Rencana

Rasuah tak kenal kaum, agama – Oleh T.K. Tan

Kerana rasuah, bangunan atau stadium telah runtuh. Kerana rasuah, keadilan boleh dijual beli. Kerana rasuah, yang salah boleh bebas, yang benar menjadi mangsa.

Rasuah dan salah guna kuasa dalam pemerintahan kerajaan sering disebut sebagai masalah yang serius dalam sesebuah negara. Tetapi masih ada orang di Malaysia yang mengambil sikap tidak acuh terhadapnya.

Masih ada manusia, walau apa pun kaum dan agama mereka, rasuah seolah-olah satu masalah yang kononnya perlu wujud tetapi tidak merosakkan kehidupan seharian, ibarat pepatah Inggeris “a necessary evil.” Adakah ini benar?

Tinjauan Merdeka Centre tahun lalu yang bertajuk “Sikap Pengundi Semenanjung Ogos 2011” menunjukkan yang hanya 1.7 peratus daripada mereka yang memberi maklum balas tersebut menyatakan masalah rasuah dan ketidak-telusan pengurusan negara adalah masalah utama negara.

Kini di peringkat memudaratkan

Tetapi masalah rasuah di Malaysia sudah sampai tahap yang mudarat. Mengikut laporan pertubuhan pemantau ketelusan dan salah laku rasuah negeri-negeri sedunia, Transparency International (TI), dianggarkan Malaysia lesap dana umumnya sejumlah RM10 bilion atau 1 hingga 2 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) akibat amalan rasuah.

Pada tahun 1995 Malaysia menduduki tangga ke-37 di dunia untuk amalan rasuahnya. Sejak itu negara kita telah jatuh menjunam ke tahap 60 pada tahun 2011, di bawah tahap negara Afrika seperti Namibia dan Seychelles.

Markah indeks rasuah TI Malayisa tidak pernah pulih naik; sebaliknya negara serantau seperti Indonesia telah mencatatkan penambahan markah indeks rasuah TI mereka dari 1.97 markah (1995) ke 3.0 markah (2011).

Mengikut catatan wartawan antarabangsa Barry Wain, dalam zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, akibat salahguna kuasa kewangan kerajaan, Malaysia kehilangan lebih daripada RM100 bilion dananya.

Tahun lepas sebuah badan pemantau kewangan sedunia, Global Financial Integrity (GFI) menyatakan Malaysia telah mengalami aliran keluar dana gelap (atau haram) sebanyak RM 888 billion dalam tempoh 2000-2008.

Apa ertinya fakta-fakta ini untuk rakyat jelata Malaysia?

Tabiat yang sukar diubah

Segelintir rakyat Malaysia memberi rasuah sebagai resam untuk mempercepatkan proses perolehan sesuatu perkhidmatan atau barangan yang dikehendaki. Yang disebut sebagai pemberian “upah” atau “angpau” untuk servis atau kemudahan memperolehi sesuatu juga tergolong dalam definisi ini.

Maka ia adalah sesuatu yang lumrah untuk ramai rakyat Malaysia untuk memberi rasuah atau habuan dalam mendapatkan projek kerajaan atau melepaskan diri daripada hukuman undang-undang jika melakukan kesalahan. Para pemimpin kerajaan pula merasuahkan rakyat dengan bantuan tunai dan projek apabila hampir dengan waktu pilihan raya.

Tetapi padah rasuah ini ibarat titik nila yang merosakkan susu sebelanga. Ia merebak ke semua lapis masyarakat. Bayangkan kehidupan kita seharian yang tidak terjejas oleh rasuah.

Hakikatnya ia sukar dicegah dan diatasi tanpa usaha yang bersepadu untuk membasminya. Sikap masyarakat terhadap rasuah perlu melalui perubahan yang drastik.

Ubah dari tangkai

Namun seperti apa pepatah Melayu katakan, jika menebang menuju pangkal, jika melanting biar menuju tangkai, perubahan ini perlu bermula oleh mereka yang diatas, yakni dari golongan pemerintah sendiri. Bapak borek, anak rintik; masyarakat mengambil teladan dari mereka yang diamanah untuk menjaga mereka.

Apabila para menteri mengambil sikap serius untuk mencegah amalan rasuah, maka anak buah mereka juga akan mengikut telunjuk ketua mereka. Jika pak menteri sentiasa berusaha mendapatkan idea yang bernas serta pandangan dari mereka yang arif tentang sesuatu dasar kerajaan, tentunya salah guna kuasa dapat dikurangkan.

Masalah pentadbiran seperti penyaluran bantuan kebajikan kepada mereka yang betul-betul memerlukannya akan berkurangan, masalah miskin tegar juga akan selesai dengan sendirinya.

Pembinaan projek infrastruktur akan siap dalam masa yang ditetapkan dan dalam kos yang diperuntukkan. Pastinya kes seperti runtuhan stadium Gong Badak di Terengganu akibat pembinaan yang tidak bermutu dapat dihindari.

Ia akan menjadi seperti kesan riak atau “ripple effect”; semua lapis masyarakat akan mengambil peduli dalam melaksanakan tugas mereka dengan sebaiknya tanpa memberi rasuah.

Hanya kuasa rakyat mampu kurangkan rasuah

Paling ketara keadilan sosial akan lebih cepat tercapai dalam suasana yang kondusif ini tanpa perlunya tindakan reaktif dilakukan untuk memperbetulkan sesuatu masalah. Pak menteri tidak payah lagi mencari peluang publisiti untuk menunjukkan mereka perihatin kepada golongan yang miskin, kerana mereka tidak akan wujud lagi!

Kepincangan keadaan ekonomi dan sosial Malaysia boleh dihuraikan dengan satu penjelasan, yaitu sikap tidak acuh kita kepada rasuah. Apa tidak, kes rasuah yang timbul berlambak sejak zaman Mahathir tidak mendapat reaksi yang sepatutnya dari para pengundi. Sebaliknya penyamun dan perompak dipilih kerajaan berterusan dengan majoriti yang menggunung tinggi pula!

Hanya apabila majoriti masyarakat sedar akan bahaya rasuahnya terhadap diri dan keluarga mereka, maka disitu bermulanya proses transformasi negara yang dinantikan. – Roketkini.com