Berita

Kontraktor Melayu sokong empat projek infrastruktur Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 15 MAC: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Pulau Pinang menyokong hasrat kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang untuk membina empat projek infrastruktur di negeri tersebut.

Empat projek tersebut adalah:

1.       Terowong bawah laut 6.5km dari Gurney Drive ke Bagan Ajam (berdekatan dengan Butterworth.

2.       Jalan 15km yang akan menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang.

3.       Jalan pintas 5km dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

4.       Jalan pintas 5km dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu

Menurut Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Pulau Pinang, Datuk Izham bin Dato Omar Merican, persatuan itu sangat mengalu-alukan projek-projek tersebut kerana ia bertujuan untuk mengurangkan masalah kesesakan lalulintas di Pulau Pinang serta akan memacu pembangunan ekonomi negeri, terutamanya di Seberang Prai Utara.

“Projek-projek yang dicadangkan ini akan membawa faedah kepada semua rakyat SPU termasuk masyarakat Melayu yang merupakan majoriti di SPU. Justeru, terowong bawah laut yang menghubungkan Bagan Ajam dengan Gurney Drive akan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi yang kritikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terowong bawah laut itu juga akan memastikan bahawa orang Melayu di SPU akan dapat menikmati pembangunan yang setara dengan kawasan-kawasan lain di Pulau Pinang.

Tambahan pula, katanya, orang Melayu yakin bahawa projek-projek itu, khususnya terowong bawah laut, tidak akan mendatangkan apa-apa kesan yang mudarat kepada penghuni-penghuni kawasan-kawasan yang terbabit, malah akan membawa kemajuan kepada mereka.

“Kami juga bersetuju dan yakin dengan janji kerajaan negeri bahawa semua prosedur dan peraturan yang berkenaan akan dituruti, seperti proses rundingan umum untuk rekabentuk, pemilihan laluan dan juga kajian kesan alam sekitar.

“Semua proses-proses ini hendaklah dipersetujui terdahulu sebelum kelangsungan projek-projek tersebut. Sekiranya terdapat masalah yang tampil semasa proses-proses tersebut, dan jika projek-projek tersebut didapati kurang sesuai, maka ia tidak akan dilaksanakan,” tambah beliau.

Izham menjelaskan bahawa persatuannya yakin bahawa semua syarat-syarat dan keperluan yang ditetapkan akan dipatuhi dan diluluskan.

“Justeru, saya ingin menyatakan sekali lagi sokongan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Pulau Pinang ke atas projek-projek infrastruktur yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” ujarnya. – Roketkini.com