Wawancara

Rakyat yang tentukan kerajaan apa yang rakyat mahukan

P. Patto adalah satu nama besar yang tidak asing lagi dalam arena politik Malaysia dan DAP. Kini anak beliau Kasthuri Patto meneruskan legasi perjuangan mendiang. Ikuti temubual dengan Kasthuri yang kini dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang bersama wartawan Roketkini Fairuz Azhan.

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Bolehkah ceritakan sedikit latar belakang peribadi saudari?

Nama saya Kasthuri Rani Patto dan saya pada tahun ini berumur 33 tahun. Asal saya dari Ipoh, Perak. “Ipoh mali, tarak sombong” (ketawa).  Saya belajar peringkat menengah di Ipoh sampai tingkatan 6 di Sekolah St. Micheal, kemudian menyambung belajar di Universiti Malaya dalam bidang mikrobiologi dan bekerja sebagai saintis Makmal Perubatan selama 5 tahun. Apabila menghantar tesis untuk Ijazah Sarjana, saya dengar ada tawaran kerja di Setiausaha Kerajaan Selangor di bawah Exco Ronnie Liu. Saya telah memohon untuk jawatan tersebut dan berjaya.

Suatu anjakan paradigm, dari mikrobiologi kepada politik. Bolehkah saudari menceritakan bagaimana saudari mula terlibat dalam bidang politik dan DAP? Bagaimana timbul minat?

Saya rasa nama ayah saya boleh menjawab segala pertanyaan tersebut. Ibu dan ayah saya sangat aktif dalam bidang politik sewaktu zaman mereka dahulu. Malah ayah dan ibu saya telah bertemu di dalam DAP. Saya amat mencintai bidang politik ini. Sewaktu muda dahulu ayah sering membawa saya ke ceramah dan majlis-majlis.  Kebanyakan pemimpin DAP adalah rakan keluarga kami dan kami saling tumpang menumpang rumah apabila ada majlis di sana sini. Ia bagaikan sebuah keluarga yang besar, jadi saya memang tidak dapat lari daripadanya.

Bagaimana pula dengan keadaan saudari membesar di bawah seorang tokoh politik yang amat terkenal?

Pada ketika itu, jika kami pergi ke mana-mana, kami dapat rasakan bahawa orang mengenali kami dan kami rasa bahawa kami telah berjaya menyesuaikan diri dalam keadaan itu. Ayah saya bukanlah seorang yang sentiasa di rumah kerana beliau sentiasa sibuk dan menjelajah seluruh negara dan luar negara. Apabila beliau pulang atau berada di rumah, kita dapat merasakan aura beliau dan berasa keluarga kami telah lengkap. Memang seronok apabila beliau di rumah. Beliau meluangkan masa bersama kami dan mengajar kami pelbagai benda. Sebagai contoh, beliau seorang pengumpul. Beliau mengumpul syilling, wang asing, botol, majalah, buku dan sebagainya. Beliau akan mengajar kami tentang benda-benda yang dikumpul dan bagaimana untuk menjaga barangan tersebut. Itulah saat-saat istimewa kami selain melihat beliau berucap dengan penuh megah di atas pentas.

Saudari kini dilihat sebagai seorang wanita yang berada di baris hadapan politik Malaysia. Pada pandangan anda, bagaimanakah penyertaan wanita dalam politik tanahair pada waktu kini?

Saya rasa ada eloknya jika kita membuat perbandingan tentang penyertaan wanita dalam politik dalam jangka masa 10 tahun belakangan ini. Kita memang dapat melihat penyertaan wanita dalam politik dan mereka datang daripada pelbagai latar belakang. Dalam konteks Pakatan Rakyat, spektrum kepelbagaian wanita adalah yang paling luas dalam sejarahnya. Ia amat mengujakan untuk melihat wanita-wanita muda bangkit dan memperjuangkan kepercayaan mereka ke dalam politik dalam sebuah bidang yang diiktiraf sebagai ‘didominasi oleh lelaki.’ Ia amat bagus untuk generasi wanita pada hari ini oleh kerana jasa-jasa generasi wanita sebelumnya, generasi wanita hari ini mendapat peluang seperti mana hari ini. Ia merupakan sebuah perjalanan dan kita dapat merasakan bahawa ia sebuah perjalanan ke arah positif.

Memang wanita generasi sekarang lebih aktif dan terlibat berbanding dahulu. Tetapi pada hemat saudari adakah ia mencukupi atau tahap yang memuaskan?

