Berita

Najib lawat Sabah tapi tak berani janji atasi isu pendatang haram

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Lawatan Datuk Seri Najib Razak ke Sabah tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat negeri di bawah bayu itu kerana gagal menyelesaikan isu pokok – pendatang tanpa izin.

Sepanjang lebih 30 tahun Sabah bersama membentuk Malaysia, isu pendatang haram ini masih tidak diselesaikan oleh Barisan Nasional dan yang paling pasti, rakyat Sabah sendiri yang hidup merana dan sedang menjadi minoriti dalam negeri sendiri akibat lemahnya pihak berwajib untuk menyelesaikan isu ini.

Justeru, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, rakyat Sabah terutamanya dan rakyat Malaysia umumnya berhak untuk mengetahui kenapa Perdana Menteri tidak menyentuh sama sekali isu pendatang tanpa izin ini dalam lawatannya ke Sabah semalam.

Malah, katanya, rakyat Sabah dan Malaysia sepatutnya diberi penjelasan oleh Najib tentang kenapa sehingga kini belum ada Jawatankuasa Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat secara bebas dan adil isu pendatang haram ini yang menjadi masalah paling besar di Sabah.

“(Adakah) RCI ini kelihatan hanya wayang di mulut Najib tanpa sebarang fakta berasas atau pun ini adalah contoh Kabinet yang lemah dan hanya patuh kepada telunjuk hegemoni UMNO?” katanya.

Tambah beliau lagi, RCI berhubung pendatang tanpa izin di Sabah ini perlu dipercepatkan dan perlu dibentang serta diselesaikan sebelum pilihan raya umum ke-13.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor berkata, sepanjang lebih 30 tahun beliau sendiri acap kali mengangkat isu pendatang haram di Sabah di Parlimen dan pelbagai saluran yang sah kerana ia telah dan terus menjadi masalah politik, ekonomi, sosial dan keselamatan negara, khususnya kepada rakyat Sabah.

Menurutnya, kegagalan kerajaan UMNO-BN menyelesaikan masalah itu akan membuatkan rakyat Sabah terasa terasing dan terpinggir di negeri dan negara sendiri kerana kebanjiran pendatang asing yang dibiarkan oleh kerajaan pusat.

Beliau turut menegur sikap sesetengah Ahli Parlimen BN Sabah sendiri di mana pada sidang pertama Parlimen selepas PRU12 (2008), mereka telah menolak cadangan beliau agar RCI ditubuhkan. – Roketkini.com