Berita

DAP tolak jawatankuasa Lynas, sedar BN hanya mahu halalkan loji nadir bumi

Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

KUALA LUMPUR, 19 MAC: DAP tidak akan menyertai Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (PSC) mengenai loji Lynas yang memalukan kerana ia hanya akan menjadi fait accompli (yang telah diputuskan) untuk menghalalkan loji nadir bumi syarikat Australia itu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, PSC juga akan menjadi alat Barisan Nasional untuk memaksa orang awam menerima loji Lynas tanpa mempedulikan soal keselamatan, alam sekitar dan kesihatan rakyat.

“DAP akan mencadangkan kepada kepimpinan Pakatan Rakyat supaya tidak membenarkan BN menggunakan penyertaan PR untuk menghalalkan loji Lynas, bagi memastikan PR tidak akan terlibat dengan apa-apa bencana alam sekitar yang mungkin berlaku pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengesahkan bahawa PSC adalah satu samaran yang pura-pura oleh BN untuk menghalalkan apa yang salah dan bertentangan dengan kepentingan awam, dengan mengatakan bahawa PSC tidak akan menentukan nasib Lynas.

Beliau menjelaskan Najib juga telah mengakui bahawa PSC hanyalah satu proses perbincangan untuk membolehkan projek Lynas diteruskan dan tidak akan ditentang oleh rakyat atau mencetuskan kebimbangan rakyat.

“Dengan perkataan lain, langkah ini hanyalah bertujuan membantu projek tersebut mendapat sokongan rakyat dan membantu kerajaan BN meyakinkan rakyat Malaysia bahawa tidak ada ancaman daripada loji nadir bumi Lunas dan sisa buangannya yang bakal mendatangkan bahaya,” katanya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan BN telah mengorbankan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia, khususnya mereka di Kuantan, dengan mendahulukan keuntungan berbanding nasib rakyat, apabila menganugerahkan Lynas dengan projek tanpa perlu membayar cukai selama 12 tahun.

Menurutnya, rakyat Malaysia tidak akan mudah diperbodohkan oleh BN dan menuntut penjelasan terhadap isu yang sebenar, khususnya di mana sisa buangan radioaktif akan dibuang.

“Pada mulanya Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) telah  mendakwa bahawa Lynas Corporation akan diarahkan supaya menghantar pulang sisa radioaktif ke Australia jika ia gagal mewujudkan kemudahan pembuangan sisa kekal di sini. Ini telah ditolak oleh Australia.

“Kemudian AELB mengatakan sisa buangan mungkin disimpan di ladang-ladang bijih timah yang sudah tidak digunakan lagi di Sungai Lembing, di mana ini mengesahkan lagi bahawa sisa-sisa tersebut akan dibuang di bumi Malaysia.

“Jelas kerana untung besar yang akan hanya dinikmati segelintir manusia, BN sanggup berjudi bukan sahaja dengan kesihatan kita tetapi juga keselamatan alam sekitar untuk generasi kita yang akan datang,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan bahawa Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah menolak sebarang cadangan loji Lynas atau reaktor nuklear di negeri itu kerana tidak akan bertolak-ansur dalam soal keselamatan rakyat Malaysia.

“Pakatan Rakyat tidak sepatutnya dijadikan alat oleh BN bagi membohongi rakyat dan menjustifikasi tindakan BN untuk membenarkan loji nadir bumi Lynas beroperasi di Malaysia,” tambah beliau. – Roketkini.com