Wawancara

DAP martabatkan budaya Pulau Pinang, berjuang demi Malaysia

Zairil Khir Johari adalah Setiasuaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. Sehubungan dengan itu beliau banyak meluangkan masa berkhidmat untuk rakyat di Pulau Pinang yang dipimpin oleh Guan Eng selaku Ketua Menteri.  Baru-baru ini beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penang Institute. Penyelaras Roketkini Mazir Ibrahim telah menemu bual Zairil untuk mengetahui lebih lanjut tentang usaha-usaha beliau.

PENANG INSTITUTE

Tahniah di atas perlantikan saudara sebagai CEO Penang Institute. Boleh saudara terangkan apa itu Penang Institute dan apakah fungsi dan peranannya.

Penang Institute atau PI merupakan kumpulan pemikir utama untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang. PI telah ditubuhkan pada tahun 1997 dengan nama Socio-Economic and Environmental Research Institute (SERI). Pada tahun lepas, dalam satu rombakan organisasi, kami telah menamakan semula SERI kepada Penang Institute, iaitu satu nama yang lebih relevan dan menonjolkan jenama “Penang” atau Pulau Pinang.

Bersamaan dengan jenama baru PI, lembaga pengarahnya yang dipengerusikan YAB Ketua Menteri juga telah menentukan haluan baru yang lebih bertumpu kepada penyelidikan yang berkisar pada dasar-dasar umum. Dalam erti kata lain, misi baru PI adalah untuk menjadi pusat penyelidikan utama bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh rantau Asia Timur.

Dalam rombakan yang telah dilakukan, dua orang pegawai kanan telah dilantik untuk menerajui misi dan visi baru ini. Seorang daripadanya ialah Pengarah Eksekutif baru, Prof Dato’ Woo Wing Thye, yang merupakan seorang anak Pulau Pinang yang telah berjaya menjadi pakar ekonomi yang terkemuka di persada antarabangsa.

Beliau memegang jawatan Profesor di University California at Davis dan merupakan Pengarah Program Asia Timur di Earth Institute, Columbia University. Di samping itu, beliau juga merupakan seorang felo di Brookings Institute, iaitu sebuah institut penyelidikan ternama, dan pernah menjadi penasihat kepada majlis ekonomi Presiden Amerika Syarikat. Saya pula telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Bersama, kami akan berganding bahu untuk mencapai hasrat PI yang boleh disimpulkan dalam slogan baru: “Making Ideas Work”, atau pun “berusaha untuk merealisasikan idea”.

Bagaimana saudara boleh menyumbang idea dan visi saudara dalam membangunkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berbudaya dan berdaya saing dari segi ekonominya.

Di samping menjadi pusat penyelidikan yang utama, PI mempunyai satu lagi fungsi teras yang penting, iaitu untuk menyokong Kerajaan Negeri dari segi penyelidikan dasar. Jadi, antara tugas saya adalah untuk memastikan keselarian dan keselarasan antara program-program penyelidikan di PI dengan keperluan-keperluan Kerajaan Negeri. Ini adalah penting supaya badan eksekutif Kerajaan Negeri dapat membuat keputusan selepas mengambil kira kajian terperinci dan maklumat empirikal.

Pada masa yang sama, kami ingin juga memperkembangkan budaya pemikiran di Pulau Pinang. Oleh itu, kami telah memulakan satu program baru yang dipanggil Forum Nusantara, iaitu satu siri forum yang mewacanakan isu-isu intelektual dan budaya yang berkaitan dengan masyarakat Melayu.

Antara isu-isu yang telah diutarakan adalah seperti peranan Pulau Pinang sebagai pusat keintelektualan serantau, persoalan Bahasa Melayu sebagai bahasa kosmopolitan serta yang terbaru, kami telah membicarakan legasi kepimpinan dan pemikiran Allahyarham Tuan Guru Yusof Rawa, seorang tokoh Melayu tersohor yang juga merupakan anak Tanjong.

Sebagai CEO, apakah sasaran saudara?

Saya kira kebanyakan program-program PI adalah program jangka masa panjang. Contohnya, kami sedang membuat penyelidikan dalam dasar-dasar perumahan, sistem pengurusan sisa pepejal dan sebagainya. Pun begitu, kami akan mempergiatkan lagi program-program seperti Forum Nusantara yang dapat menggalakkan budaya pemikiran terutamanya di kalangan masyarakat Melayu.

Dalam masa yang terdekat, kami juga merancang untuk meraikan harijadi seorang Sasterawan Negara yang berasal dari Pulau Pinang, bukan sahaja sebagai penghormatan kepada beliau tetapi juga untuk memupuk kesedaran orang ramai khususnya golongan muda tentang hasil-hasil tinta beliau yang merupakan khazanah negara.

POLITIK SEMASA

Sebagai ahli DAP, bagaimana saudara melihat perkembangan politik mutakhir ini bila mana kempen UMNO-Barisan Nasional dilihat semakin agresif hingga terdapatnya beberapa insiden kekasaran yang melibatkan tokoh-tokoh politik Pakatan Rakyat?

Saya kesal melihat perkembangan politik baru-baru ini, terutamanya kempen perkauman yang sedang dimainkan oleh golongan UMNO-BN. Yang lebih teruknya, mereka sekarang tidak teragak-agak untuk menggunakan kekerasan, seperti yang boleh dilihat dalam insiden tempoh hari di mana dua orang wartawan telah dipukul sehingga cedera.

Ini bukan sahaja melambangkan ketandusan modal bagi pihak UMNO-BN, tetapi juga mendedahkan budaya sebenar pengikut-pengikut UMNO-BN yang begitu taksub sehingga sanggup melakukan apa sahaja, termasuk mengganas, demi melawan musuh politik.

Yang paling malang sekali, pemimpin-pemimpin UMNO-BN seakan-akan menggalakkan tingkah laku yang keji dan hina oleh pengikut-pengikut mereka. Tanpa halangan dari pemimpin-pemimpin atasan, pengikut-pengikut bawahan seolah-olah bermaharajalela seperti samseng jalanan.

Namun begitu, mujurlah penyokong-penyokong Pakatan Rakyat tidak termakan umpan. Semasa insiden di Sudut Pidato tempoh hari, tidak seorang pun bertindak balas terhadap keganasan dan kebiadapan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli UMNO-BN. Ini menunjukkan kematangan rakyat Malaysia yang mencintai keamanan.

Apakah jangkaan saudara tentang faktor-faktor yang boleh menjadi penentu dalam pilihan raya umum ke-13 ini nanti?

Faktor penentu yang terpenting adalah pengundi-pengundi kali pertama yang berjumlah 2 juta orang. Ini bukan angka yang kecil dan mereka semestinya akan menjadi penentu kerana kita tidak tahu belah mana yang mereka sokong.

Kebanyakan daripada pengundi-pengundi kali pertama ini adalah dari golongan belia, iaitu dari umur 21 hingga 30. Isu-isu mereka merupakan isu-isu sara hidup, kos kehidupan, masalah pekerjaan dan perumahan. Saya yakin, sesiapa yang dapat menawan minat golongan inilah yang akan memenangi PRU yang akan datang.

Pada masa yang sama, pengundi-pengundi Sabah dan Sarawak akan memainkan peranan yang amat penting. Sekiranya gelombang perubahan dapat dicetus di negeri-negeri Borneo itu, sudah tentu satu tsunami yang lebih besar akan menimpa seluruh negara. Jadi, dalam PRU13, undi-undi yang perlu diprihatinkan adalah undi-undi orang muda serta Sabah dan Sarawak. – Roketkini.com