Budaya

Erah – Bahagian 8 – Oleh Mazir Ibrahim

Cerpen

Setelah hampir dua belas tahun tidak bertemu dan berbual mesra, kali ini Wang San berpeluang menemui Erah. Pertemuan ini tidak dapat dielak lagi, Wang San amat berharap Erah dapat membantunya dalam berhadapan dengan krisis dengan Azam Kundur.

Terdesak dengan ugutan, Wang San harus melangsaikan hutangnya pada Azam, dia harus membayar kerugian yang dialami oleh bapa Azam iaitu Haji Kundur. Wang sebanyak lapan ribu ringgit amat mustahil untuk dia dapatkan dalam tempoh seminggu. Hanya dengan sedikit helah, mungkin dia dapat menyelamatkan keadaan.

Jika dia meminta bantuan bapanya Wang Chu, pasti kes ini akan tambah melarat. Dia tidak mahu masalah ini melibatkan kaum keluarga. Dia pulang ke kampung dari Singapura bukan mahu mencari masalah, dia tahu bapanya bersusah payah membina perniagaannya. Adalah tidak wajar Wang San mahu membebankan lagi keadaan ini.

Dengan berbasikal, dia mendekati rumah Erah. Dalam perjalanan itu, ingatannya bersama Erah sewaktu kecil, menerpa ke dalam fikirannya. Dia masih dapat mengingati suara lunak gadis kembang sekampung itu ketika mengajarnya membaca.

Kadang kala dia khayal mendengar suara Erah, ingatannya kepada lunak merdu suara itu lebih melekat dari tunjuk ajar Erah. Wang San tersenyum ketika mengayuh basikal.

Harapan

“ Erah… Wang San memanggil Erah sambil mengetuk dinding pintu rumah.

Salamnya tiada berjawab, hanya suara ayam kampung yang berketak-ketak dan berkeliaran di bawah rumah. Matanya meninjau-ninjau ke tepi rumah, lengang.

Pintu rumah separuh tertutup, diketuknya lagi berulang kali. Namun masih tiada jawapan. Wang San menjengah ke belakang rumah, perlahan kakinya melangkah, bimbang Erah sedang memerhatikannya di balik dinding.

“Ya, siapa tu?” satu suara lembut menyapa dari belakang rumah.

Mata Wang San terus menerpa kepada susuk empunya suara itu. Tergamam seketika, tekaknya terasa disekat untuk menjawabnya. Dia mendekati suara itu.

“ Eh…San!” terkejut Erah melihat Wang San muncul di depannya. Secara spontan Erah membetulkan rambutnya yang kelihatan agak kusut.

“Ya, saya,” pendek jawab Wang San. Kedua-duanya berasa janggal. Wang San berdiri tidak bergerak-gerak.

“Ya, ada apa San? Apa khabar? Bila sampai?” soalan Erah tidak ada titik tanda sedikit gugup. Perlahan dia mendekati Wang San.

“Er, saya baik. Dah lama ada sini. Awak tahu kan?” Wang San menjawab dengan gugup.

“Ya tahu, tapi ada apa datang?” Tidak sempat Wang San menjawab Erah menyambung kata-katanya, “San, sekejap ya. Saya nak angkat cerek sekejap. Nanti kering pulak air.”

Erah berlari anak memanjat tangga dapurnya. Wang San berjalan semula ke hadapan. Dia hanya menunggu di bibir pintu rumah Erah. Seketika kemudian Erah kembali mendapatkannya.

Wang San salah mahu menerangkan hajatnya. Tetapi dia terdesak, bimbang juga jika Erah menolak hajatnya. Dengan nada yang berhati-hati Wang San menerangkan satu-persatu masalahnya.

“Saya sudah buat salah Erah, saya tidak tahu bagaimana mahu bikin,” mata Wang San seakan berkaca mahu menangis. Dia merasa cukup tertekan, apatah lagi bila berhadapan dengan Erah yang selama ini menjadi pujaan hatinya.

Sungguh pun Erah sudah lama berkahwin, menjanda dan punya anak, wajah manis itu tidak ditelan oleh kepayahan hidupnya. Dalam usia di awal 30-an, Erah masih tetap ayu dan segar.

