Berita

Kerajaan UMNO-BN lebih sayang Lynas daripada nyawa rakyat

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Keputusan kerajaan pusat UMNO-BN untuk membenarkan kilang sisa nuklear Lynas, walau pun mendapat bantahan daripada rakyat jelata. amat mendukacitakan.

Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago berkata, ini bukanlah kali pertama kerajaan UMNO-BN membenarkan kilang nadir bumi beroperasi di Malaysia walau pun meneydari ia membahayakan nyawa rakyat.

Katanya, kira-kira 30 tahun lalu, kerajaan telah membenarkan Mitsubishi Chemicals di Bukit Merah, Perak untuk mendirikan kilang nadir bumi di mana kesannya telah mengakibatkan kecacatan kelahiran yang teruk serta lapan kes leukimia dalam masa lima tahun.

Katanya, kes-kes kematian bayi dan kanak-kanak, serta keracunan plumbum turut meningkat secara mendadak.

“Kos pembersihan kilang dan tapak pembuangan yang merupakan yang paling besar dalam industri nadir bumi itu adalah USD100 juta. Tetapi yang lebih penting adalah ingatan dan penderitaan para penduduk yang telah kehilangan anak-anak mereka bersama insan-insan tersayang,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, kerajaan UMNO-BN mudah lupa kerana 30 tahun kemudian, tambah Charles, kerajaan sekali lagi membenarkan sebuah kilang nadir bumi untuk didirikan oleh Lynas di Gebeng, Kuantan.

“Ini bermakna kerajaan telah memberikan kebenaran dengan pengetahuan penuh akibat dan kesan berbahayanya,” ujar beliau.

Charles yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor berkata, Lynas Advanced Material Project dikatakan akan menghasilkan 20,000 tan sisa radioaktif, iaitu 10 kali ganda lebih daripada kilang Nadir Bumi Asia di Bukit Merah.

“Ini amat tipikal oleh kerajaan Malaysia. Ia beroperasi pada cara ‘kami tidak akan belajar dari tragedi’ – sama ada tanah runtuh, jerebu mahu pun kilang yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa, kecacatan kelahiran, dan keracunan. Kerajaan memang tidak kisah,” katanya lagi.

Menurut beliau, apa yang lebih memualkan lagi adalah sikap para pemimpin yang terus menjadi tukang angguk Datuk Seri Najib Razak dengan mengatakan kilang itu selamat walau pun telah dipertikaikan oleh rakyat.

Beliau menjelaskan, meski pun penduduk dipindahkan dari kawasan Gebeng atas sebab keselamatan, ia bererti kawasan itu tetap tidak selamat.

“Saya dengan ini mengisytiharkan solidariti bersama para pemprotes yang akan hadir di Kuantan pada Ahad ini (26 Februari) untuk menuntut penutupan kilang nadir bumi ini yang bahaya untuk kita semua,” katanya. – Roketkini.com