Berita

Mengapa kerajaan beli syarikat Ananda Krishnan?

Kuala Lumpur, 6 Mac – Perdana Menteri Najib Razak digesa membentangkan laporan kepada parlimen pada persidangan yang akan bermula minggu hadapan tentang status pelaburan syarikat milik penuh kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Gesaan tersebut adalah berikutan langkah syarikat itu yang dilaporkan telah membeli Tanjong Energy Holdings, sebuah syarikat penjanakuasa bebas milik Ananda Krishnan yang memiliki loji janakuasa di serata Asia.

Semalam The Singapore Straits Times melaporkan bahawa 1MDB telah mengambil alih kepentingan Ananda dalam Tanjong Energy pada nilai RM8.5 Bilion.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, 1MDB adalah sebuah syarikat pemudahcara strategik untuk ide-ide dan sumber pembangunan baru, sedangkan “perniagaan janakuasa elektrik bukanlah suatu sumber pembangunan baru,” kata Tony dalam sidang medianya di Ibu Pejabat DAP hari ini.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu, kemasukan 1MDB ke dalam industri penjanakuasaan elektrik tidak akan memberi nilai tambahan yang besar memandangkan negara sudah cukup meriah dengan syarikat-syarikat penjanakuasa bebas (IPP), seperti Malakoff Bhd, YTL Power dan Genting Sanyen yang mendahului senarai 20 IPP di negara kini.

Lebih merisaukan, operasi 1MDB dibiayai dengan pinjaman yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan. “Kali terakhir ia membuat pinjaman bernilai RM5 bilion, 1MDB melabur RM4.2 bilion dalam satu usahasama spekulatif dengan sebuah syarikat minyak, PetroSaudi International. Bagaimanapun, dalam jangkamasa 6 bulan sahaja, 1MDB telah menukar pelaburan sebanyak 40% dalam usahasama itu menjadi pinjaman berjangkamasa 11 tahun kepada sebuah syarikat yang ‘rekodnya’ hanya bermula pada tahun 2005.”

Penglibatan 1MDB dalam usahasama PetroSaudi itu akhirnya menyebabkan syarikat milik negara itu tidak memiliki dana untuk menjalankan projek-projeknya sendiri. 1MDB masih perlu mendapatkan dana untuk membangunkan Bandar Malaysia di Sungai Besi dan Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD) yang bernilai RM26 bilion.

Menurut Pua, semua risiko daripada tindakan 1MDB akan terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia. “Tanpa kemahiran atau pengalaman dalam industri minyak dan gas, pembangunan hartanah dan kini ditambah dengan pelaburan terbaru sebanyak RM8.5 bilion dalam Tanjong Energy, 1MDB sedang menyiapkan diri untuk mencipta rekod bail-out terbesar di Malaysia.”

Justeru itu Pua menggesa Najib mengemukakan laporan rasmi daripada pihak kementerian berkenaan di Parlimen untuk mengelakkan negara daripada terjebak dalam malapetaka sektor kewangan yang dapat memicu krisis ekonomi terburuk dalam sejarah negara ini. – Roketkini