Berita

Pasaraya keluarga Shahrizat rugi di Singapura, siapa tanggung?

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Pasaraya milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil di Singapura, Farmhouse Supermarkets, dilaporkan telah arahkan keluar dari Rochester Mall kerana tidak mampu menyediakan premis pasaraya tersebut pada waktu yang ditetapkan serta gagal menyediakan bayaran sewa.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, keadaan itu adalah satu lagi ,mala petaka yang menimpa rakyat Malaysia.

Ini adalah kerana penubuhan pasaraya itu di Singapura dikatakan dengan menggunakan wang rakyat melalui projek Pusat Fidlot Kebangaan yang diberikan kepada National Feedlot Corporation (NFCorp) yang telah pun dibongkarkan oleh Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli, katanya.

Menurutnya, Pengarah Eksekutif NFCorp Datuk Seri Dr Mohd Salleh Ismail telah menyatakan bahawa tujuan penubuhan pasaraya tersebut adalah untuk menjadi tapak untuk mengeksport daging lembu NFC ke Singapura.

Kenyataan Mohd Salleh itu becanggah dengan fakta bahawa kerajaan Singapura tidak membenarkan sebarang import daging lembu dari Malaysia.

“Kita mahu bertanya, jika kerajaan Singapura tidak membenarkan sebarang import daging lembu dari Malaysia, jadi apa sebenarnya tujuan pasaraya tersebut?

“Yang kedua, saya mahu bertanya apakah yang telah terjadi kepada kesemua wang digunakan untuk pasaraya tersebut. Adakah ianya telah lesap, dan berapa pula jumlahnya?” soal Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Beliau juga mahu jawapan diberikan kepada rakyat tentang siapa yang terpaksa menanggung segala kerugian tersebut.

“Adakah wang hasil kerugian tersebut akan ditanggung oleh keluarga Shahrizat atau pun daripada akaun NFC yang datangnya dari wang rakyat?” tanya beliau lagi.

Menurut Pua, penjelasan yang sewajarnya perlu diberikan oleh mereka yang terlibat dan beliau berharap agar kerugian pasaraya tersebut ditanggung oleh keluarga Shahrizat kerana syarikat pasaraya tersebut terletak atas nama keluarga mereka, meski pun mereka telah menggunakan wang NFC tersebut. – Roketkini.com