Berita

Siapa yang akan bayar hutang RM580 juta Tajudin Ramli?

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Adakah penyelesaian di luar mahkamah berhubung hutang tokoh korporat Tan Sri Tajudin Ramli bernilai RM580 juta yang tidak perlu dibayarnya bererti semua rakyat Malaysia harus menanggung hutang itu?

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, rakyat berhak mendapat jawapan Datuk Seri Najib Razak tentang hal itu kerana ia membayangkan rakyat Malaysialah yang perlu menanggung segala hutang akibat pelbagai skandal kewangan berjumlah RM100 bilion sepanjang 22 tahun pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Katanya, semakin ramai rakyat mempersoalkan masalah itu kerana kurangnya ketelusan, perkakaunan, penjelasan atau butir-butir tentang hutang RM580 juta oleh Tajudin yang telah “diselesaikan” di luar mahkamah.

“Adakah kerajaan Barisan Nasional telah mencapai satu lagi Rekod Buku Guinness dengan menjadi kerajaan pertama di dunia yang menyerah kalah tanpa menuntut hutang dan hak yang bernilai RM580 juta?

“Siapakah yang akan kita percaya, Mahathir atau Tajudin, apabila masing-masing mempertahankan diri tentang ‘bail out’ (menyelamatkan syarikat) Malaysia Airlines (MAS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Tajudin telah mendakwa melalui affidavit mahkamah bahawa Mahathir telah memaksanya membeli MAS untuk membantu menyelamatkan Bank Negara setelah bank pusat itu melakukan kesilapan dalam spekulasi matawang antarabangsa.

Katanya, Tajudin mendakwa bekas Perdana Menteri itu telah memaksanya berbuat demikian atas alasan “khidmat negara” dengan “Perjanjian Overriding” yang dapat “membebaskan” Tajudin daripada sebarang kerugian.

Sebaliknya, Kit Siang menambah, Mahathir pula telah menafikan dakwaan Tajudin.

Menurutnya, pihak-pihak yang yakin dengan dakwaan Tajudin telah mengemukakan empat alasan untuk mempertahankan kenyataan tokoh korporat itu, iaitu:

1. Mustahil Tajudin akan membuat kerja bodoh dengan membeli saham pada harga RM8 sedangkan harga jualan pada masa itu adalah RM3.50.

2. Tajudin hanya akan berani berbuat demikian jika ada jaminan beliau dilindungi oleh perjanjian overriding seperti yang didakwanya itu.

3. Dakwaan wujudnya perjanjian overriding dilihat sebagai benar apabila kerajaan kemudiannya telah membeli balik daripada Tajudin pada harga dua kali ganda daripada harga pasaran walau pun kerajaan tidak wajib berbuat demikian.

4. Afidavit adalah kenyataan bersumpah kepada mahkamah, dan sebarang kenyataan palsu dianggap sebagai pembohongan, dan ia adalah kesalahan yang boleh didakwa di mahkamah.

Kit Siang berkata, Najib sebagai Perdana Menteri sepatutnya tahu apa yang berlaku.

“Beliau perlu menjelaskan kepada kita sama ada Mahathir atau Tajudin yang berbohong, dan sama ada Tajudin akan dikenakan dakwaan jenayah di mahkamah jika terbukti beliau berbohong dalam afidavitnya,” ujar beliau. – Roketkini.com