Budaya

Tak peduli politik… – Oleh Ameer Maidin

Cerpen

Gambar hiasan

Jamil tidak kisah dengan budak-budak yang membaling batu dari atas tebing bukit di tepi lebuhraya ke atas para penunggang motosikal di bawah. Kalau ada penunggang yang terkena batu lontaran anak-anak berumur lebih kurang 10 tahun itu, mungkin hanya sakit di badan. Tak mungkin berlaku kemalangan di lorong motosikal.

Yang terfikir dalam benaknya sewaktu kereta yang dipandunya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dek malam di kampung di tengah-tengah bandaraya itu hanyalah: mana perginya ibu bapa budak-budak itu.

Namun, semua itu tidak penting bagi Jamil. Asalkan dua anak kecilnya dijaga elok oleh isterinya di rumah, itu sudah cukup. Seperti mana insan lain di kampung tengah bandaraya itu, yang penting adalah usaha mencari nafkah.

Sekadar kehidupan biasa

Dia selesa dengan kerjanya sebagai pegawai kerja akaun di sebuah agensi kerajaan. Hari-hari berulang-alik dari situ ke Putrajaya. Dia tiada masa memikirkan tentang pemandu-pemandu lain yang tidak mempedulikan tiang lampu isyarat, dia tidak kisah makcik dan pakcik yang terpaksa berlari-lari anak melintas sewaktu lampu isyarat merah yang terus dilepasi kereta dan motosikal.

Sambil mendengar laporan kesesakan lalu lintas dalam radio keretanya, kenangannya jauh melintasi orang ramai yang berbondong-bondong mengunjungi pasar malam itu. Dia teringat tentang keretanya yang pernah dilanggar budak 12 tahun yang menunggang motosikal dengan gaya rempit satu tayar di udara.

Pecah nombor plet belakangnya dan budak itu pula tersungkur di atas jalan raya yang panas dan tajam kerikil kerana tar belum diturap. Tidak pula dia marah, malah dihulurkan RM10 kepada budak yang entah siapa ibu bapanya yang membiarkan kanak-kanak itu menjadi rekrut rempit kampungnya.

Jamil tersenyum sendiri. Itu tidak menjadi hal. Itulah kehidupan di kota. Malah apabila dia bersama keluarga pulang berhari raya di kampung di selatan Semenanjung, di pekan kelahirannya pun sudah ramai anak-anak muda Melayu yang mendapat ijazah rempit.

Bagi Jamil, itu semua kudrat dan budaya yang ada. Memang ia cacat tetapi itulah kehidupan Melayu masa kini. Walau dia tidak peduli dengan berita, sama ada yang ditonton di kaca TV atau dibaca dalam akhbar harian, dia tidak membantah kumpulan-kumpulan yang mahu hak Melayu dipertahankan.

Ada juga dua tiga kawan pejabatnya, sewaktu empat lima kali minum teh dari pagi hingga ke petang, sibuk mengutuk kerajaan. Dia tahu mereka itu penyokong parti pembangkang. Tapi dia tersenyum sendiri apabila mengenangkan mereka semua sama saja – pandai mengutuk orang tapi curi tulang minum teh waktu kerja.

Tuduhan pembangkang

Yang terbaru didengarnya dari Azli, rakan kerja dari jabatan yang berjiran dengan pejabatnya yang turut sama tinggal di kampungnya. “Min, kau dengar tak pasal pusat komuniti tempat kita tu?” soal Azli memulakan perbualan di satu petang, selepas habis waktu kerja.

“Yang nak dibuka tu? Ada lah tapi apa hal?”

“Yim Janggut kata menteri yang buat projek tu bagi kat adik dia, lepas tu makan pula 20 persen. Bahan binaan pula dipakai yang tak ada kualiti.”

“Engkau ni Li, dah tau Yim tu orang pembangkang, yang kau senang sangat percaya kenapa? Aku bukan kisah sangat benda-benda ni, tapi aku pun ada baca kat suratkhabar. Itu semua bohong.”

“Eh Min, kalau tak ada angin masakan daun bergoyang.”

“Dalam politik Li, manusia yang selalu henjut pokok. Bukan saja daun bergoyong, luruh pun ada. Sebab tu aku tak peduli politik…”

Malas rasa Jamil nak melayan cerita politik Azli yang biasanya ada saja kesalahan kerajaan. Bukan Jamil menjadi ahli parti kerajaan, malah memang dia sendiri meluat dengan perangai kakitangan YB di kampungnya; lebih sudu daripada kuah.

Tapi bila kawan-kawan mula menyucuk, dia sendiri tak selesa. Kadang-kadang fikirnya, kalau betul pun tuduhan kononnya menteri makan duit atau kayakan keluarga mereka, apa kena-mengena dengan aku dan anak isteri aku?

Tak habis-habis dia orang nak jaga tepi kain orang, fikir Jamil. Lagi pun kita semua kerja dengan kerajaan. Mengapa perlu kita kutuk parti kerajaan kita sendiri, tambah soal dalam dirinya sendiri.

Gosip politik

Selang seminggu selepas itu, Azli membuka cerita yang sama sewaktu melepak di gerai mamak di kampung mereka setelah penat berjogging sekeliling kampung. Sebelum Azli muncul, Jamil sekali lagi melayan nostalgia apabila difikirkan nama “kampung” di kampungnya.

