Rencana

Pulau Pinang: Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat – Oleh Izmil Amri

Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

Sekali air bah, sekali pantai berubah. Hakikat ini saya akui setiap kali kampung halaman saya dinaiki air. Akan ada lah perubahan-perubahan yang terjadi pada lanskap dan halaman rumah. Ada kalanya air bah akan membawa sampah sarap dari Sungai Pinang. Pada waktu yang lain, air bah akan memaksa rumah diubah-suai supaya lantainya lebih tinggi, atau paritnya digali lebih dalam.

Perubahan, adatnya tidak boleh ditahan-tahan. Mantan Menteri Besar Kedah yang comel, Tan Sri Sanusi Junid, pernah menyebut dalam satu ucapannya di Universiti Islam Antarabangsa bahawa ‘Selain Tuhan, yang abadi adalah perubahan.’ Ini benar. Perubahan adalah malar. Ia datang bagai ombak dan tidak boleh dihalang-halang.

8 Mac lalu cukuplah kiraan empat tahun terjadinya tsunami politik besar dalam sejarah Malaysia. Tsunami tersebut berjaya menjadi pemangkin perubahan apabila lima negeri berjaya ditawan oleh parti-parti pembangkang pada waktu itu yang kini membentuk sebuah koalisi mapan bergelar Pakatan Rakyat.

Koalisi mapan ini sering disebut oleh ramai politisi United Malays National Organisation (selepas ini disebut UMNO) sebagai ‘kahwin paksa’ antara DAP, PAS dan PKR. Biarlah apa pun momokan UMNO, ternyata koalisi ini telah berjaya hidup bersama untuk tahun keempat demi menjaga kepentingan rakyat dan dengan jayanya mendesak perubahan-perubahan yang tidak mungkin terjadi jika tidak didesak oleh Pakatan Rakyat.

Pulau Pinang, seawal jam 6.30 petang 8 Mac 2008 telah diketahui tidak lagi berada di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Maklumat ini disimpan begitu ketat dan tidak disiar di laman-laman web media arus perdana. Malah ada khabar-khabar angin yang menyatakan berbulan lebih awal, sudah ada arahan untuk komputer-komputer pejabat kerajaan negeri ditukar dan data-datanya dipadamkan dek kerana sudah dibaca kejatuhan kerajaan pimpinan Koh Tsu Koon itu.

Sejak peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat, dengan saudara Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri, bukan sedikit perubahan yang berlaku kepada Pulau Pinang.

Bersih dan Hijau

Teman-teman persekolahan yang sudah lama tidak balik kampung selalunya mempunyai komen serupa apabila ditanya tentang perubahan paling ketara di Pulau Pinang. Hampir kesemuanya bersetuju bahawa Pulau Pinang nampak lebih bersih. Sungguh pun bukanlah sampai ke tahap boleh makan nasi dari lantai.

Barangkali kerana kedua-dua Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Seberang Perai adalah wanita yang tegas maka usaha membersihkan Pulau Pinang bergerak pada momentum yang sangat baik. Ditambah dengan kempen Penang Hijau Bersih yang dibentuk demikian rupa demi menjaga kelestarian alam sekitar dan kebersihan serta ‘meningkatkan kualiti hidup penduduk’. Demikian kata laman web Penang Hijau Bersih.

Sebagai orang yang jarang pulang ke Pulau Pinang, saya selalu terlupa tentang polisi beg plastiknya. Setiap kali beli barang, saya akan minta beg plastik. Peniaga akan pantas menjawab, “Aiyaa.. Ini Penang maa… Mana ada plastik beg.” Bukan pada hujung minggu sahaja bahkan setiap hari begitu.

Bersih dan hijaunya Pulau Pinang, bukan hanya pada persekitarannya sahaja, tetapi turut bersih pada urus tadbirnya.

Sejurus mengambil alih pentadbiran, Lim Guan Eng dan kawan-kawan memperkenalkan prinsip urus tadbir CAT – Cekap Akauntabel dan Telus yang dimanifestasikan dalam gerak kerja Kerajaan Negeri. Paling jelas dapat dilihat dalam perlaksanaan tender terbukanya yang seakan menampar laju para pembangkang (UMNO-BN) di Pulau Pinang.

Saya masih ingat perbualan dengan seorang ahli majlis MPPP yang memberitahu saya tentang adat dulu kala apabila komisyen 10%  harus ‘disumbangkan’ kepada UMNO Bahagian setelah mendapat projek secara rundingan terus. Sekarang adat itu sudah tidak lagi terpakai. Bahkan kontraktor-kontraktor kecil lebih punya ruang dan peluang untuk membuktikan kebolehan mereka, tanpa perlu mengenali mana-mana Ketua UMNO Cawangan atau Bahagian.

Prinsip CAT ini juga diulang sebut oleh Guan Eng yang telah bikin panas sekalian pembangkang negeri Pulau Pinang. Setiausaha Agung DAP itu sering mengungkap keinginan untuk mencontohi kepemimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz. Bukan itu sahaja, Institut Integriti Pulau Pinang turut mengangkat khalifah itu sebagai model dalam persidangan integriti antarabangsanya.

Demikian menghijau Pulau Pinang dengan unsur-unsur Islaminya yang dituturkan dari lidah seorang Ketua Menteri keturunan Tionghua. Itu belum kira peruntukan perbelanjaan negeri untuk agama Islam yang meningkat saban tahun. “Guan Eng anti Islam. Sebab tu peruntukan untuk agama Islam sampai mencecah RM 64 juta!” gurau Mat Sabu dalam ceramahnya.

