Berita

Chua Soi Lek sebagai Presiden UMNO?

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad yang celupar mencadangkan Lim Kit Siang sebagai Presiden PAS, Ketua Parlimen DAP itu mencadangkan agar bekas Perdana Menteri patut mengesyorkan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menjadi Presiden UMNO.

Sindiran Kit Siang adalah sebagai membalas perli Mahathir terhadap PAS yang dilaporkan media sebagai bersedia untuk melantik Timbalan Presiden PAS daripada kalangan bukan Islam. Mahathir menyindir PAS dengan mencadangkan Kit Siang dilantik menjadi Presiden PAS.

Dalam kenyataannya hari ini, Kit Siang menjelaskan, walau pun sindiran Mahathir terhadapnya tidak perlu diambil serius, apa yang lebih penting ialah saranan Mahathir supaya semua pemipin politik yang bergelar “Tun” bersama “anak dan cucu cicit” mereka harus disiasat dan diaudit sepenuhnya tentang kerugian RM100 bilion semasa 22 tahun pemerintahan Mahathir.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur memberi contoh kerugian teruk Malaysia Airlines (MAS) walau pun setelah kerajaan menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan syarikat penerbangan negara yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggan rakyat.

Katanya, MAS mencatatkan kerugian sebanyak RM2.52 bilion pada tahun 2011, dan ia berpunca daripada keputusan Mahathir untuk menggunakan saham MAS dalam Bank Negara untuk membantu Bank Negara yang kerugian RM30 bilion akibat kerugian dalam pasaran tukaran wang asing pada suatu ketika dahulu.

“Tatkala rakyat yang menanggung semua kerugian ini, Tan Sri Tajudin Ramli (yang dikatakan diarahkan oleh Mahathir untuk mengambil alih MAS dahulu) dilepaskan begitu sahaja oleh kerajaan meski pun mahkamah telah pun mengarahkannya untuk membayar hutang RM580juta kepada kerajaan,” ujarnya. – Roketkini.com