Berita

DAP bantu mangsa kebakaran

PUCHONG, 1 MAC: Setiausaha Organisasi DAP Teresa Kok hari ini melawat keluarga  mangsa kebakaran di Kg. Tengah di sini. Mereka adalah keluarga yang menjalankan peniagaan kecil-kecilan menjual putu bambu dan nasi lemak.

Dalam pertemuan itu, Teresa memberi sumbangan peribadi sebanyak RM5,000 dan berikrar untuk membantu keluarga tersebut untuk mendapatkan pinjaman mikro kredit bagi meringankan beban kehilangan mata pencarian akibat peralatan dan mesin-mesin produk perniagaan telah hangus.

“Biar pun sumbangan ini kecil sahaja, diharap ia boleh meringankan beban keluarga mangsa dan saya akan berusaha untuk mendapatkan dan mengumpul dana bagi membantu keluarga mangsa,” katanya.

Wakil keluarga mangsa kebakaran, Amalia Kayun berterima kasih dengan jasa Teresa yang telah membantu mereka.

“Keluarga adik saya telah hilang mata pencarian, jadi sumbangan ini amat bermakna untuk keluarga adik saya untuk meneruskan hidup dan mencari rezeki,” katanya.

Turut hadir bersama ialah Ketua Kampung kawasan tersebut, Roslan bin Mat dan juga JKK Kampung Hal Ehwal Wanita Che Esah binti Basri. – Roketkini.com