Berita

Najib harus undur dari portfolio kewangan

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri harus melepaskan jawatanya sebagai Menteri Kewangan untuk mengelak konflik kepentingan serta mengurangkan beban tugas pentadbiran Negara.

Jawatankuasa Dasar Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa seseorang individu tidak sepatutnya memegang dua jawatan penting seperti Perdana Menteri dan Menteri Kewangan secara serentak.

Jawatankuasa itu yang terdiri daripada Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Antarabangsa DAP Liew Chin Tong, dan Ketua Penyelidik PAS Dr Dzulkefly Ahmad mahu Najib mendahulukan kepentingan rakyat dan negara.

“Amalan (memegang dua jawatan besar) tersebut boleh menimbulkan konflik kepentingan kerana keperluan yang datang bersama jawatan ini adalah berbeza. Seorang kerjanya menjaga duit, seorang lagi kerjanya adalah membelanjakan duit. Mana mungkin ia boleh jadi orang yang sama?”

“Tambahan pula prestasi beliau sebagai Menteri Kewangan adalah mengecewakan setakat ini. Beliau berdolak dalih tentang cukai perkhidmatan 6%, cukai perolehan hartanah dan pelbagai lagi pengumuman reformasi seperti Suruhanjaya Peluang Saksama.

“Dolak-dalih beliau jelas menunjukkan seorang yang lebih bagus harus diberikan jawatan tersebut,” kata mereka dalam kenyataan bersama tersebut.

Jawatankuasa itu turut berkata bahawa kewujudan dua Menteri Kewangan sekarang turut mengelirukan kerana mereka pun tidak dapat membezakan bidang kuasa masing-masing.

“Pandangan kita di Pakatan Rakyat adalah mudah. Malaysia perlukan hanya seorang sahaja Menteri Kewangan yang menjawat jawatan itu secara sepenuh masa.

“Dengan ramalan ekonomi yang gelap buat Malaysia, lebih baik Najib melepaskan jawatan tersebut,” kata jawatankuasa itu lagi. – Roketkini.com