Rencana

Relevan politik DAP masa kini – Oleh Muhammad Zir

Isu mengenai pentadbiran yang telus dan cekap merupakan satu agenda yang cukup mendasar dan amat penting dalam perjuangan Pakatan Rakyat, khususnya kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Skandal-skandal seperti National Feedlot Corporation (NFC), skandal penswastaan syarikat MAS yang melibatkan kroni UMNO-BN iaitu Tajudin Ramli, kerugian skandal PKFZ, isu kapal selam, pembelian kelengkapan ATM, isu konsesi tol-tol di Malaysia, isu kos KLIA2, kerugian Proton dan banyak lagi isu besar yang kesemuanya adalah berpunca dari kegagalan di dalam aspek pentadbiran dan polisi kerajaan.

Punca inilah yang perlu difahamkan kepada rakyat daripada gebang politik populis. Maksudnya, kita harus mengambil kesempatan untuk membawa masyarakat melihat bagaimana dasar yang culas menyebabkan hasil yang sampa larau.

Itu belum lagi kita amati isu sebenar di sebalik isu AUKU (mahasiswa dan kebebasan akedemik), isu ISA (hak asasi dan tahanan tanpa bicara, isu Akta Perhimpuanan Aman (sekatan lebih ketat bagi perhimpunan aman) dan isu-isu kaum serta agama. Kesemua ini menjadi indikator yang jelas terhadap dasar-dasar politik kerajaan Barisan Nasional yang gagal.

Yang terkini, isu kilang sisa toksik Lynas juga turut berpunca dari masalah yang sama, iaitu dasar politik yang menyimpang dari memberi fokus terhadap kepentingan awam. Bagaimana lojiknya isu keselamatan dan kesihatan awam boleh dikompromi dengan mudah hanya semata-mata atas kehendak kerajaan pada keuntungan projek Lynas itu tanpa memikirkan nyawa rakyat.

Ini masalah dasar politik dan dasar pentadbiran yang gagal menterjemahkan kehendak politik menjadi satu tindakan yang memihak kepada kehendak rakyat.

DAP dalam agenda nasional

Gebang politik DAP bukan hanya duduk pada premis yang bersifat populis semata-mata, sebaliknya dasar perjuangan bersama dalam Pakatan Rakyat lebih menfokus kepada isu kepentingan bersama.

Peredaran masa telah membawa isu-isu kembali kepada dasar perjuangan politik kebangsaan DAP, iaitu memperbetulkan sistem sedia ada dan mereformasikan daulah kita.

Dasar perjuangan DAP yang menentang rasuah dan salah guna kuasa ini, suatu ketika dahulu dianggap sebagai isu ‘nyamuk’ bagi BN termasuk oleh kebanyakan rakyat. Malah UMNO-BN menggambarkan kepada rakyat menerusi media massa mereka, bahawa perjuangan DAP ini hanya bersifat retorik politik sahaja.

Namun kini segalanya telah berubah selepas rakyat memberi mandat kepada DAP untuk memerintah Pulau Pinang. Yang dikatakan sebagai ‘retorik politik’ DAP ini kini telah berjaya diterjemahkan dengan satu tindakan konkrit yang akhirnya ia menjadi contoh terbaik bagaimana melaksanakan perjuangan kata-kata itu.

DAP berjaya membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa perjuangan menentang segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa, sangat relevan dan penting buat seluruh rakyat, merentas kaum dan agama.

Perlu kita ulangi bahawa:

* Isu NFC bukanlah isu ekonomi bumiputera; ia soal salah guna kuasa dan penyelewengan;

* Isu penswastaan dan kerugian MAS bukanlah isu ekuiti saham bumiputera; ia soal salah guna kuasa kerajaan dan kegagalan pentadbiran kroni;

* Isu PKFZ bukanlah isu perkauman; ia soal penyelewengan para pemimpin kerajaan BN;

* Isu kos pembelian peralatan ATM bukanlah isu keselamatan negara; ia soal ketidaktelusan pengurusan dan pembaziran wang rakyat;

* Isu konsesi tol dan lebuh raya bukanlah isu kemudahan asas rakyat; ia adalah soal mengkayakan kroni dan memiskinkan rakyat;

* Isu Kedai Rakyat 1Malaysia, BR1M, 1Care bukanlah isu untuk rakyat membenci kerajaan; ia soal ketidaktelusan, pembaziran dan muslihat politik sekadar untuk BN menang pilihan raya; dan

* Isu Lynas bukanlah isu untuk pelaburan; ia adalah soal keselamatan nyawa dan kesihatan rakyat serta pencemaran alam sekitar.

Sebaliknya semua ini adalah isu korupsi (rasuah), salah guna kuasa, tidak telus dan amalan politik yang salah dimana semua ini sangat kritikal terhadap masa depan negara kita.

Perjuangan yang relevan

Kini DAP dapat menterjemahkan agenda ekonomi yang selama ini dianggap sukar dan kompleks itu kepada rakyat dengan bahasa yang mudah dengan contoh-contoh terkini yang sangat relevan seperti skandal-skandal yang kita senaraikan itu.

DAP juga mendapat peluang untuk re-invent imej dan perjuangan parti yang selama ini dimomokkan sebagi parti cauvinis kepada satu bentuk perjuangan yang lebih lengkap dan yang memenuhi tuntutan politik zaman baru.

Dengan maksud yang lebih ringkas, perjuangan yang selama ini dianggap tidak relevan kini telah bertukar menjadi satu dasar perjuangan yang sangat-sangat relevan dan praktis, dan kena pada batang hidup setiap rakyat, termasuk orang Melayu. – Roketkini.com