Rencana

Mengorbankan wang rakyat dianggap pengorbanan oleh UMNO-BN

Komentar Roketkini

Apabila seseorang tidak mempedulikan nyawanya sendiri untuk menyelamatkan orang lain dari mati lemas atau mati terbakar, itu namanya pengorbanan.

Apabila seorang anak membanting tulang empat kerat, bekerja siang malam untuk menjaga ibu bapa yang sakit atau uzur, itu namanya perngorbanan.

Apabila seorang ibu atau bapa sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan demi membolehkan anak-anak kesayangan mendapat pendidikan untuk menjadi insan yang berguna, itu namanya pengorbanan.

Apabila seorang pegawai kerajaan di Taiwan berhenti kerja semata-mata menjaga sepenuh masa ibunya yang sakit tenat (gambar), itu namanya pengorbanan.

Apabila seorang pemimpin pembangkang berketurunan Cina berjuang membela nasib seorang gadis Melayu yang didakwa dicabul oleh seorang pemimpin kerajaan sehingga dizalimi dengan disumbat ke dalam penjara, itu namanya pengorbanan.

Bagaimana pula dengan seorang menteri membisu dan membutakan mata dalam Kabinet apabila suami dan anak-anaknya diberi projek menternak lembu oleh kerajaan, dan kemudian dituduh menyalahgunakan wang rakyat tersebut untuk kepentingan peribadi mereka?

Setelah didedahkan oleh kerajaan sendiri serta pendedahan lain yang berkaitan di mana wang untuk menghasilkan daging lembu itu didakwa digunakan membeli kondo mewah di Malaysia, Singapura dan Kazakhstan, para pengarah syarikat keluarga menteri itu bukan sahaja cuba menafikannya, malah menyalahkan laporan audit kerajaan.

Menteri itu pula dengan angkuh mempertahankan diri dan keluarganya, di samping menegaskan beliau tidak akan tunduk dengan desakan mana-mana pihak supaya meletak jawatan sebagai menteri berikutan skandal yang memalukan negara itu.

Perdana Menteri pula acuh tak acuh, seolah-olah takut dengan menteri yang mencabar bukan sahaja kerajaan pimpinannya, malah menjatuhkan maruah negara.

Akhirnya, semalam menteri tersebut mengumumkan beliau akan melepaskan jawatan. Maka bersorak riuh banyak pihak termasuk media massa kawalan pemerintah kononnya menteri akur untuk meletak jawatan.

Apakah benar begitu? Sedangkan menteri itu hanya mengatakan beliau tamat tempoh sebagai senator pada 8 April depan, yakni secara automatik hilang kelayakan menjadi menteri. Malah, beliau mahu kekal sebagai ketua pergerakan wanita partinya.

Jadi di mana asas beliau meletak jawatan kerana merasa bertanggungjawab atas skandal ternak lembu untuk beli kondo itu?

Jadi apa munasabahnya Perdana Menteri menyifatkan kenyataan menterinya sebagai satu pengorbanan?

Semakin jelas di mata umum bahawa apabila para pemimpin dan kroni UMNO-BN mengorbankan wang rakyat dan gagal memegang amanah rakyat, maka itu dianggap pengorbanan.

Inikah kerajaan yang perlu kita kekalkan buat selama-lamanya? – Roketkini.com