Tidak. Sememangnya tidak cukup. Ia kerana persepsi masyarkat am tentang politik adalah ianya kotor, korup, dan kebanyakkan wanita menjauhkan diri daripadanya berbanding lelaki. Oleh itu, jika meraka mahu terlibat pun, mereka akan menyertai NGO dan sebagainya. Tetapi pada pandangan saya wanita-wanita yang berkebolehan seperti ini harus diajak dan digalakkan untuk menyertai kita atas pentas yang sama kerana mereka juga ada visi dan misi yang sama seperti kita. Sememangnya langkah pertama adalah langkah yang paling sukar, tetapi jika diambil, segalanya akan lebih lancar.

Jadi pada pandangan saudari, adakah wanita perlu diberi galakan secara langsung atau pun membiarkan ia mendapat sebuah proses semulajadi?

Saya berpendapat wanita perlu diberi galakan untuk meyertai politik secara aktif. Jika dahulunya pepatah mengatakan ‘di belakang seorang lelaki berjaya, adalah seorang wanita,’ tetapi pada hari ini pepatah itu bertukar menjadi ‘di belakang seorang lelaki yang berjaya, adalah seorang wanita yang sama berjaya.’ Jadi wanita harus diberikan peluangan sama malah galakkan untuk mendapat kerusi hadapan mahu pun baris hadapan. Wanita-wanita di luar sana tidak pasti sama ada jika mereka ada platform, mereka tidak yakin sama ada mereka dapat bersaing. Oleh itu saya merasakan manifesto kita adalah amat berpatutan, iaitu sekurangnya 30% wanita dalam proses membuat keputusan pimpinan parti. Kita telah “berdakwah”, kini kita perlu bertindak.

Bagaimana pengalaman saudari dengan kerajaan negeri Selangor?

Saya bekerja dalam Pejabat Exco di bawah Ronnie Liu yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan dan Kajian dan Penyelidikan. Dan pengalaman saya bekerja dalam sebuah pejabat Pakatan Rakyat adalah amat mencabar sekali. Ini kerana kita terpaksa, mengenal pasti, membersihkan masalah yang lalu, dan mereformasikan negeri Selangor. Meski pun jawatan rasmi saya pada ketika itu adalah Pegawai Koordinasi, saya terpaksa ‘multitask’ dan kita kena buat segala pekara yang melibatkan pentadbiran Exco tersebut. Anda akan terkejut tentang apa lebih 50 tahun rasuah dan kerosakkan telah dibuat di Selangor.

Pada pendapat saudari, apakah yang orang ramai tidak tahu tentang kerajaan negeri Selangor? Misalnya kejayaan-kejayaan ataupun pencapaian yang telah dibuat yang tidak begitu dihebahkan?

Wow, di mana saya boleh bermula? Selepas 4 tahun di bawah apa yang dikatakan BN sebagai ‘kerajaan pembangkang’, mereka tidak mahu mengiktiraf Pakatan Rakyat. Saya rasa saya patut bermula dengan jumlah rizab negeri RM1.9 bilion yang dicapai tahun lalu. Kita sedia tahu masalah kerajaan negeri yang sebelumnya. Sebelum kita memerintah, tiga perempat majlis kerajaan tempatan Selangor berada dalam keadaan ‘merah’ (mengalami kerugian). Buah epal tidak akan jatuh jauh dari pokok. Jika pentadbiran yang dahulu entah apa-apa, maka ia akan menjalar kepada peringkat-peringkat bawahan.

Selain itu apa yang kita telah buat untuk rakyat adalah memberikan air secara percuma. BN dulu membangkang habis-habisan apabila kita mengusulkan pemberian air percuma. Mereka kata Selangor akan bankrap selepas 6 bulan jika kita memberi rakyat 20m padu air secara percuma. Namun kita dah beri air percuma selepas 4 tahun, malahan hasil negeri bertambah jauh lagi baik. Inilah yang dikatakan BN bagai meludah ke langit.

Sebuah dana khas juga telah ditubuhkan oleh kerajaan Selangor demi pemiliharaan dan pembaikan masjid-masjid dan surau di seluruh Selangor. Ini sebuah dana khas untuk kerja-kerja pembaikan, kebersihan, kecantikan, dan pemeliharaan masjid di Selangor.

Selain itu adalah tambahan kewangan kepada badan-badan bukan Islam. Selangor bawah BN hanya menerima peruntukan RM880,000. Jumlah ini amat menyedihkan. Berapa sangat RM880,000 untuk menampung semua gereja, tokong, kuil dan sebagainya di Selangor? Di bawah PR, kita menyediakan RM6 juta untuk semua ini. Bukan itu sahaja, kita juga banyak memberikan tanah kepada mereka dan berusaha untuk menolong mereka dalam hal-hal berkaitan seperti urusan perpindahan tapak dan sebagainya.

