Berita

Jalinan jaringan wanita rapatkan persefahaman

SHAH ALAM, 9 MAC: Kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa berusaha gigih untuk mengangkat martabat dan memberdayakan kaum wanita.

Sempena sambuatn Hari Wanita Sedunia peringkat negeri Selangor di sini semalam, satu acara yang bertemakan  “Menghubungjalin Wanita, Mensinergi Tindakan dan Membina Negara” telah dilancarkan oleh isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut.

Exco Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor merangkap ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, segala usaha dan komitmen yang ada untuk membangunkan status wanita, meningkatkan martabat wanita serta keupayaan kewangan wanita di negeri Selangor mestilah dihubungjalinkan, tidak kira anda professional, suri rumah, badan kerajaan atau NGO.

Katanya, dalam tekad untuk mencapai ke tahap yang dikehendaki, wanita perlu komited berkongsi wawasan dan misi agar gabungan dan suara wanita menjadi suatu fenomena dan pengaruh yang tidak boleh dipinggirkan oleh mana-mana pihak sekalipun.

“Jaringan wanita boleh merapatkan jurang persefahaman – di antara para aktivis dan rakyat jelata – menerusi proses sosialisasi mengenai dasar dan isu-isu yang mengesani kehidupan wanita secara langsung atau tidak langsung.

“Lebih hebat lagi ialah apabila hubungjalin wanita itu akan  menghasilkan penerokaan ke ufuk-ufuk baru yang mencipta inovasi dan sekaligus membina keyakinan dan jati diri wanita,” katanya.

Sambutan Hari Wanita Sedunia ini akan diteruskan pada 18 Mac ini di Petaling Jaya di mana jaringan aktivis wanita dan rakyat akan bergabung suara untuk membuat tuntutan perubahan dalam pemerintahan dan pentadbiran yang bebas dari rasuah dan penyelewengan di negara kini. – Roketkini.com