak tercatat dalam katalog hotel lima bintang. Kadang-kadang orang gelar tempat tidur mereka sebagai hentian bas dan tangga pintu bangunan tak berkunci.

Mak Cik A tidur di atas bangku panjang bersebelahan kedai mewah. Pagi-pagi, dia dikejutkan oleh pelancong-pelancong yang mengunjungi tempat itu. Pernah sekali, dia terlihat seorang pemuda yang seakan-akan anaknya. Tetapi apabila dia panggil, pemuda itu hilang dalam kumpulan pelancong yang ramai. Mujur masih ada insan yang bertimbang rasa yang memberinya makan dan minum sekali sekala. Mak Cik A tinggal di Arab Street, Singapura.

Mak Cik B pula kerap kali berlegar di kawasan bawah jambatan. Bila ditanya hendak ke mana, dia tak tahu nak jawab apa. Bila sampai waktu tengah hari, dia pergi gerai berdekatan dan meminta makanan. Sesekali dia diberi makan, tetapi jika nasib tak baik, dihalau dan diherdik. Tidur beralaskan surat khabar, tetapi pemandangan mengalahkan hotel mewah. Setiap hari, bangun pagi nampak KLCC. Mak Cik B tinggal di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur.

Antara dua kota, satu kemanusiaan

Di sebalik kisah mereka berdua, tersembunyinya realiti Malaysia dan Singapura. Jika ditanya, penduduk kedua-dua negara itu akan lebih senang manyatakan perbezaan daripda persamaan. Mana mungkin rakyat Malaysia itu disamakan dengan rakyat Singapura. Berbeza sangat kedua-duanya.

Pada kita, rakyat Malaysia itu mesti lebih bagus dari semua segi. Sebaliknya pula jika ditanya pada rakyat Singapura, merekalah yang lebih baik dari Malaysia.

Namun adakah kita begitu berbeza? Dalam kita sibuk mengetengahkan perbezaan tersebut, dua insan seperti dalam cerita ini mengalami nasib yang hampir sama. Mereka meneruskan hidup tanpa keselesaan tempat tinggal.

Kisah dua orang mak cik itu telah menunjukkan sesuatu, menjelaskan bahawa betapa jauhnya jurang perbezaan yang kita cipta antara satu sama lain, pada dasarnya kita mengharungi cabaran yang sama.

Kita semua manusia. Kita semua wajar dinilai dari aspek kemanusiaan. Sekali pun konstruk sosial ciptaan manusia seperti kewarganegaraan itu mengasingkan kita antara satu sama lain, di peringkat individu kita tidak banyak beza. Setiap orang dapat merasakan perasaan gembira dan derita. Tak kisah kita rakyat Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Myanmar, Bangladesh.

Jujurkah diri kita?

Mungkin ramai yang bersimpati dan kasihan terhadap nasib kedua-dua mak cik tersebut. Walau bagaimana pun adakah perasaan ini berubah apabila kita dapat tahu yang seorang itu bukannya rakyat Malaysia? Adakah rasa kasihan kita itu berkurang setelah kita tahu yang dia tak tergolong dalam konstruk sosial yang sama dengan kita?

Kemudian, teliti juga yang identiti kedua-dua mak cik tersebut tidak disebut. Melayu kah, Cina kah, India kah, Iban kah, Kadazan kah? Tiada satu maklumat pun yang memberitahu pembaca perihal etnik kedua-dua mak cik tadi.

Maklumat ini boleh dianggap tak relevan dalam hal ini. Tidakkah ini membangkitkan persoalan tentang betapa tidak pentingnya konstruk sosial seperti etnik, agama, bangsa dan kewarganegaraan dalam perbincangan tentang hal ehwal semasa?

Hal ini jelas menunjukkan, retorik bangsa, agama dan lain-lain hanyalah bunyi-bunyi bising bagi mengalih tumpuan ramai daripada isu sebenar. Jika sebuah restoran tak melayan pelanggannya dengan baik, adakah warna kulit seseorang itu relevan? Jika seorang individu ditolak jatuh bangunan, adakah agama seseorang itu relevan? Tentunya tidak.

Masalah tiada tempat tinggal, kos sara hidup yang tinggi, dan korupsi adalah contoh isu-isu serius yang wajar diambil peduli oleh pihak kerajaan. Persoalannya, apakah inisiatif yang telah diambil hingga ke hari ini untuk menyelesaikan masalah tersebut? Sudah tentu laungan ketuanan kaum atau pengharaman hari kekasih tidak dapat menyelesaikan penderitaan kedua-dua mak cik tersebut serta ribuan insan yang senasib dengan mereka.

Kemungkinan juga kerajaan yang ada lebih selesa meneruskan politik perkauman yang membinasakan daripada mengamalkan politk rasional berdasarkan dasar dan kebijakan.

Maklumlah, mungkin pada hemat mereka, para mak cik yang tidur di tepi jalan itu bukan pengundi. Jadi, buat apa nak kisah? – Roketkini.com