Berita

DAP minta polis prihatin keselamatan wanita

PETALING JAYA, 8 MAC: Pemuda DAP Selangor meraikan Hari Wanita Sedunia 2012 dengan menghulurkan wisel kepada golongan wanita di Stesen LRT Kelana Jaya di sini semalam.

Walau pun membawa wisel mungkin tidak berciri “hi-tech”  atau canggih, alat kecil itu  mampu menarik perhatian orang ramai apabila ditiup apabila wanita menjadi mangsa serangan atau ancaman.

Ketua Pemuda DAP Selangor Jenice Lee berkata, wanita sering disasar oleh peragut dan perompak oleh kerana dari segi fisiologi dan kekuatan fizikal, golongan wanita lemah dibandingkan dengan lelaki.

Katanya, apabila berada di kawasan awam, sesetengah wanita juga terpaksa melindungi anak-anak mereka dari ancaman dan mungkin mengalami kecederaan jika diragut.

Menurutnya, golongan wanita juga perlu meningkatkan kesedaran dan kepekaan kepada alam sekitar apabila berada di kawasan awam pada setiap masa.

“Pihak polis  bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman, tetapi polis sering memberi alasan seperti kekurangan kakitangan dan tidak dapat menyelesaikan masalah keselamatan masyarakat,” ujarnya.

Demi mengatasi isu keselamatan yang kronik terutamanya di kawasan Petaling Jaya, Lee yang juga Adun Teratai berkata, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah membuat permintaan kepada Kerajaan Pusat pada bulan Disember 2009 untuk mengupah polis bantuan.

Beliau berkata, tujuannya adalah untuk membantu polis mengurangkan jenayah dan meningkatkan tahap keselamatan penduduk di kawasan bandar,  tetapi malangnya ia telah ditolak oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Oleh demikian, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor telah membantu membuat rayuan bagi pihak MBPJ tetapi  hingga hari ini, MBPJ masih belum terima apa-apa jawapan atau respon,” katanya.

Sedangkan kawasan KLIA dan kawasan Sunway dilengkapi pihak polis bantuan untuk kerja-kerja rondaan tetapi Kementerian Dalam Negeri tetap tidak meluluskan permohonan MPBJ dan kerajaan Negeri Selangor, tambah beliau. – Roketkini.com