Wawancara

Kam Agong: Murah sangatkah nyawa penduduk pedalaman?

Wawancara wartawan Roketkini Mazir Ibrahim dan Fairuz Azhan bersama Lawrence Jayaraj, wakil keluarga Kam Agong yang menjadi mangsa kecuaian hospital kerajaan. Gambar oleh Wira Andika.

Bolehkah saudara perkenalkan diri?

Nama saya Lawrence Jayaraj, saya merupakan menantu kepada (mendiang) Puan Kam Agong dari Long Semadoh Naseb, Lawas, Sarawak. Kampung ini sememangnya terletak di kawasan ulu dimana ia mengambil masa tiga jam untuk ke bandar. Pada 2002, Kam Agong telah meninggal dunia kerana ketiadaan penjagaan kesihatan yang betul.

Berapa umur beliau ketika itu?

Semasa beliau mengandung, beliau berumur 43 tahun dan meninggal pada usia tersebut. Waktu itu beliau mengandung anak yang kelapan yang bernama Jordan. Sudah lebih 10 tahun beliau meninggal dunia tapi sampai hari ini kita tidak mempunyai sistem kesihatan yang betul.

Mengapa saya guna perkataan ‘betul’? Sistem kesihatan di Lawas dan cara mengendalikan kes Kam Agong sememangnya salah. Saya memang bukan doktor tapi apa mereka lakukan sememangnya tiada etika profesyen perubatan. Saya membawa kes ini ke mahkamah dan kami telah menang di mana telah dibuktikan kecuaian 100% doktor, hospital, dan kerajaan Malaysia. Selepas itu saya bawa lagi kes ini ke mahkamah pada 2003 dan kes ini selesai pada 2009.

Perkara pertama yang kita harus tahu adalah pembedahan C-Section dilakukan di bawah pusat (lower section), tetapi mereka membuat upper section. Malah ia fakta perubatan bahawa pembedahan upper section ini sukar dilakukan meski pun oleh pakar pembedahan sakit puan. Ia memang sangat bahaya. Dalam kes Kam Agong, seorang doktor biasa telah melakukan penbedahan C-Section tersebut, bukan doktor bedah, bukan doktor pakar, bukan doktor sakit puan.

Yang kedua, borang kebenaran untuk pembedahan tersebut bukannya tandatangan Kam Agong mahu pun suami. Ini ialah tandatangan orang lain. Kami telah membuat laporan polis tapi sampai hari ini masih lagi tiada tindakan.

Mahkamah telah memberi keputusan yang memihak kepada saudara. Adakah saudara dan keluarga telah mendapat pampasan?

Ya. Kami dapat pampasan RM50,000 dan selepas itu kami bawa ke Mahkamah Tinggi untuk merayu jumlah yang mereka bagi. Selepas itu kami mendapat RM138,000.

Kita telah menetapkan satu ‘precedent’ iaitu seorang ibu di ulu boleh menyumbang ke arah pendapatan keluarga. Kam Agong berkerja di sawah, membantu suami, membina rumah dan sebagainya jadi hakim berpendapat bahawa seorang ibu di ulu juga menyumbang kepada pendapatan keluarga. Saya fikir ini kes pertama di Sarawak bagaimana seorang ibu dari ulu diiktiraf sebagai pencari nafkah keluarga.

Walau bagaimana pun, kami masih tak puas hati. Setelah mendapat pampasan, kami balik ke Lawas dan kami dapati bahawa keadaan hospital tersebut masih di tahap yang lama, tapi dalam masa yang sama sebuah hotel besar yang bertaraf 4 bintang pula yang telah dibina di Lawas.

Padang bola kegunaan orang Lawas tidak digunakan untuk membina hospital tapi sebuah hotel mewah. Mereka kata mereka bina hotel untuk tambahkan pendapatan rakyat Lawas dari segi pelancongan dan sebagainya, tapi semua orang tahu di Lawas tiada pelancongan. Kalau ada pun, cumalah ada satu kolam air panas. Dan orang ramai tak nak pun menggadaikan nyawa untuk pergi ke situ kerana tiada jalan raya pun untuk ke situ.

Jelas mereka memperkecilkan kematian ibu kami. Kami memang tak mahu penyelesaian luar mahkamah. Mereka tawarkan pada kita di luar mahkamah sewaktu peringkat Mahkamah Sesyen sebanyak RM400,000. Tapi kita tak nak dan kita tak mahu terima. Kita mahukan kes ini diketengahkan dan kita juga mahu penghakiman daripada hakim.

