Berita

Penderitaan rakyat Palestin jadi mainan politik UMNO

KUALA LUMPUR, 23 FEB: DAP kesal dengan sikap kerajaan pusat dalam menangani perjuangan rakyat Palestin menuntut hak negara merdeka kerana ia telah dijadikan politik murahan oleh para pemimpin UMNO.

Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa DAP Liew Chin Tong berkata, amat menyedihkan apabila kepimpinan UMNO hanya berminat untuk mengambil kesempatan daripada penderitaan rakyat Palestin untuk mengukuhkan kedudukan politiknya sahaja.

Katanya, para pemimpin UMNO tidak berminat untuk benar-benar menjuarai perjuangan Palestin yang hanya digunakan sebagai isu tempatan bagi menyerang Pakatan Rakyat dengan pelbagai tohamahan tidak berasas.

“DAP menjunjung idealisme keadilan, kebebasan dan solidarity, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di negara-negara lain yang mana rakyat mereka ditindas tanpa mengira kaum dan agama.

“Justeru, kami berdiri teguh bersama rakyat Palestin yang dipinggirkan dan sentiasa memberi tekanan terhadap masyarakat antarabangsa untuk menyelesaikan segera konflik dan keganasan di Gaza dam Tebing Barat,” katanya dalam satu kenyataan.

Liew yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, DAP menerima pendirian kerajaan Malaysia yang selaras dengan sikap majoriti masyarakat global untuk menangani isu Palestin.

Menurutnya, DAP menyokong pendirian kerajaan Malaysia seperti mana yang dijelaskan oleh Menteri Luar Anifah Aman dalam Sesi ke-66 Perhimpunan Agung PBB di Neyw York pada 27 September 2011 yang menyatakan bahawa penyelesaikan kepada isu Palestin adalah untuk mendapatkan sebuah kerajaan Palestin yang merdeka berasaskan wujudnya dua negara.

“DAP sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin dan telah mengutuk keganasan regim Israel. Malah seawal 1975, mantan Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang, di hadapan perwakilan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), mengumumkan sokongan DAP kepada rakyat Palestin,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, hipokrasi kerajaan UMNO-BN terdedah apabila Ahli Parlimen DAP Bakri, Er Teck Hwa, dalam sidang Dewan Rakyat yang lalu telah dihalau keluar dari dewan kerana mendesak Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk menjelaskan dakwaan sama ada wujud hubungan perdagangan di antara Malaysia dan Israel. – Roketkini.com