Perjanjian akhir

Terdiam Erah mendengar keluhan Wang San. Direnungnya wajah Wang San dalam-dalam, dirasakan anak muda ini begitu tertekan dengan kejadian yang berlaku. Dia tidak sangka Wang San sanggup datang menemuinya kembali dan meminta bantuannya.

Selama ini Erah menganggap dirinya sudah tidak berguna lagi kepada sesiapa pun, apatah lagi masa depannya sangat suram setelah bertahun menjanda.

“San jangan bimbang, Erah akan tolong San. Tapi San kena cari mesin taip dan kertas, nanti Erah buatkan surat perjanjian tu,” tenang Erah menjawab sambil memujuk Wang San.

Lembut suara Erah telah meredakan kerisauan Wang San. Seperti hujan yang turun, semangat Wang San kembali subur. Tanpa berlengah, dikayuhnya basikal kembali ke rumah mendapatkan mesin taip.

Dia pasti, surat perjanjian ini mampu meredakan ugutan Azam ke atasnya. Niatnya cukup mudah, dia mahu perkara ini diselesaikan dengan mudah dan berharap perjanjian ini akan menyebelahi nasibnya.

Erah pula sudah seperti kembali menemui dirinya. Sungguh pun permintaan Wang San ini kecil, ia amat penting, surat ini akan menjadi penentu masa depan Wang San, paling tidak pun, dia dapat menggunakan kemahirannya menulis demi membantu Wang San buat kali kedua.

Bersusah-payah Wang San mengelek mesin taip. Diletaknya di depan Erah. Terpegun mata Erah melihat mesin taip, sudah lama benar dia tidak menggunakannya selepas berhenti kerja di pejabat ladang getah Wang Chu. Dibelek-beleknya mesin taip itu dengan penuh senyuman dan nostalgia.

“Sekarang San nak Erah tulis apa?” soal Erah setelah siap menaip mukadimah surat.

Petang itu, pasangan ini menghabiskan masa menulis surat perjanjian itu. Surat ini bakal menentukan masa depan Wang San. Dia tidak ada pilihan lain kecuali mencari jalan untuk memastikan masa yang cukup untuk dia membayar ganti rugi kepada Azam Kundur.

“Erah, surat ini hanya awak, saya dan Azam Kundur sahaja yang tahu isinya, jangan beritahu sesiapa, ya”.

Wang San mahu Erah menjadi saksi segala isi yang terkandung di dalam surat perjanjian itu. Jika dia gagal, biar Erah sahaja yang akan menjawab kerana dia mungkin tidak ada lagi untuk menjelaskan apa yang telah berlaku.

Debaran menanti

Hati Erah rusuh bila mengenangkan masalah Wang San. Dia bimbang Wang San akan gagal, jika itu berlaku pasti dia juga akan merasa hampa. Anaknya Jamsari pula sejak beberapa hari ini, sering saja menyebut nama Wang San.

Dia merungut kerana bengkel Wang San tutup. Erah sekadar memujuknya agar pergi bermain dengan kawan-kawannya. Dia tidak mahu anaknya sibuk-sibuk bertandang ke bengkel Wang San.

Sejak hidup sendirian, Erah tidak pernah memasang apa-apa impian lagi. Tetapi sekembalinya Wang San ke kampung, hatinya berdetik kembali. Seolah-olah mimpi panjangnya sudah berakhir, entah kenapa perasan itu muncul. Lama dia bermenung memikirkannnya.

Malah Erah pelik mengapa Wang San masih membujang walau pun sudah merantau jauh. Biasanya lelaki yang kembali ke kampung dari merantau, pasti membawa isteri atau tunang, Tetapi Wang San tidak pula begitu.

Tetapi dia yakin, perasaan itu hanyalah palsu. Mungkin kerana dia sudah lama tidak bertemu dengan Wang San. Tak mungkin Wang San ada menyimpan apa-apa perasaan padanya.

Sekal ipun ada, untuk apa pula, tak mungkin dia akan berkahwin lagi. Jika perkahwinan dengan Jamian pun boleh menjadi isu orang kampung, apatah lagi dengan Wang San. Tak mungkin…tak mungkin, bisik hati Erah.

Erah cuba buang jauh-jauh perasaan itu. Dia tidak mahu lagi mengharap, biarlah sejarah menyelimuti hidupnya hingga ke akhir hayat. Tidak mungkin dia dapat mengubahnya. Biarlah dia membesarkan Jamsari dengan apa yang ada. Selepas itu terserahlah pada tuhan.

