Berita

Najib jangan diam diri pegawai tertinggi didakwa rasuah – Kit Siang

Kuala Lumpur 12 Mac – Perdana Menteri digesa untuk tidak terus berdiam diri dan memberi penjelasan berkait tuduhan terhadap tiga pegawai tinggi kerajaan yang didakwa terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam kenyataan akhbarnya hari ini mempersoalkan sikap berdiam diri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menteri-menteri kabinet dalam berdepan dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan tiga pegawai kerajaan, iaitu Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (sebelum menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) berkaitan suatu berkaitan kes di tahun 2007.

Tuduhan salah guna kuasa dan rasuah terhadap Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah berkenaan dikeluarkan oleh bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Ramli Yusuf yang mendakwa beliau menjadi mangsa salah guna kuasa ketiga-tiga pegawai berkenaan dalam siasatan kes melibatkan tokoh kongsi gelap bergelar Tengku Goh.

Menurut Kit Siang, Najib bukan setakat harus memulakan siasatan rasmi ke atas dakwaan bekas Pengarah JSJK itu, malah harus juga menyiasat kejadian-kejadian pelik sekitar 2007 berkaitan kes ini, termasuk laporan rasuah terhadap bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum, yang didakwa memintas Ketua Polis Negara waktu itu, Tan Sri Musa Hassan, dengan mengarahkan Ramli untuk menyiasat tokoh kongsi gelap terbabit.

Dalam kenyataannya kepada portal berita Malaysiakini hari ini, Ramli turut memberitahu beliau memiliki bukti baru tentang insiden mata lebam bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga tentang pengerusi MAS, Tan Sri Tajudin Ramli.

“Demi kepentingan rakyat, satu siasatan mesti dilaksanakan terhadap kejadian-kejadian ‘aneh’ sekitar 2007 ini,” kata Kit Siang.

Menurut laporan Malaysiakini itu, siasatan JSJK mendapati bahawa walaupun Musa Hassan ketika berkhidmat di Johor telah menutup pusat perjudian haram dan melumpuhkan sindiket pinjaman wang haram di selatan negeri itu, beliau turut membantu “menyusun semula” beberapa sindiket yang dinaungi oleh Tengku Goh.

JSJK telah menangkap Tengku Goh dan beliau dihantar ke Jeli, Kelantan, dan diletakkan di bawah tahanan kediaman terhad. Namun, Peguam Negara Tan Sri Tan Sri Abdul Gani Patail didakwa telah campurtangan dan menggunakan BPR untuk mengakses fail sulit kes itu.

Menurut Ramli lagi, tindakan menggunakan BPR untuk campurtangan dalam kes itu mencetuskan rasa tidak puas hati di JSJK kerana ini adalah campurtangan terang-terangan dalam kerja-kerja polis.

Beliau turut mendakwa bahawa berdasarkan maklumat dari fail sulit itu, BPR memburu pemberi maklumat yang maklumatnya digunakan sehingga tertangkapnya Tengku Goh dan BPR seterusnya menggunakan ugutan, taktik menakut-nakutkan dan menyoal-siasat pemberi maklumat itu berhari-hari sehingga mereka menukar kenyataan yang diberikan sebelum itu. – Roketkini