Berita

Pasar Chowrasta naik taraf, faedah besar untuk warisan negeri dan peniaga kecil

GEORGE TOWN, 21 FEB: Sebuah bangunan bersejarah di Pulau Pinang, iaitu Pasar Chowrasta, akan dinaik taraf sebagai bangunan warisan dengan anggaran kos di antara RM10 dan RM12 juta, serta dilaksanakan melalui tender terbuka.

Pasar Chowrasta merupakan salah satu pasar basah yang terawal pernah dibina di Pulau Pinang dengan kedudukan yang strategik di empat jalan utama, iaitu Jalan Penang, Lebuh Tamil, Jalan Kuala Kangsar dan Jalan Chowrasta.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, projek menaik taraf Pasar Chowrasta merupakan satu lagi kesungguhan pentadbiran  Pakatan Rakyat untuk mengekalkan dan mempromosikan bangunan warisan.

Katanya, ia juga mengambil berat kebajikan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana dapat berniaga dalam keadaan yang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat.

“Pembangunan semula pasar ini adalah menjadi satu tanda aras kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dalam meningkatkan kualiti dan mutu kehidupan masyarakat dalam bandar. Pembangunan semula Pasar Chowrasta adalah yang pertama dilakukan sejak tahun 1961.

“Ia melibatkan kos di antara RM10 – 12 juta yang akan dibuat secara tender terbuka. Disebabkan Pasar Chowrasta merupakan sebahagian daripada bangunan warisan negeri ini, maka projek- projek pembangunan pasar ini akan dilaksanakan di bawah projek warisan yang akan dikendalikan oleh arkitek warisan antarabangsa, Laurence Loh,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Atas keprihatinan dan kepekaan kerajaan Pakatan Rakyat kepada penjaja-penjaja kecil, Guan Eng berkata, pihak MPPP telah bertungkus lumus untuk menjadikan Pasar Chowrasta sebagai satu ikon dalam Central Business District bagi kawasan George Town.

Katanya, pengenalan dasar cekap, akauntabel dan telus (CAT) oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurutnya, hasilnya ialah lebihan Belanjawan untuk setiap tahun kepada kerajaan negeri, termasuk MPPP dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“Lebihan Belanjawan ini dicapai bukan melalui pengurangan perbelanjaan pembangunan atau tidak belanja langsung. Sebaliknya lebihan Belanjawan masih boleh dicapai sungguh pun perbelanjaan pembangunan ditambah.

“Perbelanjaan pembangunan MPPP naik berbanding dengan 2007 sebanyak RM7 juta, pada 2011 menjadi RM8.9 juta dan bertambah kepada RM24.5 juta pada tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Perbelanjaan pembangunan Pulau Pinang telah bertambah lebih 3 kali ganda daripada tahun 2007 hingga ke 2012 tetapi masih mencatat keuntungan hasil tahunan iaitu seperti berikut:

2008 – RM25, 882, 209

2009 – RM20, 182, 479

2010 – RM63, 268, 428

“Kesemua perbelanjaan pembangunan oleh MPPP ini telah membawa perubahan positif kepada rakyat dalam membentuk pembesaran atau pembinaan jalan dan longkang serta menaik taraf pasar,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih. – Roketkini.com