Wawancara

DAP Sarawak siap sedia untuk PRU13

Wong Ho Leng sebagai Ahli Parlimen Sibu, Adun Bukit Assek dan Pengerusi DAP Sarawak sentiasa sibuk dengan tugas-tugas memperjuangkan nasib rakyat. Penyalaras Roketkini Mazir Ibrahim meneme bual beliau sewaktu sesi Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini ini.

Kerajaan sering mendakwa ia berusaha meluaskan penggunaan internet di seluruh negara. Bagaimana keadaannya di Sarawak?

Kita berhadapan dengan dua masalah iaitu, di kawasan pedalaman dan di kampung-kampung Melayu dan Bumiputera, keadaannya sangat teruk, boleh dikatakan hampir tiada. Pihak yang terlibat tidak ada menyediakan talian tetap (fixed line), yang ada hanya ada modem bergerak (mobile modem), kami gelarkannya sebagai jalur sempit, bukan jalur lebar dalam bahasa Iban ‘nadai band’, tiada talian (zero band).

Malah, taliannya lemah dan selalu saja terputus dan kebanyakannya mudah dipotong. Di kawasana bandar tidaklah begitu teruk tetapi tidak pula sangat bagus sepertimana dakwaan Timbalan Menteri ketika memberi jawapan dalam Parlimen.

Banyak rungutan dan tindakannya pula sangat lambat. Ini menyusahkan masyarakat, sistem maklumat mestilah diutamakan apatah lagi di Sarawak faktor muka buminya memang kita tahu sangat mencabar. Jadi jika internet juga gagal menjadi alternatif untuk tujuan maklumat dan komunikasi, maka ini akan menambah masalah.

Bagaimana dengan integrasi antara pusat dan negeri untuk menyelesaikan masalah ini.

Hakikat tidak ada apa-apa integrasi. Internet sudah diguna pakai hampir 20 tahun, hingga kini tidak sampai separuh berfungsi di Sarawak. Ia seolah-olah meminggirkan keperluan warga Sarawak sedangkan pelanggan membayar sama jumlahnya seperti mana pengguna di Semenanjung. Yang wujud bukan integrasi, sebaliknya peminggiran.

Seharusnya ia tidak berlaku, ini tamadun zaman kini. Internet, SMS, twitter atau Facebook semuanya bukan sekadar aksesori lagi sebaliknya ia sudah menjadi keperluan penting untuk penyaluran maklumat dan komunikasi. Bagi insan berpendidikan, bagaimana pengetahuan boleh dikongsi dengan rakyat tanpa ada alat untuk akses maklumat sepertimana mana yang dinikmati oleh rakyat disemenanjung.

Bagaimana pula persediaan DAP Sarawak untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13?

DAP mungkin akan bertanding sekitar 10 hingga 12 belas kerusi Parlimen. Separuh calonnya adalah dari kaum Cina dan kita mahu sasarkan sekurang-kurangnya separuh lagi adalah datang dari Bumiputera Sarawak, khususnya penglibatan dari kawasan di pedalaman Sarawak.

Realiti politik di Sarawak, dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak atau pun Dewan Rakyat, saya dah sebut tentang peminggiran dalam proses pembangnan ekonomi, ia amat dirasai oleh semua rakyat khususnya kaum Dayak. Pemimpin-pemimpin mereka tidak cukup berani untuk cakap dalam Parlimen, mereka takut dengan tuan politik mereka. Kita akan cuba sebaik mungkin untuk memastikan penglibatan Bumiputera Sarawak untuk mengambil bahagian dalam DAP.

Bagaimana dengan peluang DAP/Pakatan Rakyat di Sarawak?

Saya tak dapat beri apa-apa kepastian, namun kita akan cuba sebaik mungkin. Dan sasaran kita sekitar 18 kerusi Parlimen termasuk dari Sabah. Bagi Sarawak kita sasarkan sekitar lapan ke 10 kerusi Parlimen, Itulah yang saudara Lim Guan Eng harapkan. Adakah ia boleh dicapai? Kita tidak pasti, memang susah tetapi mungkin. Di Sabah kita harap mungkin dapat tambahan lagi lapan. Kita tidak pasti tetapi kita akan cuba sebaik mungkin.

Berdasarkan sasaran tersebut, apa isu yang dapat meyakinkan penduduk Sabah dan Sarawak untuk mengundi Pakatan?

Isunya sama, isu negeri dan pusat sama sahaja iaitu kes-kes besar seperti kes rasuah, salah guna kuasa, isu peminggiran ekonomi, isu autonomi dan isu perjanjian persekutuan. Dalam isu perjanjian kerajan persekutuan dan Sarawak (Sabah dan Sarawak), ianya ada sekitar 18 belas topik.

Contohnya isu penjawat awam, penjawat yang berasal dari Semenanjung sahaja yang memenuhi peluang kerja kerajaan di Sarawak, ini menjadi isu penting bagi rakyat Sarawak kerana peluang itu tidak diberi kepada kami. Ia antara isu negeri yang ada kaitan langsung dengan isu Persekutuan.

Sama juga dengan isu balak, royalti minyak dan gas. Ia isu negeri dan ia juga isu persekutuan.

Bagaimana manifesto Pakatan Rakyat dapat integrasikan isu-isu ini?

Ini soalan paling asas. Kita ada dua manifesto, iaitu satu manifesto untuk pusat dan satu lagi manifesto untuk Sabah dan Sarawak, ia ibarat manifesti tambahan. Ini sahaja. Manifesto umum (pusat) itu adalah untuk seluruh negara, bagi Sabah dan Sarawak kita akan fokus pada isu-isu bersama yang melibatkan masalah-masalah yang sedang kita perjuangkan sekarang. – Roketkini.com