Berita

Lebih kuasa untuk SPRM: Untuk berani siasat atau terus tindas rakyat?

Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Datuk Seri Najib Razak telah berjanji mahu memberi lebih kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia – adakah kerana Perdana Menteri mahu SPRM lebih berani menyiasat semua pihak atau mahu lebih menekan dan menindas rakyat?

Persoalan itu ditimbulkan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang apabila mengulas janji Najib yang mahu memberi lebih kuasa kepada SPRM jika Barisan Nasional memenangi pilihan raya umum akan datang dengan majoriti dua pertiga Parlimen.

Katanya, janji Najib itu adalah luar biasa kerana apa-apa cadangan untuk memberi SPRM lebih banyak kuasa untuk menyiasat dan menegakkan keadilan tidak perlu bergantung kepada kemenangan oleh mana-mana parti dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, BN tidak perlu menunggu hingga menang dengan dua pertiga majoriti kerana Pakatan Rakyat bersedia untuk menyokong sebarang cadangan yang dapat memastikan SPRM bebas dan tidak takut untuk menyiasat dan mendedahkan rasuah serta penyelewengan mana-mana pihak, termasuk di peringkat tertinggi kerajaan pusat.

“Malah, Pakatan Rakyat sedia menyokong cadangan khusus oleh panel penasihat SPRM bahawa satu suruhanjaya perkhidmatan anti-rasuah perlu dibentuk dan diberi kuasa untuk melantik dan memecat pegawai SPRM, yang memerlukan pindaan perlembagaan dengan undi dua pertiga Parlimen, dalam mesyuarat Parlimen bulan depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Najib tidak serius mahu membasmi rasuah kerana masih belum mengulas tentang Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (CPI) 2011 pada Disember lepas yang menunjukkan bahawa Malaysia telah jatuh ke ranking nombor 60 dengan skor terendah sebanyak 4.3.

Berdasarkan ranking CPI TI terbaru 2011 dan skor dan data yang sedia ada hingga 1995, Malaysia di bawah Najib lebih korup berbanding di bawah kedua-dua mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Najib harus menghentikan permainan teka-teki PRU, dan sebaliknya membuktikan keikhlasannya membasmi rasuah dengan mengisytiharkan hartanya dan Ahli-Ahli Kabinet kepada umum.

Malah, katanya, Perdana Menteri patut berani untuk membawa ke Parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mereformasikan SPRM kerana Pakatan Rakyat akan menyokong BN untuk mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan.

“Mengikut laporan berita semalam, Najib berkata bahawa pindaan perlembagaan diperlukan untuk membentuk SPRM dengan kuasa untuk melantik dan menamatkan jawatan-jawatan dalam SPRM. Kini, pegawai-pegawai SPRM dilantik melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Beliau telah menambah bahawa BN akan melakukan pindaan yang diperlukan jika mereka memenangi majoriti dua-pertiga dalam PRU akan datang.

“Kenyataan ini mendedahkan ketidakikhlasan Perdana Menteri. Jika beliau betul-betul serius, beliau boleh sahaja berunding dengan PR mengenai perkara ini. PR tidak akan teragak-agak untuk menyokong. Sudah banyak kali PR telah mengenepikan perbezaan politik untuk kepentingan umum,” jelasnya.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, jelas bahawa SPRM tidak bebas dan ini telah menjejaskan prestasinya sampai kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International.

Beliau turut mengambil contoh skandal “lembu dan kondo” yang membabitkan keluarga Menteri Kabinet.

“Bagaimanakah rakyat Malaysia akan mengambil SPRM secara serius apabila tidak ada tindakan diambil ke atas pemimpin-pemimpin BN yang mempunyai kekayaan luarbiasa?,” kata beliau. – Roketkini.com