Seorang kawan dari agensi yang sama dari Kuching pernah bertanya di mana Jamil menetap. Apabila diberitahu tentang kampungnya, kawan itu tertawa, “Hebat kamu, tinggal di kampung yang tiada sawah, tiada dusun, tiada sungai, hanya penuh dengan kereta dan motosikal saja.”

Itulah lumrah kampung-kampung di tengah bandaraya. Lebih 40 tahun lalu, semuanya itu merupakan hutan atau bekas ladang yang dicerahkan kerajaan untuk membawa orang Melayu dari segala pelusuk desa membangunkan kotaraya. Jamil adalah generasi ketiga di kampung itu.

Begitu juga dengan Azli, walaupun ibu bapanya dari kampung bandaraya di sempadan Pahang. Mereka mula kenal di pejabat dan kemudian baru sedar berjiran di kampung. Itu pun selepas bertemu di kedai mamak setelah penat jogging.

“Aku tau kau tak nak percaya tapi kali ini David yang bagi tau aku. Dah lah pusat komuniti tu penuh skandal rasuah, aku dapat tau binaannya tak ikut spesifikasi. Bayangkan kalau tingkat satu tu runtuh…”

“Ah, dah lah Li. Dulu kau dengar Yim, sekarang David pula. Tentulah David tu pandai goreng cerita. Dia kan jual insurans.”

“Bukan gitu Min. Dulu pasal suami menteri dapat projek ternak lembu kemudian pakai duit tu untuk beli kondo mewah, Davidlah yang cerita. Dia kata dia banyak kawan dekat bursa saham. Dia orang memang tau banyak cerita dalaman.”

“Kan aku dah cakap Li, Cerita dalaman tu tak lebih dari gossip. Bukan aku percaya sangat apa yang ada dalam berita TV atau suratkhabar tapi ini kan kampung kita. Takkan YB kita nak buat aniaya kat kita.”

Azli hanya menggeleng kepala mendengar jawapan Jamil. Dan sahabatnya Jamil juga sudah masak dengan perihal Azli. Mereka memang bersahabat baik tapi bagi Jamil, kawannya Azli mudah sangat percaya dengan cerita-cerita buruk pasal kerajaan.

Panggilan telefon

Tiga minggu kemudian, seperti biasa, fikiran Jamil sentiasa melayang sewaktu merangkak keretanya menelusi lalu lintas kampung ketika pasar malam beroperasi. Terfikir juga olehnya, jika pembangkang mendapat kuasa, apakah masalah lalu-lintas ini akan diselesaikan?

Sewaktu melayan angan-angannya, telefon bimbitnya tiba-tiba berdering. Suara isterinya cemas. “Bang, anak kita masuk hospital bang…” Kata-kata itu hanya disambung dengan esakan isterinya.

Darah Jamil berderau. Segala yang bukan-bukan terpancar di benaknya. Mahu dipecut sahaja keretanya tetapi dia tersekat dengan kelembapan kenderaaan bergerak.

Takdir?

Sebulan kemudian, anak sulung Jamil yang berusia lapan tahun masih di hospital. Masih dalam koma. Jamil sentiasa berulang melawat selepas waktu kerja. Isterinya seperti sudah berkampung di hospital, sehingga seorang lagi anak mereka yang baru berusia lima tahun seperti ketiadaan ibu bapa.

Azli sering menemani Jamil apabila ada keluangan masa. Tetapi Azli seorang sahabat setia yang tahu menjaga hati kawan karibnya. Azli tidak pernah mengungkit apa yang pernah disuarakannya kepada sahabatnya itu.

Di ruang legar hospital itu, Azli melihat Jamil masih menggenggam cebisan akhbar yang sudah hampir lunyai disambar usia. Tajuk muka depan akhbar yang sudah sebulan usianya itu jelas terpampang: “Pusat komuniti runtuh, tiga maut, lapan cedera parah”.

Di sebelahnya, ada beberapa keratan akhbar lain. Antara tajuk-tajuknya “Langgar spesikifasi punca bangunan runtuh”, “Bukan salah kerajaan, pemaju disiasat” dan “Panel siasatan sahkan menteri tidak terbabit”.

Azli sedih mengenangkan sahabatnya yang murung sentiasa sejak peristiwa malang itu. Sewaktu menemani Jamil di ruang legar hospital iti, dia tahu rakan karibnya itu amat marah apabila melihat di kaca TV terpampang wajah menteri yang konon mendapatkan projek itu untuk adiknya.

Merah benar raut wajah Jamil apabila menteri yang sentiasa tersenyum lebar itu menjawab soalan wartawan:

“Itu tak ada kena-mengena dengan saya. Jangan percaya tuduhan pembangkang. Mereka benci apabila orang Melayu mendapat projek. Lagi pun pusat komuniti itu runtuh kerana takdir Tuhan. Siapa sangka?

“Sepatutnya rakyat bersyukur atas usaha saya membina pusat komuniti itu. Tak guna dengar cakap pembangkang. Lagi pun kerajaan dah bagi bantuan kepada keluarga mangsa-mangsa runtuhan itu.”

Jamil mengetap bibirnya. Azli melihat lelehan air mata sahabatnya yang mungkin memikirkan anaknya yang tidak berdosa itu yang telah dibawa guru sekolah mereka untuk menghadiri satu majlis di pusat komuniti itu, tak sampai seminggu selepas ia dirasmikan.

Mungkin di benak Jamil terlalu banyak persoalan yang sukar dijawabnya. Takdirkah ia atau memang tidak akan wujud keadilan dalam hidup ini? – Roketkini.com