Rencana

Dewan Undangan Negeri untuk Kuala Lumpur? – Oleh Iskandar Fareez

Selama lebih daripada 40 tahun, bandar raya Kuala Lumpur telah ditadbir oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Malangnya, sejak kebelakangan ini DBKL telah menarik sedikit sebanyak kritikan akibat pendekatannya dalam mengendalikan sesetengah isu.

Salah satu daripadanya ialah tindakan DBKL untuk meneruskan dengan perobohan tembok penjara Pudu walau pun telah menerima bantahan daripada banyak pihak. Selain itu, timbul pula isu di mana pemilik hartanah di Jalan Sultan membantah tindakan pengambilalihan premis mereka oleh pihak kerajaan untuk membangunkan projek Transit Rapid Massa (MRT).

Hal-hal ini menunjukkan bahawa umumnya kegelisahan dan masalah yang dihadapi oleh penduduk KL tidak dijuarai secara khusus oleh mana-mana pihak. DBKL seperti yang kita tahu, dilantik oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, maka tiada keperluan untuknya mengambil tindakan berdasarkan keperluan atau aduan penduduk tempatan.

Dengan kuasa penuh DBKL yang tidak dipilih oleh rakyat, Ahli-ahli Parlimen bagi kawasan Kuala Lumpur hanya boleh menangani isu-isu nasional dan tidak mempunyai apa-apa kuasa khusus bagi kawasan bandaraya atau pengurusan DBKL.

Jika realitinya sebegini, bagaimana mungkin aspirasi dan impian penduduk-penduduk KL ini dapat dicapai? Siapa pula yang akan menjuarai dan membela nasib mereka jika isu-isu yang disebut sebelum ini berlaku lagi kelak.

Mungkin jawapannya terletak dengan penduduk KL memilih perwakilan mereka yang kemudian membentuk kerajaan wilayah. Mungkin masanya sudah tiba untuk KL membentuk dewan perundangannya tersendiri yang sama atau hampir sama dengan Dewan-Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri di Malaysia.

Ada apa di KL?

Sebelum itu, mari kita lihat sedikit fakta tentang KL. Terletak di pertemuan di antara Sungai Gombak dan Sungai Klang, kawasan sebesar 243km persegi ini sekarang mempunyai jumlah penduduk yang dianggarkan seramai 6 juta orang. Menurut laporan antarabangsa, KL sudah dalam proses menjadi salah satu bandaraya bertaraf dunia.

Untuk meneruskan kemajuan tersebut, perancangan rapi adalah perlu bagi memastikan tiada satu pun rakyat yang terpinggir dek proses urbanisasi yang berlaku di sekitar KL.

Dalam dekad ini sahaja, kita telah lihat beberapa pelan yang merangka arah tuju KL untuk masa akan datang. Pelan Strukur Kuala Lumpur 2020, ialah salah satu daripada pelan tersebut. Dirangka pada tahun 2003, pelan ini membayangkan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia dari segi infrastruktur, persekitaran, pengurusan bandar dan kemudahan kebudayaan, sosial dan kemasyarakatan

Satu lagi pelan diperkenalkan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) Perdana Menteri Dato’ Seri Najib. Mengenalpasti Kuala Lumpur dan Lembah Klang (GKL) sebagai salah satu Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), Kuala Lumpur dan kawasan Lembah Klang diharapkan dapat menjadi enjin pembangunan bagi seluruh negara.

Walau pun perkembangan ini dialu-alukan, inisiatif terebut lebih menjurus kepada transformasi-transformasi yang tidak berakarkan keperluan dan kehendak rakyat. Ia dicipta dari atas yang menyangka sudah mengetahui isi hati warga ibu kota.

Hal ini kerana, tiada satu peruntukan pun dalam pelan-pelan tersebut mengetengahkan isu perwakilan dan isu memperkasakan suara rakyat. Sedangkan isu-isu seperti inilah yang akan memastikan nasib penduduk-penduduk KL terus terjamin.

Siapa kuasai KL?

Datuk Bandar dan staf-staf DBKL rata-ratanya dilihat seperti terpisah daripada sentimen-sentimen penduduk di akar umbi. Memang staf DBKL adalah pegawai dan kakitangan kerajaan, sama seperti negeri-negeri lain. Namun, Datuk Bandar dan para “exco” DBKL sepatutnya dipilih oleh warga kota yang dapat mencerminkan aspirasi dan keperluan mereka.

Apabila suara demokrasi tidak diendahkan melalui proses yang sah, isu-isu yang berkait rapat dengan penduduk tidak dipedulikan, malahan yang menjadi fokus utama ialah kepentingan sendiri dan pihak kementerian.