Surat perjanjian diterima

“San, ingat ya, lagi dua hari. Kalau lu tak siapkan duit, lu keluar dari ini kampung”.

Terngiang-ngiang suara Azam Kundur di telinga Wang San. Hanya dua hari saja lagi perjanjian akan tamat. Jika dia gagal, pasti inilah waktu-waktu terakhirnya dia di kampung.

Kampung inilah yang membesarkannya, muara laut, sungai, hutan dan bukit sekeliling adalah sahabatnya semenjak dia kecil. Semua ini akan ditinggalkannya jika dia gagal menepati perjanjian yang telah dibuat dengan Azam.

Dia benar-benar bergantung harap pada hasil jualan tanah pemberian Wang Chu untuk membayar hutangnya kepada Azam. Jika dia berjaya, Azam Kundur tidak boleh lagi menjejakkan kakinya ke bengkel dan ladang Wang San. Dia tidak mahu Azam Kundur berurusan lagi dengan dia dan keluarganya. Itulah antara isi perjanjian dia dengan Azam Kundur.

Dengan perjanjian yang ditulis Erah itu, dia telah berjaya menyelamatkan bengkelnya dari hangus dibakar. Atas perjanjian itu jugalah dia dapat menunda masa untuk membayar ganti rugi kepada Azam, kini dia ada masa selama empat puluh hari. Sekurang-kurang, ini langkah paling cepat dapat dibuatnya.

Namun Wang San bimbang jika pembeli tanah itu gagal membayarnya secara tunai. Tanah sebanyak lima ekar, pemberian bapanya itu telah dijualnya tanpa pengetahuan Wang Chu. Biarlah dia korbankan tanah itu dari melihat bengkelnya hangus dan dirinya dihalau keluar dari kampong Sungai Kelah.

Nasib

Wang yang berjaya dikumpulnya sejak tiga puluh lapan hari yang lalu hanya sekitar tiga ribu sahaja, dia memerlukan duit tanah sekitar lima ribu lagi. Sedang dia mengalamun ini, tiba-tiba namanya ditegur.

“Tauke San,” seorang lelaki Melayu menegurnya.

“Ya, awak siapa?” sapa Wang San. Dia merasa kehairanan dengan kedatangan lelaki yang tidak dikenalinya itu.

“Saya sepupu Lebai Don, tauke kenal dengan lebai?” soal lelaki itu sambil menghulurkan tangan bersalam.

“ Ya..ya.. dia mahu beli tanah saya. Saya memang tunggu dia datang bayar duit tanah, mana dia? terus sahaja Wang San menjelaskan keadaan.

Hatinya berdebar-debar apabila nama Lebai Don disebut, dia tidak sabar mahu tahu tujuan kedatangan lelaki yang tidak dikenalinya ini.

“Begini, lebai meninggal pagi tadi, dia kemalangan, saya beritahu sebab isterinya minta saya jumpa tauke,” lemah jawapan lelaki itu.

Seperti ingin pitam, Wang San terdiam mendengar berita kematian Lebai Don, pembeli tanahnya, orang yang diharap dapat membayar dan menyelesaikan masalahnya, kini sudah meninggal. Dia merasakan nasibnya betul-betul celaka kali ini.

Bagaimana ketika dia amat memerlukan, keadaan ini pula yang berlaku. Dia benar-benar keliru, marah dan bingung. Tidak tahu siapakah manusia yang dapat memahami hatinya ketika ini.

Mustahil sekali dia dapat mengadakan lima ribu ringgit dalam masa tidak sampi dua hari. Kali ini dia benar-benar merasa kalah. Terduduk Wang San tanpa mempedulikan lelaki itu.

“Tauke sabar ya. Semua sudah takdir, saya cuma sampaikan berita ini dan mahu beritahu juga bahawa apa-apa urusan dengan Lebai Don sekarang tak jadilah,” lelaki itu cuba mententeramkan Wang San.

Lama dia menunggu, Wang San hanya berdiam diri. Lelaki Melayu itu berlalu pergi meninggalkan Wang Sa yang masih termenung tidak berkata apa-apa. Wang San telah gagal. – Roketkini.com