Berita

Bayan Mutiara: Bukti telah diberikan, beranikah pemimpin UMNO letak jawatan?

GEORGE TOWN, 21 FEB: Tidak ada sebarang keraguan bahawa penjualan tanah 102.3 ekar di Bayan Mutiara telah dilakukan secara tender terbuka, telus dan mematuhi semua aspek undang-undang.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, penjualan tanah itu melalui “Request For Proposal” dilaukan secara:

  • Tender terbuka yang berdaya saing
  • Dipaparkan dengan jelas di laman-laman web dan suratkhabar; dan
  • Diperhatikan oleh Juruukur Bertauliah dan Penilai Berdaftar bebas dan terkemuka iaitu Raine & Horne International semasa sesi taklimat yang telah diadakan di Pulau Pinang, KL dan Singapura.

“Tawaran yang tertinggi dalam tender terbuka telah dipilih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, apabila tender dipanggil pada tahun 2010, seramai 37 pihak telah membeli dokumen-dokumen tender pada harga RM3,000 setiap satu.

Namun demikian, jelasnya, apabila tender ditutup pada 31 Dis 2010, hanya 4 tawaran tender telah diterima, iaitu daripada:

  1. Chia Tai Xing Ye Industrial Development Ltd
  2. Ivory Properties Group Berhad
  3. AG Pearl Sdn Bhd (hilang kelayakan akibat tidak membayar “earnest deposit” sebanyak RM1.2 juta
  4. SP Setia Berhad

Tawaran-tawaran tunai yang diterima:

Tempoh Pembayaran 3 tahun 5 tahun 8 tahun
Ivory Properties RM215skp RM240skp
SP Setia RM180skp RM210skp RM225skp
Chia Tai Xing Ye RM200skp

“Oleh kerana Ivory telah memberi tawaran yang paling tinggi iaitu RM240skp atau jumlah besar RM1.072 bilion, mereka telah dipilih.

“Kemudian, kerajaan negeri telah membuat permintaan lanjutan supaya Ivory mengurangkan tempoh bayaran RM240skp daripada 8 tahun kepada 5 tahun. Ini telah diterima oleh Ivory,” jelasnya.

Justeru, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mencabar Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman dan Ahli Parlimen Kota Belud (Sabah) Datuk Abdul Rahman Dahlan – yang mempertikaikan penjualan tanah itu dengan maklumat palsu – agar berani meletakkan jawatan mereka.

Memandangkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa penjualan tanah 102.3 ekar di Bayan Mutiara telah dilakukan dengan tender terbuka yang berdaya saing, beliau mencadangkan kedua-dua ahli politik UMNO itu bersara dari politik serta-merta. – Roketkini.com