Kenyataan Akhbar

Kenyataan Akhbar Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Zairil Khir Johari di Pulau Pinang pada 16.3.2012

Lim Guan Eng tidak pernah kata bahawa sokongan kaum India tidak diperlukan, malah mengharapkan sokongan kuat daripada semua lapisan masyarakat.

Saya merujuk kepada laporan akhbar Sinar Harian yang bertajuk “Shaik Hussein kesal kenyataan Guan Eng” yang disiarkan pada 16 Mac 2012.

Dalam laporan tersebut, Shaik Hussein dilaporkan berkata bahawa “dia (Guan Eng) hanya menyebut beliau memerlukan sokongan 90 peratus pengundi Cina dan 40 peratus pengundi Melayu tanpa menyebut sokongan kaum India.”

Kenyataan ini adalah palsu dan fitnah, serta bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman, khususnya di kalangan masyarakat India. Kenyataan sebenar Guan Eng adalah bahawa beliau mengharapkan 90% sokongan daripada masyarakat bukan Melayu, dan bukan hanya daripada kaum Cina.

Berikut adalah petikan-petikan transkrip ucapan beliau dalam tiga bahasa.

Petikan daripada ucapan Bahasa Mandarin:

Sekiranya anda ingin PR terus menjadi Kerajaan Negeri, anda hendaklah memastikan bahawa 90% undi bukan Melayu diberi kepada PR. Boleh tak?

Petikan daripada ucapan Bahasa Hokkien:

90% Cina, India, bukan Melayu diberi kepada PR boleh tak?

Petikan daripada ucapan Bahasa Melayu:

Kalau kita nak menang kita mesti pastikan sokongan kuat dari rakyat Pulau Pinang tak kira Melayu, Cina, India. Kita harap (se)kurang-kurangya kita boleh dapat lebih 40% sokongan Melayu, kita harap dapat 90% sokongan bukan Melayu.

Justeru, tidak boleh dinafikan bahawa beliau telah menyatakan harapan untuk mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat, tidak kira Melayu atau bukan Melayu. Tambahan pula, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang giat menjalankan program-program yang memberi bantuan kepada semua rakyat Pulau Pinang yang memerlukannya, tanpa mengira warna kulit atau agama.