Berita

Banjir di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang – Guan Eng minta perhatian Menteri Pengangkutan

GEORGE TOWN, 12 MAC: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha diminta melawat untuk melihat sendiri keadaan yang menyedihkan dan memalukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Dalam suratnya kepada Kong hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata keadaan di lapangan terbang itu sejak tiga minggu lalu amat menyedihkan kerana:

1. Projek pembesaran lapangan terbang sebanyak RM250 juta lewat daripada jadual

2. Kerja- kerja yang dijalankan tidak sempurna, menyebabkan bukan sahaja berlaku kebocoran tetapi juga banjir. Apabila hujan, banjir bukan sahaja berlaku di luar tetapi air juga bertakung separas satu inci di dalam terminal lapangan terbang.

3. Masalah ini menyebabkan gangguan yang sangat besar dan menimbulkan kesukaran yang tidak terhingga kepada para pengguna lapangan terbang apabila banjir bukan sahaja mengganggu perjalanan mereka malah, lebih teruk daripada itu, merosakkan barangan mereka.

”Saya pasti YB Menteri akan bersetuju bahawa kejadian ini amat memalukan negara kerana air separas satu inci telah membanjiri terminal lapangan terbang antarabangsa.

”Oleh kerana lapangan terbang memberikan gambaran yang pertama terhadap mereka yang memasuki Pulau Pinang dan, yang lebih penting, Malaysia, saya menggesa YB Menteri untuk campur tangan secara langsung dalam menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam surat tersebut.

Menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, keadaan yang memalukan ini adalah amat serius dan membuktikan kegagalan sistem keseluruhan projek ini.

Oleh itu, beliau mencadangkan Kong agar mengambil tindakan segera, termasuk untuk datang melawat dan melihat sendiri keadaan yang menyedihkan dan memalukan itu.

”Ini adalah masalah negara, saya amat berharap YB Menteri akan menangani perkara ini secara serius dan dengan sepenuh perhatian,” ujarnya. – Roketkini.com