Rencana

Sekitar Muzakarah Bahasa dan Persuratan DBP – Oleh Al-Mustaqeem M Radhi

Panggil aku Mus. Beberapa tahun dulu nama aku agak selalu juga muncul di majalah cetak dan web, selain di Berita Keadilan yang setelah bertukar editor telah dua kali bertukar nama. Sejak majalah seni-budaya Siasah dan Kakiseni.com ditutup, aku lebih banyak menterjemah dan menyusun buku.

Seiring pengenalan yang sederhana di atas, aku mengharapkan berkah dan belas Tuhan untuk memanjangkan pojok ini selama mungkin.

Sederhana juga tujuan pojok ini, iaitu untuk membelek hal-hal kemasyarakatan, kebudayaan dan persuratan yang selalu wujud dalam keadaan tidak terlihat sekali imbas atau kurang ketara. Misalnya “e” yang tidak bertanda pada nama kolum ini. “Tenang” di sini bukan disebut seperti “benang”. Sebelum tahun 1972, “e” dalam benang, iaitu e pepet, bertanda (é).

Tenang yang satu ini “e”nya disebut seperti “e” dalam “hebat”, iaitu e taling, tak bertanda. Orang utara Semenanjung menyebut “tenang” dengan maksud “renung” atau “tenung”. Kalau sesuatu persoalan atau benda sedang ditenang, dahi berkerut, kening hampir bertaut dan mata terpicing.

Setelah ditenang-tenang persoalan mana molek dibincangkan sebagai pembuka pojok, aku memilih Muzakarah Bahasa dan Persuratan anjuran DBP 14–15 Mac lalu.

Aku ke sana menggantikan Zairil Khir Johari yang dijemput untuk mewakili Penang Institute. Aku hadir dalam sesi pertama yang melibatkan kelompok penggiat bahasa dan sastera.

Perkara pertama yang hendak aku tenang ialah soal paradigma. Setakat satu sesi yang aku sertai itu, tidak kelihatan ada perubahan paradigma berfikir. 2-3 daripada segelintir peserta yang diberi peluang bercakap mendesak DPB menggunakan atau mengukuhkan ‘kuasa’ yang dimilikinya, menurut paradigma lama untuk  membina ‘daulat’ bahasa dengan undang-undang, bukan dengan, misalnya, keupayaan bahasa itu untuk mengungkapkan pemikiran yang besar, atau perasaan yang dalam, atau hati-budi yang halus.

Kalau tak salah ingat aku, paradigma lama memberi penekanan terhadap tujuan Lembaga Pengelola DBP yang keempat, iaitu “menstandardisasikan ejaan dan sebutan…” (apakah kata “menstardadisasikan” dalam Akta DBP itu boleh dianggap sebagai melacurkan bahasa dan apakah kata “mempiawaikan” lebih tepat serta ‘lebih Melayu’ tak perlu kita bincangkan dulu di sini). Paradigma baru, pada hemat aku, akan memikirkan persoalan seperti sama ada suatu hal yang melaut luasnya seperti bahasa dapat dikembang dan dikawal pada masa yang sama oleh sebuah lembaga yang sama.

Termasuk dalam cara fikir lama juga ialah mendesak penerbitan baru bagi karya-karya ilmiah. Padahal, usaha penerbitan buku-buku ilmiah dalam bahasa Melayu diakui mempunyai kendala yang besar terutama justeru lebih penting bagi ilmuan untuk menerbitkan tulisan mereka dalam jurnal-jurnal ilmiah terkemuka yang berbahasa Inggeris.

