Berita

Pengurangan tol Grand Saga Cheras-Kajang: Siapa tanggung kos?

SERDANG, 3 MAC: Berita baik ialah pemansuhan dua kutipan tol sepanjang Lebuh Raya Cheras-Kajang, mengurangkan kos pengguna sebanyak 50 peratus. Berita kurang baik ialah tiada siapa tahu sama ada ia kerajaan Barisan Nasional akan mengadakan perjanjian baru dengan syarikat pengutip tol tersebut atau konsesi mana yang akan dilanjutkan.

Justeru, Pembantu Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching mahu Datuk Seri Najib Razak menjelaskan kepada rakyat secara telus sama pemansuhan kutipan tol itu akan:

* Mengakibatkan satu lagi perjanjian konsesi antara Kerajaan Persekutuan dan syarikat pengutip tol;

* Menyebabkan konsesi akan dilanjutkan; dan

* Memberikan pampasan kepada syarikat konsesi yang terlibat.

Menurut Teo, pada 19 September 1995, perjanjian konsesi telah ditandatangani di antara Grand Saga Sdn Bhd dan Kerajaan Malaysia, memberikan hak eksklusif dan kuasa untuk Grand Saga untuk mengurus, mengendali dan menyenggara lebuh raya bagi tempoh 30 tahun.

Walau bagaimanapun, katanya, pada tahun 2002, tempoh konsesi Lebuh Raya Cheras-Kajang telah dilanjutkan kepada 2027 berikutan semakan semula kenaikan kadar tol yang dijadualkan. Untuk itu, Grand Saga telah menerima pampasan daripada Kerajaan.

Pada tahun 2003 dan 2004, kerajaan membayar Grand Saga pampasan sebanyak RM104.93 juta, selain daripada mengecualikan faedah ke atas dan pembayaran balik pinjaman sokongan RM59 juta yang diberikan kepada pemegang konsesi.

Pada tahun 2011, kerajaan telah melanjutkan tempoh konsesi kepada 2030 berikutan pembukaan jalan masuk yang menghubungkan Bandar Mahkota Cheras dan Bandar Tun Hussein Onn.

Jumlah kutipan pendapatan untuk Lebuhraya Cheras-Kajang sehingga 31 Disember 2010 adalah RM585.5juta dan kos penyelenggaraan pula RM147.31juta, manakala kos pembinaannya pula RM282juta.

“Perdana Menteri harus berhenti menjadi Santa Claus dan harus jujur pada semua rakyat Malaysia, iaitu sama ada pemansuhan dua plaza tol ini akan menyebabkan penyambungan tempoh konsesi Lebuhraya Cheras-Kajang atau pun pampasan akan dibayar kepada Grand Saga Sdn Bhd,” kata Teo yang juga Ahli Parlimen Serdang.

Katanya, rakyat tidak boleh membenarkan Najib menggunakan taktik itu untuk memancing undi kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

“Rakyat berhak untuk mengetahui maklumat tentang ‘persefahaman’ kerajaan dan Grand Saga,” ujarnya. – Roketkini.com