Kita buat semua ini kerana kita tahu bahawa tandatangan pada borang kebenaran bukanlah milik Kam Agong. Kita berasa amat marah sekali. Kerajaan seolah-olah memperkecilkan kematian ibu kami.

Pada tahun 1999, JKR sudah pun mengesahkan hospital tersebut tak boleh dipakai lagi. Ahli Parlimen Lawas, Henry Sum Agong telah pun berkali-kali mengatakan hal ini di Parlimen, tapi sampai hari ini, mereka tak endah. Lepas tu, pembedahan dibuat oleh general practitioner bukan doktor bedah hingga menyebabkan Kam Agong meninggal.

Seorang ibu dengan 8 orang anak telah meninggal atas kecuaian kerajaan tetapi tiada sesiapa pun yang membantu kami. Dan selepas kami menang kes mahkamah sekali pun, mereka masih tak mahu membina sebuah hospital yang baik dan lengkap untuk rakyat Lawas.

Pada 2010, hotel pula dibangunkan. Ramai orang mati di sana tapi rumah mayat pun tiada. Apa yang berlaku? Kita berasa amat marahlah. Mereka bagaikan memperkecilkan kematian ibu kami. Siapa hidup siapa mati mereka tak kisah.

Limbang sahaja sudah pun sebesar Selangor dan Selangor mempunyai 10 hospital besar kerajaan. Tapi di Limbang satu hospital besar pun tiada. Hospital Lawas itu bagaikan sebuah klinik pergigian di Semenanjung.

Kita mahu bertanya apakah standard penjagaan rakyat? Adakah ini kes pertama di Sarawak? Jika di Hospital KL misalnya, adakah ianya sama iaitu seorang doktor biasa yang melakukan pembedahan atas seorang ibu ataupun pakar sakit puan? Jika tak, kita mahu bertanya, mengapa Sarawak di anak tirikan? Kenapa ini semua berlaku di Sarawak?

Setakat ini ada tak saudara berjumpa Ahli Parlimen kawasan saudara?

Setakat ini mereka tak mahu bertemu saya atau pun bercakap tentang isu ini sebab mereka tahu bahawa Sarawak mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang amat teruk sekali. Di Semenanjung secara purata dalam setahun sebanyak RM1,800 dibelanjakan untuk seorang pesakit tapi di Sarawak hanyalah RM400 sahaja.

Kes kami ini bukan sahaja patut dilihat sebagai isu perbezaan taraf kesihatan, tetapi dilihat sebagai isu ‘maternal care’. Ini ke cara ibu-ibu di layan? Kita semua mempunyai ibu dan kita tak mahu ibu kami menderita. Ibu saya meninggal 28 hari selepas pembedahan tersebut.

Bayangkan bertapa terseksanya beliau mengalami pendarahan. Bukan itu sahaja, beliau mengalami jangkitan yang amat-amat teruk dalam rahim beliau. Adakah ini kes pertama di Sarawak? Kami nak tahu.

Saya nak rakyat Malaysia tahu bahawa negeri Sarawak mempunyai kadar kematian kelahiran ibu di seluruh negara yang tinggi, meski pun Sarawak itu adalah pengeluar petroleum paling besar di Malaysia, getah, minyak kelapa sawit, balak, balak ni bukan terbesar di Malaysia, tapi terbesar di dunia.

Balak kayu tropika paling banyak di dunia dieksport dari Sarawak.  Itu pun mereka tak dapat sediakan penjagaan kesihatan yang elok.  Mana duit ini semua pergi? Dalam poket (Ketua Menteri) Taib Mahmud?

Tak ada seorang pun peguam yang mahu mengambil kes kami. Peguam-peguam pun nak memilih untuk selesai luar mahkamah. Ada yang tawar RM20,000, RM50,000, RM100,000, dan juga RM400,000.

Kami difahamkan saudara dijemput untuk memberi ceramah di Kuala Lumpur, boleh saudara jelaskan?

Ya, saya dijemput untuk menyampaikan kisah ‘The story of Kam Agong’ pada Ahad ini (18 Mac) di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur. Kami mahu rakyat mengetahui tentang kisah Kam Agong dan melihat isu ini adalah isu bersama yang mana taraf penjagaan kesihatan khususunya kaum ibu di Sarawak sangat buruk. Pembangunan di Sarawak dalam aspek kesihatan hanya indah khabar dari rupa. Ini yang ingin kami kongsikan dengan rakyat. Kami mahu hospital bukan hotel.

Maklumat mengenai kes ini boleh didapati di http://www.kamagong.org/ dan juga facebook.com/kamagong.org – Roketkini.com