Berita

DAP lancar kempen derma untuk OKU yang ditindas oleh kerajaan BN

KUALA LUMPUR, 8 MAC – Tindakan Menteri Muda Pertanian Sarawak Mong Dagang menyekat bantuan untuk orang kurang upaya (OKU) semata-mata kerana menyokong Pakatan Rakyat adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Mong yang mewakili kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak bertindak kejam dengan mengarahkan dua jabatan kerajaan untuk menarik balik subsidi dan bantuan kebajikan kepada seorang OKU yang bernama Frusis Lebi hanya kerana beliau dilaporkan mengibarkan bendera parti komponen Pakatan serta membenarkan rumahnya digunakan sebagai bilik operasi pilihan raya dalam pilihan raya negeri Sarawak 2011.

Pembantu Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching berkata tindakan Mong adalah diskriminasi terhadap seorang warga Malaysia yang hanya mengamalkan hak kebebasan berpolitik.

“Mong telah lupa tanggungjawabnya sebagai menteri muda untuk menjaga kebajikan semua rakyat di Sarawak. Tentunya Mong tidak layak untuk memegang jawatannya.

“Kami bersimpati dengan Frusis Lebi, seorang petani yang telah disekat bantuan pertanian dan kebajikannya kerana menyokong pembangkang. Sejak beberapa hari lalu, saya telah menerima banyak panggilan telefon dan mesej untuk memberi bantuan kepada Frusis Lebi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Teo yang juga Ahli Parlimen Serdang berkata, DAP telah membuat keputusan untuk mengadakan kempen atas talian (online campaign)  selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 14 Mac bagi membolehkan orang ramai menderma kepada Frusis yang telah kehilangan punca bantuan kehidupannya akibat tindakan zalim BN.

Katanya, DAP akan menyiarkan pernyataan akaun tersebut sepanjang tempoh kempen derma.

Selepas itu, menurutnya, DAP Sarawak akan ditugaskan menyampaikan kutipan derma itu kepada Frusis Lebi bagi menjamin beliau dan keluarga tidak menjadi mangsa keputusan zalim kerajaan BN Sarawak.

Semua sumbangan, sama ada RM1 atau RM100 atau lebih, boleh disalurkan melalui:

Name:                          CAWANGAN DAP KAJANG PRIMA

Bank:                           RHB

Nombor Akaun:          212022-0012-7570

Semua rakyat prihatin digalakkan memberi sumbangan sebagai tanda menyokong usaha menentang kezaliman dan diskriminasi terhadap rakyat Malaysia. – Roketkini.com