Lalu, apa salahnya kalau jangan terlalu dirunsingkan soal penerbitan karya baru dan sebaliknya diadakan usaha penerbitan semula (juga ‘pembungkusan’ semula) karya-karya yang boleh dianggap penting dan diwar-warkan seluas-luasnya. Aku percaya, hanya sebilangan kecil orang tahu Uthman Muhammadi telah menterjemahkan Tafsir Yusuf Ali, misalnya, dan hanya sebilangan kecil pula yang akan sanggup mendakwa bahawa ia telah diterbitkan dalam rupa yang cantik. Padahal karya sebegini seharusnya disebar luas, sekurang-kurangnya atas alasan bahawa ia mampu turut menyumbang ke arah pengembangan Bahasa Melayu Malaysia.

Setakat ini, sukar sekali untuk menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah. Hal ini tidak semestinya harus terlalu dibimbangkan. Kecuali segelintir sarjana yang mempelajari bahasa Arab untuk menggali falsafah bangsa itu, sebahagian besar orang mempelajari bahasa itu kerana keindahan dan nilai keagamaannya. Begitu juga bagi bahasa Bengali, kalau tak salah aku. Jadi, mungkin kita tak perlu runsing sangat soal nilai saintifik dan teknologi bagi bahasa Melayu dan sebaliknya rajin-rajin mengasah bahasa ini untuk menonjolkan keanggunan irama bahasa Melayu dan merakam kekayaan budaya dan kehalusan pekerti.

Bukan bererti tidak harus ada usaha ke arah memantapkan bahasa Melayu untuk tujuan memikul ilmu. Bagi tujuan ini, tumpuan boleh diberikan terhadap pemantapan istilah-istilah ilmiah, sama ada terjemahan bagi istilah-istilah sains dan teknologi ke dalam bahasa Melayu atau pemantapan istilah dan tatacara ‘pemelayuan’ istilah-istilah Inggeris. Untuk tugas ini, aku tidak melihat ada pihak yang lebih sesuai daripada DBP, terutama jika ia memperkukuh kerjasama dengan fakulti-fakulti sains dan teknologi di universiti-universiti.

Untuk tugas memulihkan bahasa Melayu yang telah merosot, terutama dalam soal ejaan, tatabahasa dan laras bahasa, aku percaya dan amat berharap ketua pengarah DBP yang baru, yang juga pencetus Muzakarah, Dr Awang Sariyan, akan dapat melaksanakannya dengan baik, misalnya menerusi usaha “audit bahasa” yang dilancarkannya serta menerusi panel khas yang menurut laporan akhbar telah dipersetujui oleh Muzakarah dengan “fungsi mengesyorkan langkah-langkah meningkatkan persuratan kreatif dan ilmu menerusi media massa.”

Untuk tujuan Lembaga DBP yang pertama dan kedua, iaitu “memperkembang bahasa kebangsaan” dan “memperkembangkan bakat sastera”, barangkali boleh dianggap sebagai satu paradigma baru di negara ini jika perhatian khusus diberikan terhadap soal kebebasan berkarya dan bereksperimen. Antara persoalan yang boleh ditenang ialah kekangan para penguasa bahasa dan campurtangan para penguasa politik dan penguasa agama dalam media massa dan bidang persuratan secara umum.

Mungkin boleh dibilang sebagai pembaharuan juga jika DBP mahu merenung secara lebih mendalam untuk memegang peranan sebagai pemudahcara dalam usaha mengembangkan kegiatan kesusasteraan dengan membentuk hubungan lebih akrab dengan kelompok-kelompok penulis di luar arus perdana.

Aku agak berani berharap pada Awang Sariyan justeru tampak tokoh bahasa itu cenderung berfikir dengan cara baru pada kenyataannya sewaktu menjelaskan usahanya dengan kata “Audit bahasa ini bukan bertujuan untuk menghukum, tetapi sebagai penambahbaikan” (huruf condong oleh penulis).

 

– Pandangan dalam pojok ini tidak semestinya mencerminkan pandangan Roketkini. Abjad “e” dalam Tenang dilafazkan seperti “e” dalam “hebat”. Tuan pojok ini adalah pengagum bahasa yang sedang bertatih untuk menjadi pengarang puisi.