Berita

Bilik darjah sesak, kerajaan UMNO-BN tolak permohonan bina sekolah baru

PUCHONG, 22 FEB: Bagaimana kanak-kanak mahu belajar dengan tenang dan selesa jika bilik darjah penuh sesak dengan 50 pelajar?

Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok berkata, Kementerian Pelajaran patut peka dengan masalah itu yang melibatkan sekolah-sekolah jenis kebangsaan di sini dengan mengetepikan kepentingan politik atau isu kaum.

Katanya, sudah lebih lima tahun ibu bapa dan waris pelajar-pelajar sekolah jenis kebangsaan di sini terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah lain seawal jam 5 pagi semata-mata memastikan keselesaan buat anak-anak mereka.

“Ini kerana permohonan untuk membina sekolah jenis kebangsaan di sini telah ditolak Kementerian Pelajaran walau pun kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah pun meluluskan pembinaan sekolah-sekolah itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Teresa yang juga Adun Kinrara berkata, sekolah yang terbeban kerana tidak diluluskan pembinaannya oleh Kementerian Pelajaran itu ialah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Yak Chee (2) di Lot 65768, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katolik (2) dan Sekolah Kanak-Kanak Autisme (NASOM) di Lot 65766 Taman Tasik Prima, Puchong.

Katanya, bukan sahaja ruang belajar terlampau padat, kos pengangkutan juga meningkat kerana sekolah jenis kebangsaan yang lebih selesa sudah tidak ada dan ini menimbulkan lagi masalah peningkatan kos sara hidup buat penduduk di sini.

Justeru, hari ini beliau telah melancarkan kempen ‘Kami Mahu Sekolah’ bertujuan mendesak Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan keperluan masyarakat di sini.

Tambahnya, selain mendapatkan tanda tangan waris dan penduduk di sekitar Puchong untuk dikirim kepada Muhyiddin dalam bentuk poskad, kempen ini turut akan disusuli dengan sebuah fan page di laman sosial Facebook (https://www.facebook.com/KamiMintaSekolah) dan majlis makan malam pungutan dana 9 Mac ini.

Kempen ini dijalankan setelah Kementerian Pelajaran pada 25 November lalu telah membalas surat menolak permohonan Kerajaan Pakatan Selangor dengan alasan tanah rezab pendidikan yang ada itu hanya untuk sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan sahaja.

Susulan jawapan balas kementerian itu, Teresa berkata, masanya tiba untuk mewujudkan sebuah kempen yang lebih progresif dengan mendapatkan sokongan rakyat di sini mendesak pihak berwajib.

Beliau yang juga Exco Kanan kerjaaan negeri Selangor berkata, adalah tidak rasional kenapa perlu dikekalkan tanah rezab itu untuk sekolah kebangsaan sahaja sedangkan sekolah rendah jenis kebangsaan dan sekolah menengah jenis kebangsaan di sini telah telampau padat.

Dalam masa sama, Ketua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SRJK Yak Chee (2) Lai Kok Hwa berkata, dalam tempoh lima tahun ini dianggarkan lebih 2,500 pelajar baru terpaksa ditolak dari mendaftar ke sekolah kerana faktor kepadatan kelas yang melampau.

“Ini menimbulkan masalah kepada waris-waris, kerana terpaksa bangun seawal jam lima pagi untuk hantar anak-anak ke sekolah di Serdang, Petaling Jaya atau pun Kuala Lumpur. Ia membazirkan masa dan wang ringgit,” katanya.

Sementara itu ahli perniagaan Lim Fook Choy berkata kerajaan dan pihak kementerian seakan bermain isu politik di sini sedangkan apa yang kerajaan patut lakukan ialah menjaga kepentingan semua rakyat tidak kira apa parti politik pun.

Beliau turut mengeluhkan perkara sama iaitu kepadatan murid dan peningkatan kos waris untuk menghantar anak-anak ke sekolah yang lebih jauh dan selesa. – Roketkini.com