Apabila kita menjadi lebih maju, banyak syarikat-syarikat gergasi antarabangsa yang akan mendirikan pejabat yang mencakar langit di ibu kota. Pada masa itu, kita akan lihat kebanyakan penduduk-penduduk KL dipinggirkan dan kebajikan mereka diketepikan. Trend ini akan berterusan jika pentadbiran Najib meneruskan agenda-agenda kapitalisnya tanpa memberikan lebih ruang untuk rakyat bersuara.

Untuk memastikan masa depan dan hak-hak penduduk terus terjamin, mereka perlu diberikan peluang untuk memilih perwakilan mereka bagi menyuara dan memperjuang agenda penduduk. Selain daripada menjadikan pentadbiran lebih bertanggugnjawab, inilah peluang kita untuk mempraktik dan mempromosi demoksrasi di peringkat yang lebih rendah.

Kejayaan pilihan raya kota di seluruh dunia

Pentadbiran tempatan bukannya idea yang asing.  Ia merupakan konsep yang penting bagi negara yang mengamalkan federalisme.

 

Selalunya, berbanding negeri-negeri yang lain, penduduk di wilayah yang ditadbir oleh kerajaan persekutuan akan lebih terpinggir dan kebajikan mereka terabai. Sebab itulah kita lihat bagi sesetengah bandar ataupun wilayah seperti Wilayah Ibu Kota Australia (Australia), Brasilia (Brazil), Buenos Aires (Argentina), dan Wilayah Ibu Negeri Delhi (India), warga dalam kesemua wilayah tersebut boleh mengundi kerajaan masing-masing.

Yang akan mentadbir kawasan tersebut melalui dewan perundangannya yang tersendiri. Dari kebanyakan segi, wilayah-wilayah ini mempunyai fungsi yang sama seperti negeri-negeri.

Mengambil Australia sebagai contoh, walau pun Wilayah Ibu Kota Australia (ACT) mempunyai perwakilan di peringkat Parlimen, ia tetap mempunyai dewan perundangan tersendiri bagi membolehkan kesemua 17 ahli dewan untuk membahaskan isu-isu semasa  yang berkait rapat dengan penduduk.

Antara ahli tersebut, seorang akan dilantik sebagai Ketua Menteri ACT dan beliau pula akan membentuk kerajaan wilayah tersebut. Disebabkan mereka dilantik oleh penduduk setempat, maka wilayah tersebut mendapat manfaat secara terus.

Justeru, antara kelebihan yang dapat mereka peroleh daripada proses ini ialah penduduk di kawasan tersebut mempunyai kadar gaji yang lebih tinggi oleh sebab perlaksanaan polisi gaji minima dan pentadbiran menjadi lebih lancar setelah masalah boleh diselesaikan diperingkat tempatan dan tidak perlu lagi disalurkan ke peringkat persekutuan.

Tambahan pula, undang-undang yang bersesuaian dengan wilayah tersebut dapat digubal untuk memenuhi keperluan tempatan. Kesemua ini adalah berita baik buat rakyat.

Bayangkan impak yang sama jika sistem ini diamalkan di Malaysia. Penduduk-penduduk di negeri lain telah pun menerima manfaat berkerajaan sendiri, mengapa tidak KL?

Jika rakyat memilih Datuk Bandar dan pentadbiran KL…

Jika rakyat di negeri seperti Pulau Pinang dan Melaka yang masing-masing  mempunyai kepadatan penduduk seramai 1,490 dan 493 orang setiap kilometer mempunyai perwakilan di peringkat negeri, tidak adil jika rakyat di KL yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 6,891 orang setiap kilometer tidak mempunyai perwakilan di peringkat wilayah.

Apa yang dapat kita lihat di sini ialah satu lagi muslihat Barisan Nasional untuk menidakkan hak rakyat untuk mendapatkan perwakilan yang adil dan sama rata. Mungkin BN menyedari jika keadaan sekarang di mana 10 daripada 11 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur adalah milik Pakatan Rakyat; bayangkan jika wujud DUN di KL. Mungkin BN cuma peduli tentang kuasa politik mereka.

Sedang kita amalkan demokrasi (walau pun tak sempurna) di negeri-negeri di Malaysia, ia tidak pula diamalkan di Kuala Lumpur, ibu negara yang tercinta, yang dikatakan mempunyai ramai golongan cerdik pandai dan sedar tentang hak masing-masing.

Barangkali kita perlu sama-sama bawa perubahan untuk sebuah kerajaan persekutuan yang baru yang mungkin lebih sensitif dan peka dengan keperluan dan kehendak warga kota. Mungkin di kala itu kita akan dapat saksikan martabat penduduk KL benar-benar berada di tahap yang sepatutnya di mana demokrasi diamalkan secara adil dan saksama. – Roketkini.com