Berita

Kempen penerangan DAP di peringkat kampung

PUCHONG, 23 FEB: Dua blogger terkenal Datuk Mohd Ariff Sabri yang lebih dikenali dengan nama Sakmongkol AK47 dan Aspan Alias yang menyertai DAP baru-baru ini semakin rancak kembara ceramah mereka di merata pelusuk negeri.

Malam tadi, mereka berdua telah bersama dengan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Teresa Kok untuk beramah mesra dengan penduduk Kinrara di sini.

Teresa yang juga Adun Kinrara telah turun padang dan bertemu para penduduk serta meraikan anak-anak kecil di kawasan tersbeut dalam satu majlis di Balai Masyarakat Kg. Lembah Kinrara.

Dalam dialog bersama penduduk, Ariff yang juga bekas Adun Pulau Manis di Pahang  berkata, UMNO semakin tidak relevan dan hanya mengharapkan perpecahan rakyat Malaysia mengikut garis kaum untuk terus mengekalkan kuasa.

Sambil berkongsi pengalamannya sebagai bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pekan, beliau menceritakan sikap dan pendirian mantan ketuanya Datuk Seri Najib Razak yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin yang tidak berani untuk “cakap serupa bikin”.

“Mengikut pengalaman peribadi saya bersamanya, Perdana Menteri ini sebenarnya seorang yang tidak begitu tahu hujung pangkal keadaan,” katanya, menambah bahawa keadaan itu menyebabkan UMNO semakin kucar-kacir dan gagal membela nasib orang Melayu.

Aspan pula berkata, sudah tiba masanya orang Melayu tidak lagi diperbodohkan dan terus dipergunakan oleh para pemimpin UMNO untuk menghancurkan masa depan mereka.

Beliau menjelaskan, penglibatan orang Melayu bersama kaum-kaum lain dalam DAP tidak boleh dituduh sebagai ‘petualang negara’ kerana mereka bukan sahaja menyertai sebuah parti politik yang sah di sisi undang-undang tetapi juga berjuang untuk kepentingan semua kaum dan agama.

“Yang mengkhianati amanah dan wang rakyatlah yang menjadi petualang negara yang sebenar,” tambah beliau.

Teresa yang juga Exco Kanan kerajaan negeri Selangor berkata, beliau amat gembira dan senang hati bertemu penduduk di kawasan DUNnya dan berjanji akan terus bekerja kuat untuk mereka.

“Majlis ini bukanlah sebuah program besar-besaran yang dianjurkan Pakatan Rakyat tetapi di atas kapasiti peribadi untuk para penduduk kawasan saya.

“Dengan cara ini, kita sesama rakyat Malaysia dapat menjalin hubungan mesra dengan lebih erat secara peribadi,” ujarnya. – Roketkini.com