Nah! Perubahan begini mahu dilihat kalau tiada desakan rakyat yang mengubah kerajaan? Mimpi sajalah.

Sihat

Orang Pulau Pinang memang sihat-sihat belaka. Mungkin kerana demikian banyak pilihan gerai dan restoran yang menyajikan makanan maka orang Pulau Pinang sentiasa kenyang dan cukup makan.

Namun yang lebih penting ialah soal kesihatan penduduk Pulau Pinang. Dengan persekitaran yang lebih bersih dan program yang lebih mapan, seperti menggalakkan penggunaan basikal dan mengadakan hari-hari bebas kenderaan di kawasan-kawasan terpilih, pencemaran di Pulau Pinang dapat dikawal lantas menyumbang kepada kelangsungan hidup masyarakat yang lebih baik.

Kalau statistik kesihatan negeri mahu diambil kira, adalah jelas bahawa secara puratanya bilangan penyakit bawaan vektor serta bawaan makanan jatuh merudum sejak 2008. Barangkali takdir telah menentukan bahawa orang Pulau Pinang akan kurang sakitnya. Tetapi mungkin juga pengurusan alam sekitar dan kesihatan pasca tsunami 2008 ada sedikit menyumbang kepada meningkatknya kadar kesihatan penduduk.

Apa yang lebih sihat dari itu pastilah kewangan kerajaan negeri dan sumbangannya kepada ekonomi negara secara keseluruhan.

Agak heboh diperkatakan bahawa Guan Eng telah berjaya mengurangkan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 95%. Ya, bukan itu sahaja. Malah ia berjaya beroleh lebihan dari penjimatan-penjimatannya yang akhirnya disalurkan kembali kepada rakyat melalui skim-skim bantuan dan pemberian-pemberian kepada mereka yang memerlukan. Belum pernah dalam sejarah Malaysia ini berlaku sebelum terjadinya tsunami politik 2008. Antara yang popular pastilah pemberian wang tahunan untuk warga emas dan sumbangan anak emas berupa wang tunai RM200 bagi bayi yang dilahirkan kepada pengundi berdaftar di Pulau Pinang.

Dari sudut pelaburan asing pula, Pulau Pinang duduk di tangga tertinggi dengan angka RM 2.3 bilion tahun lepas. Demikianlah sihatnya kewangan negeri dan potensi ekonominya sehingga berjaya menjadi pintu masuk pelaburan yang amat besar bagi negara secara keseluruhan. Adalah amat nyata bahawa pelaburan asing hanya akan mencurah masuk apabila lokaliti pelaburan itu ditadbir dengan baik tanpa korupsi.

Selamat

Maka selamatlah Pulau Pinang daripada kerakusan UMNO-BN yang sekian lama telah merompak rakyat dengan salah guna kuasa dan korupsi yang tidak mengenal batas. Selamatlah kewangan negeri daripada tangan-tangan cela pemimpin yang hanya menjaga tembolok sendiri dan menjaga kepentingan adik-beradik.

Hanya semalam Perdana Menteri mendedahkan di Parlimen bahawa 59% isi rumah seluruh negara layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Apakah yang telah dikerjakan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun menerajui negara sehinggakan lebih separuh rakyatnya berpendapatan rendah?

Perdana Menteri Najib Razak juga menambah bahawa yang paling ramai mendapat manfaat tersebut adalah rakyat Kelantan dan Selangor. Kelantan barangkali kerana wang royalti minyaknya tidak pernah diberikan. Tetapi mungkinkah dalam jangkamasa empat tahun Pakatan Rakyat mengambil alih, habis penduduk Selangor jatuh miskin? Pastilah tidak.

Kerajaan Barisan Nasional sebelum 2008 lah yang harus dipersalahkan. Masakan negeri yang begitu kaya tidak dapat menjaga kebajikan rakyatnya selama puluhan tahun BN berkuasa. Sedangkan bekas Menteri Besarnya mampu beli mahligai berjuta. Maka Pulau Pinang selamat daripada genggaman korupsi UMNO-BN.

Kadar jenayah juga kelihatan jatuh mendadak di Pulau Pinang, dengan bilangan 3,280 kes pada tahun 2007 berbanding 967 kes pada tahun 2010. Ini tidak lain menunjukkan bahawa Pulau Pinang bukan sahaja selamat, bahkan berada pada kedudukan sosio-ekonomi yang stabil. Jenayah meningkat apabila ekonomi tidak berada pada tahap yang memuaskan, lantas memaksa pihak-pihak tertentu untuk melakukan jenayah.

Justeru adalah jelas bahawa dengan perubahan bawaan tsunami politik 2008 serta urus tadbir yang jauh lebih baik oleh Pakatan Rakyat, Pulau Pinang akan terus melangkah maju ke hadapan. Bertepatan dengan slogannya sejak pemerintahan Barisan Nasional: Pulau Pinang Sentiasa Di Hadapan.

Maka pulanglah sekalian anak-anak Pulau Pinang ke kampung halaman. Marilah kita membina semula pulau mutiara bersama tanah besar untuk merdeka daripada kebobrokan UMNO-BN.

Negeri-negeri lain tidak perlu iri hati dengan Pulau Pinang. Bukan sahaja patut diteladani, malah jadikan negeri masing-masing lebih baik dari Pulau Pinang. Tidak ada ruginya jika negeri menjadi bersih, hijau, sihat dan selamat. – Roketkini.com