Berita

Himpunan Hijau 2.0: Jangan biar yang di atas menindas yang di bawah

KUANTAN, 26 FEB:  Ribuan insan prihatin sudah berada di ibu negeri Pahang awal pagi ini untuk menyampaikan hasrat kepada semua, khususnya kerajaan Malaysia, bahawa menggadai nyawa rakyat sendiri dengan projek toksid berbahaya adalah satu penindasan yang tidak boleh dimaafkan.

Antara yang sudah ada di sini adalah Sasterawan Negara A. Samad Said, Ambiga Sreenavsan, Wong Chin Huat, para pemimpin Pakatan Rakyat serta ribuan anak muda.

Pak Samad yang berada di atas lori yang dijadikan pentas disambut dengan paluan gendang dan suara riuh laungan bantahan terhadap kilang memproses nadir bumi di Gebeng, Pahang oleh syarikat Lynas kedengaran kuat di tapak MPK4 di sini.

Dalam usia lanjut yang belum mengikis kemudaan hatinya, Pak Samad bersuara untuk semua:

“Kita datang untuk menghapuskan Lynas. Saya berbesar hati atas kesedaran semua. Saya harap kita terus berjuang, sekarang hutan kita dalam bahaya dengan racun merosak alam dan menyusahkan anak cucu kita.

“Saya orang tua, umur 76 tahun, jika saya boleh naik atas lori ni, mengapa tidak kamu..saya menulis 4 buah puisi merakamkan rimba kita. Rimba kita adalah hidup kita, kita mesti perjuangkan. Jangan biarkan segelintir orang di atas menindas orang bawah, kita harus lawan!”

Ketibaan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan rombongan juga disambut ribuan penyokong anti-Lynas, sesetengah penyokong melambungkan risalah kertas ke udara sebagai tanda penghormatan ketika beliau naik ke pentas.

Ketika ini lautan manusia sudah membanjiri perkarangan padang MPK4, ada yang bediri, mengibar bendera, duduk, mengambil gambar. Suasana seperti pesta besar, tiada ruang padang yang kosong.

Timbalan Ketua Pemuda DAP Jenice Lee yang turut berada di tapak perhimpunan gembira kerana walau pun cuaca panas, ia tidak melemahkan semangat penyokong untuk berhimpun.

Katanya, rakyat, NGO dan parti politik bersatu untuk menentang Lynas kerana sedar akan bahaya bahan beracun yang boleh menjejaskan kesihatan serta menimbulkan penyakit. – Roketkini.com