Berita

DAP minta Ketua Hakim ringankan hukuman berat terhadap imam baling kasut

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria diminta campur tangan untuk meringankan hukuman penjara setahun terhadap seorang iman Hoslan Hussein yang hanya membaling kasut dalam mahkamah.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Arifin perlu memikirkan semula tentang hukuman berat itu kerana:

  • Tindakan membaling kasut kerana marah dengan keputusan hakim telah lama berlaku pada 22 Februari lalu dan ia hanya isu “menghina” prosedur mahkamah; dan
  • Hukuman itu diputuskan oleh tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang sama sedangkan mereka tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap iman tersebut sebaik sahaja kejadian itu berlaku.

Hoslan membaling kasut terhadap panel hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya Zulkifli Ahmad Makinuddin pada 22 Februari lalu kerana tidak puast hati dengan keadilan yang dituntutnya.

Menurut Kit Siang, hukuman itu mencerminkan seolah-olah ada konflik kepentingan serta terlalu berat bagi “kesalahan” tersebut, khususnya apabila dibandingkan dengan jenayah korupsi yang melibatkan beberapa pemimpin penting dalam kerajaan.

“Begitu juga dengan kes lain. Adakah Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional akan menghapuskan amalan diskriminasi politik serta diskriminasi terhadap petani cacat di Sarawak, Frusis Lebi, dengan mengembalikan semula bantuan kebajikan dan subsidi pertanian yang ditarik balik oleh pemimpin BN di Sarawak?

“Jika tidak isu-isu ini akan dibangkitkan dalam sidang Parlimen yang akan bermula minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, sejak beberapa hari lalu, rakyat Malaysia semakin didedahkan dengan kepincangan kepimpinan Najib yang kini sudah hampir tiga tahun.

Antara kepincangan-kepincangan kerajaan UMNO-BN pimpinan Najib adalah:

  • Hukuman berat penjara setahun terhadap imam Hoslan semata-mata membaling kasut;
  • Seorang hakim Mahkamah Tinggi mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan keputuasn bertulis setebal 70 muka surat bagi kes pembunuhan rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu, yang diletupkan mayatnya dengan bom C4 – tanpa mempedulikan tentang “motif” pembunuhan itu;
  • Diskriminasi bantuan kebajikan dan subsidi pertanian kepada Frusis Lebi semata-mata kerana beliau membantu Pakatan Rakyat sewaktu pilihan raya negeri Sarawak 2011;
  • Pendedahan demi pendedahan skandal National Feedlot Corporation (NFC/NFCorp) yang membuktikan penyelewengan teruk dan pecah amanah wang wakyat sehingga ke luar negara, dengan dakwaan terbaru di mana para pengarah NFCorp bukan sahaja membeli hartanah di Singapura tetapi juga di Kazakhstan;
  • Penafian yang lemah oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yassin bahawa projek lebuh raya Kinrara-Damansara Expressway (Kides) bernilai RM2.2 bilion telah diberikan kepada firma-firma berkaitan UMNO sebagai “hadiah” kerana berajya merampas kuasa untuk UMNO-BN di Perak; dan
  • Kerajaan menyalahgunakan wang rakyat RM840 juta untuk menyelamatkan bekas Pengerusi Malaysia Airlines (MAS) Tan Sri Tajudin Ramli, membayangkan rakyat Malaysia masih lagi membayar kerugian RM100 bilion akibat pelbagai skandal era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini hanyalah sebahagian kecil penyalahgunaan kuasa, korupsi, kronisme, tiada ketelusan, ketidakadilan yang zalim serta pentadbiran yang baik oleh kerajaan UMNO-BN.

“Slogan-slogan indah Perdana Menteri dan segala program transformasi hanya indah khabar dari rupa,” ujarnya. – Roketkini.com