Berita

Lynas mahu bertemu Guan Eng? Mengapa?

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Lynas Corporation, syarikat perlombongan nadir bumi Australia, telah melakukan satu tindakan yang mengejutkan dengan membuat permohonan rasmi untuk  bertemu dengan Lim Guan Eng.

Lynas melalui syarikat perhubungan awamnya di sini telah membuat permohonan itu apabila mengetahui Ketua Menteri Pulau Pinang itu akan mengadakan lawatan ke Australia pada 23 Mac nanti.

Bagaimana pun, Guan Eng hairan mengapa Lynas ingin menemui beliau.

“Saya Ketua Menteri Pulau Pinang. Bukan (Ketua Menteri) Pahang. Dia seharusnya bertemu kumpulan-kumpulan di Kuantan.

“Saya tidak akan membuat keputusan sebelum mendapat maklum balas pihak-pihak yang berkepentingan seperti grup anti-Lynas dan Himpunan Hijau,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, adalah lebih baik jika pihak pengurusan tertinggi Lynas datang sendiri ke Malaysia dan bertemu dengan rakyat prihatin, khususnya mereka yang menentang Lynas untuk mengetahui aspirasi rakyat Malaysia.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, dalam rangka lawatannya ke Australia nanti, dijadualkan berucap kepada mahasiswa di Universiti Melbourne.

Difahamkan, mengambil peluang itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lynas Corporation, Nick Curtis ingin bertemu beliau untuk memberi maklumat terkini tentang perkembangan loji nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang.

Syarikat perhubungan awam Lynas di Malaysia, Ogilvy Public Relations Worldwide, telah menghantar email kepada setiausaha akhbar Guan Eng memohon untuk diaturkan pertemuan antara mereka.

Sementara itu, Setiausaha DAP Pahang, Lee Chin Chen yang turut hadir dalam sidang media itu, berkata Himpunan Hijau, kumpulan yang mengatur perhimpunan aman menentang operasi loji nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang 26 Februari lalu, akan bertemu malam ini untuk membincangkan hal tersebut.

Loji nadir bumi Lynas di Gebeng telah menimbulkan keresahan penduduk setelah pendedahan dibuat tentang risiko yang boleh ditanggung seandainya sisa-sisa radioaktif dari loji tersebut tidak diuruskan dengan baik.

Ribuan rakyat berbilang kaum telah berhimpun di Kuantan 26 Februari lalu membantah operasi syarikat terbabit. – Roketkini