Kerajaan Selangor juga menyediakan kelas tuisyen percuma sehingga peringkat SPM kepada mereka yang berpendapatan rendah. Tambahan pula kerajaan Selangor juga telah menyediakan sejumlah RM300 juta untuk pelbagai program-program yang bermanfaat untuk rakyat dibawah program SelangorKu.

Selain itu sebuah dana khas telah ditubuhkan khas untuk membantu mereka yang susah di kawasan estet. Saya kurang pasti jika dana ini wujud semasa pemerintahan BN, tetapi jika ia wujud sekali pun, ia seolah tidak wujud dan tidak membantu sesiapa pun kecuali BN dan kroni mereka. Kini wang disalurkan bagi membantu mereka yang susah tersebut tanpa mengira kaum, agama, mahupun pendirian politik.

Ini cuma sebahagian kecil sahaja apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Selangor. Kita juga telah mencuba sedaya upaya kita untuk menjalani proses tender terbuka bagi majlis-majlis tempatan. Tapi kita mendapat rintangan dan tentangan yang hebat daripada kerajaan pusat. Saya rasa, banyak yang saya tertinggal tentang kejayaan-kejayaan negeri Selangor ini.

Tahniah di atas perlantikan saudari menjadi Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang. Komen saudari tentang perkara ini?

Terima kasih. Sebenarnya saya telah dijemput oleh YB Lim untuk bertemu dengannya di ibu pejabat pada suatu hari. Dia bertanya kepada saya, bagaimana kerja di SUK? Lalu saya menjawab beliau dengan menceritakan apa yang kami telah lakukan dan apa yang telah kami buat. Selepas itu beliau bertanya, bagaimana jika anda berkerja di ibu pejabat DAP?

Saya membalas, “Oh. Sebagai apa?” Pada masa itu ia amat kabur, saya pun tak pasti saya akan berkerja sebagai apa. Sebagai setiausaha ke, pembantu dia ke, tapi saya memang berminat kerana bunyinya agak menarik dan ‘cool’. Saya memang berminat dan ingin menjadi sebahagian daripada semua ini. Saya tidak mahu hanya menjadi anak kepada P.Patto semata-mata. Saya memang mahu terlibat untuk menjadi sebahagian daripada jentera parti. Selepas beliau menawarkan kerja kepada saya, beliau memberikan sedikit masa kepada saya untuk berfikir. Saya memanggil beliau melalui telefon dan menerima pekerjaan tersebut.

Setakat ini bagaimana pengalaman berkerja bersama seorang legenda politik tanahair?

Setakat ini, saya tengah ‘double-up’ kerja kerana perlu menyelesaikan beberapa butiran kerja di SUK Selangor. Tetapi, ya, memang terasa auranya. Apabila beliau masuk pejabat, kita semua tahu bagaimana auranya.

Ada apa-apa yang mahu dipesan kepada para pembaca?

Saya fikir setelah berdekad-dekad semenjak kita merdeka yang mana telah diusahakan oleh setiap kaum di Malaysia, bahawa kita akan mempunyai lebih banyak ruang untuk berpendapat dan bersuara. Kebebasan media, kebebasan bergerak, kebebasan bersuara dan sebagainya. Tetapi apa yang kita dapat lihat ialah sebuah trend dimana semakin lama, semakin semua perkara yang saya sebut terhakis di negara ini.

Kini undang-undang diluluskan dengan segera tanpa sempat kita nak buat apa-apa. Kita harus mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kebebasan adalah hak mutlak dan asasi kita. Ia bukan ditentukan mahu pun merupakan ‘hadiah’ daripada kerajaan. Pada akhirnya, kitalah yang tentukan kerajaan apa yang kita mahukan dan kerajaan yang kita lantik ini harus memberikan apa yang kita telah minta dan menghormati kita sebagai rakyat Malaysia.

Kini, hanya satu perkataan yang bermain di bibir rakyat Malaysia iaitu ‘perubahan’. Dengan itu, kuasa perubahan harus datang secara kolektif. Oleh itu saya menyeru kepada rakyat Malaysia untuk mengambil hal ini (pilihan raya) secara serius. Ini bukan sahaja untuk masa hadapan kita, tetapi juga melibatkan soal masa depan anak dan cucu kita. Ia amat mustahak sekali untuk membawa perubahan. Kita tak mahu perubahan dalam kerajaan, kita mahu perubahan kerajaan.

Saya percaya dengan prestasi kerajaan-kerajaan PR seluruh negara, ia boleh menjadi previu kepada bertapa baiknya kita boleh mentadbir negara. – Roketkini.com