Rencana

Kemaruk kuasa – Oleh Adil Mat Selamat

Sungguh pun Parlimen belum dibubarkan, UMNO yang dikepalai oleh Najib Razak semakin ligat berkempen di seluruh pelusuk tanah air. Nampaknya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya melihat saja, mungkin kerana mereka tidak mampu membezakan setiap lawatan Perdana Menteri ini atas kapasiti ketua kerajaan atau kepala parti.

Inilah amalan yang menimbulkan masalah apabila urusan negara itu telah disalah guna untuk urusan parti. Bak kata pepatah, sambil menyelam, minum air.

Dalam konteks pepatah ini, biasanya kita memahaminya sebagai mengambil kesempatan atas sesuatu peluang. Ia adalah dalam maksud yang baik contohnya, seseorang wartawan akan mengambil kesempatan atas kebolehannya menulis berita dengan menulis novel cereka.

Tetapi di sini, konotasi ‘sambil menyelam minum air’ itu diterjemahkan oleh amalan politik UMNO secara negatif bila mana perbelanjaan untuk urusan parti itu diambil dari kantung negara iaitu wang cukai rakyat dan hasil sumber negara. Ia bukan duit parti yang disalahgunakan untuk kepentingan parti.

Apabila sudah kemaruk dengan kuasa, sudah tentu apa sahaja peluang yang ada, akan dimanfaatkan sebaik-baiknya hingga mereka langsung tidak segan kepada khalayak rakyat. Sehinggakan Felda yang sepatutnya menjadi hak peneroka dari semua genereasi telah diuruskan seolah-olah ia milik UMNO.

Niat murni sebagai topeng

Baru-baru ini, menurut laporan media, Putrajaya  akan tetap meneruskan niatnya untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH), dengan atau tanpa 51 peratus saham daripada Felda Holdings yang dimiliki oleh peneroka Felda.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan UMNO dilaporkan sebagai berkata, kerajaan tidak akan menangguhkan penyenaraian tersebut sehingga Jun kerana mahu mengambil kesempatan daripada harga minyak sawit mentah (CPO) yang tinggi.

Dari laporan tersebut, mesej paling utama ialah, walau apa pun terjadi, UMNO akan tetap meneruskan hasratnya walau pun ia terus dibantah oleh peneroka Felda yakni rakyat yang sedar keuntungan hanya akan dimiliki elit pemerintah bersama para kroni mereka.

Begitu juga keadaannya apabila kerajaan yang kerja hakikinya bukan untuk berniaga ini, telah menggunakan rasional ‘keuntungan’ jualan dari harga  minyak sawit yang sedang mencanak-canak ini.

Kerana itulah maka kerajaan sanggup membelakangkan rakyat demi ‘keuntungan’ tersebut. Ini saja sudah bertentangan dengan slogan Najib iaitu ‘rakyat didahulukan’.

Ada udang di sebalik batu

Berita Felda ini disambut dengan satu kenyataan dari bekas menteri kewangan dan bekas Bendahari UMNO Tun Daim Zainuddin bahawa UMNO tidak perlu untuk mengumpul dana pilihan raya dari pasaran saham kerana ia mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Singnifikannya bukan sahaja kerana waktu ia dilaporkan, tetapi inti kepada kenyataan ini jelas menunjukan bahawa niat sebenar UMNO dalam kes penyenaraian FGVH ke bursa saham itu ‘ada udang di sebalik batu’.

Penyenaraian FGVH ke bursa saham, dipercayai boleh membawa keuntungan kewangan yang banyak dan segera kepada UMNO, ini amat-amat diperlukan bagi sebuah parti yang sudah kemaruk untuk berkuasa dan mempertahankan kuasanya ketika menjelang pilihanraya akan datang.

Jangan kita lupa bahawa, pilihan raya kali ini amat-amat genting buat UMNO selepas momentum tsunami 2008 dilihat tidak kendur-kendur hingga kini.

Bagi Najib pula, pilihan raya ini akan menjadi penentu masa depan politik beliau. Melihat kepada senario inilah maka kita yakin bahawa niat regim untuk menyenaraikan FGVH ke bursa saham adalah untuk kepentingan parti, bukan untuk peneroka Felda.

Jadi siapa yang mengkhianati amanah kepada orang Melayu, yakni peneroka Felda yang rata-ratanya dari kalangan masyarakat Melayu?

Pecah lobang

Inilah strategi atau amalan politik UMNO BN selama ini. Mereka menggunakan aset rakyat untuk kepentingan politik mereka, hujah-hujah yang menjustifikasikan tindakan mereka itu hanyalah pembohongan.

Tun Daim ini bukan sahaja seorang yang mahir dalam urusan kewangan, beliau juga lebih tahu dan berpengalaman dalam permainan politik sebegini. Justeru, ulasan beliau itu jelas memberi isyarat kepada kedua-dua belah pihak iaitu BN dan Pakatan Rakyat.

Amaran kepada UMNO-BN amat jelas bahawa amalan sedemikian sangat merbahaya untuk masa depan parti. Dan isyarat buat PR juga sangat mudah iaitu, ia menjadi satu peluru yang kuat untuk kempen pilihan raya akan datang ini. Dalam kes ini, Tun Daim sudah pecah lobang.

Jadi, bagi PR dan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), mereka harus fokus berkempen untuk memastikan aset ini tidak disalahgunakan oleh elit-elit UMNO yang sudah semakin teruk untuk mempertahankan kuasanya.

Malah, ia bukan sahaja kempen untuk PR dan ANAK tetapi juga semua masyarakat prihatin. Isu Felda bukan sahaja isu untuk orang Melayu, ia soal amanah kerajaan terhadap rakyat semua kaum dan agama. Jika kerajaan sudah tidak percaya dengan rakyat, maka rakyat perlu memperbetulkan keadaan ini. – Roketkini.com