Berita

Tunku Aziz kesal budaya Melayu tercemar dengan keganasan

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Senator Tunku Abdul Aziz kesal dan kecewa dengan tindakan segelintir orang Melayu dan India Muslim yang bertindak ganas terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sewaktu menghadiri perhimpunan aman Himpunan Hijau 2.0 di Padang Kota Lama pada hujung minggu lalu.

Sebagai tokoh veteran pencegahan rasuah dan pemuka urus tadbir kerajaan bersih, beliau terkejut dengan maki-hamun dan tindakan ganas itu yang memalukan semua pihak yang mahukan keamanan dan kestabilan di negara ini.

“Adakah ini yang dimaksudkan dengan ‘Melayu Baru’? Adakah mereka telah membuang segala kesopanan dan kesantuan nenek moyang mereka? Apakah yang telah terjadi kepada adat, atau itu pun sudah mereka lupakan?” kata beliau dalam tulisannya hari ini.

Tunku Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP berkata, tidak ada salahnya jika mana-mana pihak tidak bersetuju dengan politik Guan Eng tetapi keganasan dan sikap kurang ajar bukan cara untuk menyuarakan bantahan.

Katanya, Guan Eng adalah ketua sebuah kerajaan negeri yang berdaulat dan setiap orang perlu menunjukkan rasa hormat terhadap pemimpin pilihan rakyat yang menerajui kerajaan negeri.

“Itulah pendirian saya bagi sesebuah masyarakat yang bertamadun. Yang kurang dari itu tidak boleh diterima sama sekali,” tegasnya.

Menurutnya, beliau juga menghadiri perhimpunan aman Himpunan Hijau 2.0 di Kuantan pada hari yang sama di mana suasananya tenang dalam keadaan semua pihak bersopan santun tanpa bertindak ganas dan kurang ajar.

“Polis di Kuantan perlu diberi pujian terbaik kerana melaksanakan tugas secara profesional. Mereka berada di sana apabila diperlukan, dan selain dari itu, mereka bersiap-sedia memantau (tanpa mengganggu orang ramai).

“Polis di Pulau Pinang pula telah memalukan kehormatan pakaian seragam mereka. Mereka hanya berdiri di situ tanpa berbuat apa-apa untuk menghalang perbuatan kasar dan ganas yang dilihat bakal meletuskan keganasan besar,” jelasnya.

Tunku Aziz menambah, berdasarkan klip-klip video yang ditontonnya, polis di Pulau Pinang pada Ahad lalu tidak membantu Ketua Menteri Pulau Pinang apabila beliau memerlukan campur tangan polis untuk menjamin keselamatan dirinya.

Katanya, sikap dan sifat pihak polis seperti itu perlu diubah jika mereka mahu rakyat menyokong dan menghormati mereka.

“Polis tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak,” katanya. – Roketkini.com